Jumaat, 15 April 2011

ISU PENDIDIKAN : Guru Cemerlang wajar muhasabah diri, usah pertikai beban tugas

SAYA ingin menarik perhatian mengenai surat bertajuk 'Prestasi Guru Cemerlang dipertikai, tenaga diperah' yang disiarkan pada 15 April lalu. Persoalannya, benarkah tenaga Guru Cemerlang diperah?

Berdasarkan pemerhatian saya, sebenarnya tenaga guru biasa yang diperah, contohnya dalam program di sekolah membabitkan semua guru sama ada cemerlang ataupun tidak, begitu juga untuk menyiapkan modul, soalan dan bahan pengajaran dan pembelajaran.

Guru Cemerlang akan mengumpulkan guru mengikut opsyen untuk berbengkel. Hasil bengkel itu akan dihebohkan sebagai hasil kerja Guru Cemerlang, malah Guru Cemerlang menggunakan modul dan hasil bengkel itu sebagai bahan untuk memohon gred lebih tinggi. Justeru, jika Majlis Pengetua tidak meletakkan Logo Majlis Guru Cemerlang pada muka hadapan soalan adalah perkara biasa. Guru Cemerlang perlu sedar, pengetua mempunyai kuasa eksekutif di sekolah walaupun gred mereka lebih rendah.

Kementerian Pelajaran perlu melihat semula gred perjawatan bagi memastikan gred guru mestilah tidak mengatasi gred pengetua dan pengarah. Hal ini penting kerana mereka dilantik menjadi pengetua atau pengarah berdasarkan perkhidmatan cemerlang sebagai guru di sekolah.

Saya juga adalah Guru Cemerlang, jurulatih utama yang terbabit dengan Kementerian Pelajaran, Lembaga Peperiksaan, Panel soalan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) peringkat negeri dan macam-macam lagi.

Apa yang saya hendak maklumkan, tidak dinafikan Guru Cemerlang memang cemerlang tetapi bukan semuanya cemerlang seperti label yang diberi. Mulai 2007, sebahagian besar mereka yang dilantik adalah untuk memenuhi kuota perjawatan yang diluluskan, malah ada yang tidak memohon tetapi menerima surat pelantikan.

Saya menyeru kepada semua Guru Cemerlang, bersyukurlah dengan gred yang kita dapat sekarang. Rutin kerja kita hanya fokus kepada pengajaran dan pembelajaran. Tugas yang kita laksanakan sekarang tidak seberapa jika dibandingkan dengan gred perjawatan yang diberikan oleh kerajaan.

GURU CEMERLANG INSAF,
Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PELANCONGAN : Malaysia antara 10 negara paling mesra

FRANKFURT 15 April — Malaysia dianggap antara 10 negara paling mesra di dunia.

Mereka yang sering melancong ke beberapa negara berkemungkinan besar kembali ke negara-negara seperti ini kerana penduduknya mesra dan bersikap terbuka, malah ada antara pelancong ini mahu menetap di negara itu dan enggan kembali ke tanah air sendiri.

Satu kaji selidik oleh Bank HSBC mendapati Malaysia berada di tangga kesembilan dalam senarai negara paling mesra.

Selain kemesraan rakyat tempatan, satu lagi kriteria yang digunakan ialah bagaimana warga asing mudah bergaul dan menerima persekitaran di sesebuah negara itu.

Kaji selidik yang dijalankan dari April hingga Jun 2010 itu meliputi 4,000 orang di 100 negara.

Mereka ini ditanya soalan seperti di manakah mudah bagi mereka mendapat kenalan tempatan, adakah mudah bagi mereka mempelajari bahasa negara berkenaan dan sama ada mereka mudah menerima budaya tempatan.

Sebanyak 80 peratus daripada mereka yang ditemubual itu berkata, bahasa Inggeris adalah bahasa pertuturan mereka dan sebab itulah negara yang banyak menggunakan bahasa itu berada dalam senarai teratas.

Namun terdapat juga negara yang tidak menggunakan bahasa Inggeris berada dalam senarai 10 negara teratas itu.

Untuk tahun kedua berturut-turut, Kanada merupakan negara paling mesra, diikuti oleh Bermuda, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, Sepanyol, Perancis, Britain, Malaysia dan Jerman. - BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : TPM bimbang ramai pelajar sekolah obes

KUCHING - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang dengan masalah kegemukan atau obesiti dalam kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata, perkara itu antara perkara yang dibangkitkan Kementerian Kesihatan kerana ia sudah menjadi satu masalah yang amat serius kerana ia menunjukkan peningkatan.

“Ia menjadi isu kerana ia melibatkan anak kecil yang masih bersekolah tetapi gemuk kerana faktor pemakanan. Mereka banyak makan makanan ringan. Ini menyebabkan mereka tidak cergas dan tidak sihat...ini kena atasi,” katanya pada majlis Program Pemantapan Profesionalisme Warga Pendidik Negeri Sarawak, di sini semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerana itu dasar Satu Murid Satu Sukan perlu diusahakan bagi menarik penglibatan dalam bidang sukan.

“Selain pendidikan formal dan akademik, aktiviti kokurikulum juga perlu diberikan perhatian. Sukan dah lama menjadi aktiviti kokurikulum. Tetapi kita harus lebih kreatif untuk pelajar lebih terlibat dalam aktiviti ini,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kualiti pendidikan di negara ini perlu ditingkatkan dan dimantapkan lagi bagi memastikan sistem pendidikan di negara ini betul-betul mampu melahirkan modal insan yang mampu memacu negara mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020.

“Guru adalah barisan hadapan untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti. Tuntutan yang agak berat tetapi kita harus pikul tanggungjawab ini,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai dasar berkaitan pendidikan dan pembangunan modal insan walaupun ia belum mencukupi.

“Pimpinan negara melihat perkara ini perlu diberi perhatian. Ini kerana dunia kini menjadi satu perkampungan global dengan teknologi maklumat merentasi dunia,” katanya.

Katanya, kementerian turut memperkenalkan Program Penambahbaikan Sekolah kerana memberikan hasil baik kerana sekolah tahu kedudukan mereka. - Bernama

Idea Kreatif : Keyakinan perlu kekuatan untuk berubah

Oleh Dr Kamal Jit Singh

Andaian, peraturan berakar umbi dalam sistem kepercayaan hingga dianggap sebagai kebenaran

PERNAHKAH anda terfikir bagaimana saiz landasan kereta api moden dihasilkan? Jika anda bertanyakan mengenai perkara itu, anda perlu melihatnya jauh ke belakang. Anda akan mendapati jurutera British pada zaman itu mengikut saiz sedia ada kerana cuma ada satu-satunya alat yang digunakan bagi mengeluarkan landasan pada saiz berkenaan yang mudah diperoleh ketika itu.

Bahan yang digunakan bagi menghasilkan landasan itu sememangnya sudah sedia ada dan bersesuaian pula dengan keadaan jalan di Britain pada waktu itu dan ia seterusnya menjadi standard yang diguna pakai hingga kini.

Landasan kereta api itu dibina mengikut jajaran jalan di Britain yang juga berasaskan kepada laluan tayar kereta kuda zaman Rom yang dibina hampir 2,000 tahun lalu. Agak memalukan apabila kita menyedari bahawa bentuk landasan kereta api moden yang dibuat ketika ini tidak pernah berubah sejak 2,000 tahun lampau.

Sama seperti papan kekunci ‘Qwerty’ yang kita gunakan pada setiap komputer hari ini. Pereka cipta asal sistem papan kekunci itu yang digunakan pada mesin taip itu dilihat mungkin sengaja mengguna pakai sistem itu bagi melambatkan tindakan menaip abjad.

Apakah penyelesaian terbaik kepada perkara itu adalah untuk mencampuradukkan abjad sehingga orang berasa lebih sukar untuk menaip dengan cepat? Namun, hampir 140 tahun kemudian, kita masih menggunakan papan kekunci Qwerty yang sama. Selepas belajar menggunakannya kita dapat menaip dengan lebih pantas.

Kenapa kita masih mereka cipta pesawat dengan mempunyai sayap, walaupun kita tahu sesebuah pesawat itu tidak memerlukan sayap untuk terbang? Kenapa kita mereka bentuk kereta dengan tayarnya yang mampu ke depan dan ke belakang saja? Di kebanyakan negara membangun pula, motosikal adalah satu-satunya kenderaan yang mampu dimiliki. Tetapi kenapa kita masih mereka bentuk kenderaan itu untuk kegunaan dua orang, sedangkan kita tahu seluruh keluarga patut menaikinya?

Kita nampaknya masih melakukan sesuatu berasaskan kepada andaian tertentu dan yakin bahawa kita sudah mengambilnya sebagai satu peraturan atau kebenaran yang tidak seharusnya disanggah. Andaian dan peraturan berakar umbi dalam sistem kepercayaan kita dan terus menyamar sebagai kebenaran.

Kita seharusnya dapat memisahkan faktor andaian dan peraturan daripada fakta, dengan mempersoalkan setiap daripadanya yang selama ini kita mengambilnya secara membuta tuli bahawa ia satu kebenaran.

Setiap pereka cipta pesawat pada masa lalu bergantung kepada jadual serta data yang dikumpul oleh ahli kaji terbang sebelumnya. Bagaimanapun, pencipta kapal terbang pertama, Wright Bersaudara tidak mahu menerima semua data yang dikumpul sebelum ini, malah mempersoalkannya. Mereka mendapati data sedia ada dibuat berdasarkan kepada andaian dan tidak bersandarkan kepada fakta sebenar.

Ada banyak alasan mengapa kita harus mencabar peraturan dan andaian. Pertama, mereka mungkin benar pada saat mereka membuat kajian terhadap sesuatu maklumat yang mereka kumpul, tetapi maklumat itu tidak lagi dapat digunakan pakai pada hari ini.

Bangsa Rom purba percaya bahawa manusia tidak boleh berlari dalam jarak sebatu dalam masa kurang dari empat minit. Bagaimanapun, pada 1954 seorang penuntut jurusan perubatan Roger Bannister, yang tidak menyedari hal ini, berjaya memecah tembok itu dengan larian kurang empat minit pada satu acara olahraga di Oxford, England.

Anehnya selepas Bannister memecahkan ‘andaian’ itu, beberapa pelari lain dapat melakukan perkara sama beberapa minggu kemudian. Faktor andaian sebenarnya menyebabkan manusia keliru sehingga ia menjadi peraturan yang menghalang kemajuan.

Kedua, iaitu andaian atau peraturan yang didasarkan kepada kepercayaan tradisi dan budaya. Walaupun ada antaranya adalah amalan yang mengarut tetapi tetap diterima sebagai satu peraturan dan dianggap kebenaran.

Contohnya, ada suku kaum tertentu di Afrika melihat parut di muka dan kepala botak sebagai sangat menarik. Jika seorang gadis itu tidak sengaja membuat wajahnya mempunyai parut atau mencukur kepalanya botak, dia akan sukar mencari seorang teman hidup.

Budaya masyarakat lain pula mendapati seorang gadis yang kurus tidak menarik, berbanding yang berbadan besar – lebih besar tubuh seseorang gadis itu, maka lebih menarik dan menjadi idaman ramai lelaki. Andaian itu mungkin bersifat setempat atau wilayah, tetapi tidak bersifat sejagat.

Ketiga, mentaliti mudah percaya dengan sesuatu idea walaupun banyak menimbulkan kekeliruan, tetapi pada masa sama orang masih percaya. Walaupun selepas beberapa generasi andaian itu masih diterima, seperti suatu ketika dulu ramai orang percaya dengan andaian bahawa bumi adalah mendatar dan bukan bulat.

Dalam contoh lain, ahli astronomi sebelum ini menerima andaian bahawa matahari dan planet di cakerawala berputar mengelilingi bumi. Namun, seorang ahli sains berbangsa Poland, Nicolas Copernicus menidakkan andaian itu dan menyatakan bahawa matahari sebenarnya yang berada di pusat cakerawala dan bumi yang mengelilinginya. Malangnya, Copernicus meninggal dunia sebelum penemuannya diterima di seluruh dunia.

Apakah andaian yang anda buat mengenai pelanggan anda, pasaran, pesaing dan sesuatu produk? Sejauh mana benar andaian itu. Adakah anda sudah mengujinya baru-baru ini? Seorang pereka cipta harus berani membebaskan dirinya daripada belenggu yang menahan mereka daripada melahirkan idea kreatif.

Peraturan dan andaian adalah penjara yang membuat kita terkunci pada keyakinan yang salah. Namun, ia memerlukan keberanian untuk mempersoalkan keyakinan kita.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas Pejabat Perdana Menteri

Sumber : http : //www.bharian.com.my/