Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
"BAGI saya boleh … 'anytime' cikgu boleh merotan atas kesalahan yang
difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan kemudian harus
dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan seorang pembaca dalam
ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbar Utusan
Malaysia baru-baru ini.
Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin
sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada
pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru
mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar.
Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika
pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih
besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.
Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan pemaparan
melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya isu 'mat
rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi
turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih membimbangkan mereka sudah
berani mencabar pihak berkuasa dan merempit di tempat yang terbuka. Ada
ketikanya orang awam turut dikasari hanya kerana cuba menasihati perbuatan yang
tidak berfaedah itu.
Ini belum lagi dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan
daripada penagihan dadah boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti berlaku
kes jenayah, penyakit HIV dan kemerosotan nilai diri sebagai seorang insan.
Penagihan bukan sahaja menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi sanggup
pula mencederakan orang lain malah ibu bapa sendiri sekiranya apa yang
dikehendaki tidak ditunaikan terutama keinginan mendapatkan wang.
Jenayah lain seperti pecah rumah, curi motosikal, meragut, bergaduh dan
gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku
di bandar besar tetapi turut berlaku di kampung dan kawasan pedalaman. Tidak
dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas ketika mereka berada di bangku
sekolah.
Sering kita mendengar isu ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan
bergaduh berlaku di kalangan pelajar. Sekiranya tidak dicegah daripada awal ia
boleh memudaratkan apabila mereka terus melakukannya selepas meninggalkan
bangku sekolah nanti.
Bagi mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang
mencadangkan dikembalikan semula hukuman rotan atau corporal punishment. Tambah
mereka semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi mereka hukuman
itu tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan dengan betul. Buat masa ini
hanya pengetua atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan pelajar dengan
syarat dilakukan di tempat tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan
hukuman itu.
Namun demikian ada yang mempertikaikan pendapat tersebut mempersoalkan
mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan semula. Menurut mereka keadaan dan
zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan boleh menimbulkan banyak mudarat
dibandingkan dengan kebaikan.
Dari sudut psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu
kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru yang
merotan mereka. Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam terhadap guru
dan sekolah.
Kerap kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan
perasaan benci kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk mendisiplinkan
pelajar tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih parah mungkin boleh
berlaku kejadian mencederakan guru dan merosakkan harta benda sekolah.
Sesungguhnya untuk menangani salah laku pelajar Kementerian Pelajaran telah
mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin
Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar
lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan Guru
Besar tanpa mendatangkan kecederaan.
Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat
tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain
seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang
seumpamanya adalah dilarang sama sekali.
Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan yang dinamakan student
rights atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika
berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang deraan fizikal.
Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan
sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada kaedah
tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi kaunseling
atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.
Sesungguhnya dalam sistem pendidikan kita kaedah merujuk pelajar kepada
kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap sekolah mempunyai kaunselor yang
terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/1985 Penubuhan Jawatan Kuasa
Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang
bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat perkhidmatan kaunseling.
Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional dijangkakan pelajar itu
akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak mengulangi lagi perbuatan
tersebut.
Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana jika
mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa di mahkamah sekiranya ibu
bapa membuat aduan polis.
Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang
memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10
tahun atau kedua-duanya sekali.
Walaupun niat merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh
mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara
berlebihan.
Justeru semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru
bertanggungjawab dan berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar
pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu terlibat dalam menangani permasalahan
tersebut.
Keprihatinan semua pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan berupaya
mengurangkan jumlah gejala sosial di kalangan remaja di masa akan datang.
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia
Berhad.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan