Oleh : ABD JALIL ALI
Sehingga semalam (23 Januari 2013), budak lelaki
berusia enam tahun itu belum dapat dikesan. Saya percaya semua orang yang waras, tidak
kira bangsa dan agama, pasti mendoakan si comel berwajah pintar itu berada
dalam keadaan selamat.
Usah kira dia anak siapa, marilah
kita sama-sama membantu mencari William Yau Zhen Zhong, dan membawanya ke
pangkuan keluarga. Sekiranya ada maklumat, lebih-lebih lagi terlihat kelibatnya
di mana-mana, laporkan ke balai polis berdekatan, atau telefon 03-56319800.
Anak kedua dari tiga beradik itu
hilang Rabu lalu di Putra Heights, Subang Jaya. Menurut polis, seperti yang
dilaporkan media, ada pihak yang membuat panggilan (telefon) dan meminta wang
tebusan daripada ibu bapa kanak-kanak tersebut.
Tetapi apabila ditanya berhubung
kanak-kanak itu, panggilan dimatikan dan disusuli pula SMS yang mengatakan
mereka berbuat demikian “hanya sekadar main-main”. Sesetengah orang kita memang
tidak berhati perut, perkara sedih seperti ini pun dibuat gurauan!
Tentu sekali orang yang paling
berduka nestapa – tidak lalu makan, tidak lena tidur – ialah ibu bapa kanak-kanak
tersebut. Mereka menyesal atas kesilapan yang dilakukan pada hari malang itu.
Kata pepatah, sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kata pepatah lagi, malang
tidak berbau. Sebab itu kita patut selalu beringat dan berwaspada. Tetapi,
ada ketikanya kita alpa. Selalu juga kita dalam keadaan selesa, macam tidak ada
apa-apa, atau kata mat salih take things for granted.
William bersama abangnya berusia
tujuh tahun dan adik perempuannya yang baru berusia setahun, ditinggalkan dalam
kereta dengan cermin tingkap terbuka, kira-kira jam 8.30 malam. Kedua-dua ibu bapanya keluar untuk membeli mesin basuh
di sebuah kedai elektrik.
Menurut cerita si abang, adiknya
keluar untuk mencari ibu dan bapa sebab si bayi yang baru berusia setahun itu
menangis. Tidaklah dapat dipastikan ke mana William pergi, atau ke mana dia
dibawa. Yang pasti dia tidak kelihatan sehingga hari ini.
Bayangkan, tiga kanak-kanak yang
masih hingusan, termasuk seorang yang baru berusia setahun, dibiarkan dalam
kereta. Tanpa pengawasan orang tua. Dengan cermin tingkap terbuka. Dan, pada
waktu malam pula!
Kalau pun semuanya tidak keluar
dan duduk dalam kereta, pelbagai musibah boleh terjadi. Mungkin ada perompak
membuka kereta dan mencuri barang-barang berharga. Mungkin ada orang jahat yang
sengaja hendak mencederakan budak-budak tersebut. Malah, mungkin ada yang
melarikan bayi berkenaan.
Tetapi, ini bukan kali pertama
kita mendengar kanak-kanak ditinggalkan dalam kereta. Sudah selalu sangat kita
membaca kisah seperti ini. Ada ayah membeli rokok dan meninggalkan anak kecil
dalam kenderaan yang enjinnya tidak dimatikan. Ada ibu membeli minuman dan
membiarkan anak kecil terkoteng-koteng dalam kereta.
Pernah juga kita membaca
kanak-kanak yang dibiarkan dalam kenderaan dengan enjin tidak dimatikan,
dilarikan oleh penjenayah yang mencuri kenderaan tersebut. Kanak-kanak malang
itu akhirnya didamparkan di tempat lain, tetapi kenderaan tidak ditemui.
Ada juga cerita kanak-kanak
terkunci di dalam kereta ketika
ditinggalkan bersendirian semasa ibunya keluar sebentar untuk membeli barang di
kedai. Cemas sekampung melihat kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa itu menangis
dan menggelepar kerana terkurung dalam kereta. Malah, tidak lama dulu, ada
kanak-kanak mati kepanasan gara-gara ditinggalkan oleh keluarganya bersendirian
di dalam kereta!
Tetapi cerita-cerita cemas,
mendebarkan lagi menyayat perasaan itu tidak pernah mengajar kita. Orang kita
tidak serik-serik mengulang benda yang sama. Sesetengah ibu bapa menganggap
anak-anak boleh ditinggalkan sekejap dalam kenderaan, termasuk yang injinnya
dan alat pendingin udara sengaja tidak dimatikan.
Kenderaan, tidak kira semahal dan
secanggih mana, bukanlah tempat yang selamat untuk meninggalkan kanak-kanak
walaupun hanya seminit dua. Sebab kecelakaan boleh terjadi dalam sesaat.
Memang malang tidak berbau.
Tetapi patut juga ditanya – secara jujur tanpa prejudis – di mana keprihatinan
kita sebagai ibu bapa?
*Nota Hujung : Pada
25 Januari 2013, mayat William Yau Zhen Zhong (berdasarkan pengecaman yang
dilakukan oleh ibu dan ayahnya); ditemui terapung di jeti Kampung Sungai Sireh,
Pelabuhan Klang iaitu sejauh 30 kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang.
namun misteri kematiannya masih menjadi persoalan.