Oleh : Asri Md Saman @ Osman
Guru patut contohi cara Baginda SAW tangani masalah secara berhemah
Rasulullah SAW seorang pendidik
yang cemerlang. Hasil didikan Baginda SAW, lahir tokoh ternama dan tersohor
seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Othman
bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Tholib serta sahabat yang lain.
Dicontohi sepanjang zaman
Banyak kisah dan peristiwa
dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk
dicontohi dan diteladani sepanjang zaman. Allah SWT telah merakamkan beberapa
ayat dalam al-Quran mengenai peranan Rasulullah SAW sebagai guru atau pendidik.
Firman Allah SWT: “Dialah Tuhan
yang telah mengutuskan kepada kaum ummi (buta huruf) seorang Rasul daripada
kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka,
(berjuang) menyucikan mereka serta mengajarkan mereka kitab dan hikmah.
Sesungguhnya mereka (sebelum diutus Muhammad) benar-benar berada dalam
kesesatan yang nyata.” (Surah al-Jum’ah, ayat 2)
Selain nas al-Quran, Nabi SAW
juga bersabda: “Sesungguhnya aku telah diutuskan (oleh Allah) sebagai seorang
guru (pendidik manusia).” (Riwayat Ibnu Majah)
Diriwayatkan oleh Anas bin Malik:
“Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang
dan duduk mencangkung membuang air kencing dalam masjid. Sahabat berkata kepada
lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan
ganggu dan biarkan dia sendiri. Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja
lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil
lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan
melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana
masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran.
Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air
untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing.”
Berpandangan jauh
Iktibar yang boleh diambil
daripada kisah itu ialah janganlah kita bersikap terburu-buru terhadap orang yang
melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas
mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.
Menegur kesalahan seseorang
dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci mengenai
kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah
contoh yang seharusnya diikuti oleh guru.
Kisah Rasulullah SAW itu juga
mengajar kita perlunya bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang
jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya
tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.
Imam al-Ghazali pernah
menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus
sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru
hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.
Apabila nilai itu tersemat kukuh,
guru akan menyedari bahawa sabar memberkati usaha gigihnya mendidik. Selain
itu, guru perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap
kecerdasan anak didik.
Diriwayatkan daripada Abu Musa,
Rasulullah SAW mengatakan: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan
ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke
bumi. Di antara bumi itu ada sebidang tanah subur yang menyerap air dan
sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang
tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Pada hal Allah
menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan
menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada
air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran seperti orang yang mempunyai
ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang menyebabkan aku diutuskan
oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti
orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku
diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk dari Allah yang kerananya aku
utusan-Nya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Proses pengajaran
Ini menjelaskan kepada kita
proses pendidikan dan pengajaran adalah satu metodologi yang perlu melihat kepada
pelbagai aspek seperti psikologi, sosiologi dan daya membuat pertimbangan
seseorang pelajar.
Gabungan ilmu pengetahuan itu
membolehkan guru mengajar dengan berkesan dan menarik minat pelajar mengikuti
pengajaran.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan