KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan
bahawa kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran
minimum RM500 kepada penjawat awam.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa
kerajaan bersetuju memberi Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara
kerajaan.
Bayaran itu akan dibuat pada 9 Ogos ini, katanya dalam kenyataan di sini.
Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta
penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas kewangan itu dibuat
berdasarkan kedudukan dan kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata bayaran itu akan melibatkan anggaran perbelanjaan sebanyak
RM2.2 bilion.
Najib berkata pemberian bonus dan bayaran khas itu merupakan penghargaan
kerajaan kepada seluruh penjawat awam dan pesara kerajaan.
"Kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajikan
penjawat awam dan para pesara kerajaan," katanya.
Beliau berharap langkah itu dapat membantu mereka membuat persediaan
menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Najib berkata pembayaran bonus kepada penjawat awam itu bagi menghargai
sumbangan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan program pembangunan negara.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan