Oleh : SAIFUDDIN ABDULLAH
#7030 adalah cadangan nisbah 70 peratus akademik : 30 peratus kokurikulum
dalam sistem pendidikan dan latihan (sekolah, IPT dan institusi kemahiran)
untuk menggantikan nisbah 90:10 yang diamalkan sejak pertengahan tahun 2000.
Ketika 90:10 diumumkan, saya menyokongnya, tetapi menyatakan bahawa nisbah
lebih tepat ialah 70:30.
Menurut Falsafah Pendidikan Negara, matlamat pendidikan ialah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan; dan
melahirkan rakyat yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
masyarakat dan negara.
Untuk merealisasikannya, ia memerlukan strategi yang benar-benar bersepadu
dan holistik, termasuk keseimbangan antara akademik dan kokurikulum. 90:10
adalah permulaan baik.
Kini, langkah-langkah KPM, contohnya, pentaksiran berasaskan sekolah dan
1Murid 1Sukan; dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan Dasar Sukan
IPT, modul kemahiran insaniah dan kokurikulum berkredit adalah penambahbaikan
yang sesuai.
Namun, di sebalik segala usaha tersebut, sistem pendidikan dan latihan kita
masih menghadapi banyak cabaran menggusarkan. Dari satu segi, keperibadian
generasi muda dipersoalkan psikologikal, spiritual dan intelektualnya, hingga
kita seakan-akan menghadapi “generasi terhilang”. Dari segi yang lain pula,
kebolehasarannya, iaitu tentang kemahiran berkomunikasi, berfikiran kritikal
dan bekerja berpasukan dipersoalkan, sedangkan kita memerlukan “generasi
terbilang”.
Faktor yang mengakibatkan masalah ini pelbagai. Tetapi, faktor utamanya
ialah soal kelemahan, kekangan dan pengiktirafan yang dihadapi kokurikulum.
Oleh sebab pemberatannya sekadar 10 peratus sahaja, maka, walau sebaik mana pun
ia dilaksanakan, namun, ia tidak dapat membuahkan keberhasilan yang diidamkan.
Dari satu sudut, ada pihak berkepentingan (pelajar/pelatih, ibu bapa,
guru/pensyarah/jurulatih, alumni, masyarakat sivil, perniagaan) menganggap
kokurikulum tidak penting. Ia dianggap tempelan sahaja. Keterlibatan tidak serius
atau berterusan.
Tiada budaya kokurikulum yang kondusif. Yang kurang bakat pun diangkat.
Akhirnya, walaupun dibuat seperti melepaskan batuk di tangga sahaja, tetapi,
dek kerana kokurikulum dikira 10 peratus sahaja, mereka dapat juga menaiki
tangga pendidikan, latihan, jawatan dan sebagainya. 90:10
menyelamatkannya.
Sebaliknya, di sudut lain, ada pihak berkepentingan menganggap kokurikulum
amat penting. Ia dianggap integral. Keterlibatannya serius dan berterusan.
Budaya kokurikulum yang kondusif diwujudkan. Yang berbakat diangkat.
Tetapi, malangnya, di sebalik segala kesungguhan dan pengorbanannya, dek
kerana kokurikulum dikira 10 peratus sahaja, mereka dapati segala titik peluh
itu tidak berbaloi. 90:10 menghukumnya.
Sebab itu pemberatan kokurikulum mesti ditingkatkan kepada 30 peratus.
Supaya memberi pengiktirafan dan motivasi yang sewajarnya. Supaya Falsafah
Pendidikan Negara direalisasikan dengan optimum.
Budaya kokurikulum yang baru dan kondusif perlu diwujudkan. Ia meliputi
pindaan perundangan dan peraturan sedia ada, mewujudkan kerangka governans yang
melibatkan semua pihak berkepentingan, pengukuhan matlamat dan objektif,
pandangan alam dan pemikiran progresif, sistem, motivasi, organisasi,
penasihat, jurulatih, teknikal dan penghakupayaan pelajar.
Sebenarnya, universiti-universiti terbaik dunia memberikan pemberatan yang
besar terhadap kokurikulum. Untuk memasukinya, calon perlu mempunyai
pengalaman, contohnya, kesenian, kesukanan atau keusahawanan yang bertaraf
dunia. Sekadar mewakili sekolah tidak memadai. Pemberatan kokurikulum jauh
melewati 10 peratus, malah menghampiri 50 peratus.
Pada realitinya pula, dunia kerjaya, perniagaan dan sebagainya memberi
tumpuan dan imbuhan tinggi terhadap kokurikulum. Mereka yang cemerlang dalam
pelbagai bidang adalah mereka yang aktif kokurikulum.
Justeru, masanya telah tiba untuk kita melaksanakan #7030.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan