Jumaat, 13 Januari 2012

ISU PENDIDIKAN : Pembelajaran sepanjang hayat lonjak kecemerlangan


Oleh Sharifah Hayaati

AKTIVITI pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah atau institusi pengajian saja tetapi juga di tempat kerja. Pembelajaran sepanjang hayat sama ada secara formal atau tidak, dengan usaha sendiri atau disediakan majikan bukan sekadar suatu keperluan tetapi sumber hidayah Allah.

Pintu hidayah Allah SWT terbuka bagi mereka yang bekerja mencari rezeki halal serta berusaha untuk memperbaiki diri serta kerja yang diusahakan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Surah Al-‘Ankabut, ayat 69)

Usaha memperbaiki diri dan kerja boleh dilakukan melalui proses menimba pengalaman dan pengetahuan seperti mana peringatan menuntut ilmu dari buaian sehingga ke liang lahad.

Program pengetahuan yang berkaitan secara langsung atau tidak dengan keperluan organisasi bolehlah disenaraikan pada awal tahun ini. Bagi merealisasikan usaha pembelajaran sepanjang hayat di tempat kerja, seseorang hendaklah mempunyai tiga sifat asas iaitu sukakan ilmu pengetahuan, rajin belajar dan memiliki daya ingin tahu yang tinggi.

Ketiga-tiga sifat ini sudah disarankan Baginda Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Carilah ilmu walaupun di negeri China.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Mencari ilmu sampai ke negeri China menunjukkan kesungguhan, minat, daya ingin tahu dan kerajinan yang ada pada penuntut serta hasrat mendalami nilai kehidupan masyarakat lain yang dituntut.

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: “Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan jalan menuju syurga.” (Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Usaha pembelajaran sepanjang hayat juga perlu direalisasikan melalui proses perkongsian pengetahuan di tempat kerja. Kakitangan berkongsi pengetahuan dan maklumat akan menghidupkan suasana kerjasama harmoni yang menghasilkan keputusan serta kerja cekap dan adil.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bertanyalah kepada ahli ilmu sekiranya kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl, ayat 43)

Sejarah Islam membuktikan kehebatan keilmuan imam mazhab juga kerana kecintaan mereka yang mendalam terhadap penguasaan pelbagai ilmu dan pencariannya berterusan sehingga kewafatan mereka selain kewarakan serta akhlak dalam mengajarkannya kepada masyarakat.

Diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda: “Belajarlah kamu ilmu, kerana mempelajarinya kerana Allah itu amal kebajikan, dan menelaah suatu ilmu pahalanya umpama membaca tasbih, mengadakan pembahasan terhadap suatu ilmu adalah jihad, mencari ilmu itu ibadah, mengajarkannya termasuk sedekah; menyerahkan ilmu kepada ahlinya mendekatkan diri kepada Allah, memikirkan suatu ilmu pahalanya umpama melaksanakan ibadah puasa, dan bermuzakarah mengenai ilmu itu pahalanya umpama melaksanakan solat malam.” (Hadis riwayat Abu Syaikh dan Ibnu Abdil Bar)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Nabi-nabi disuruh untuk menempatkan seseorang itu pada tempatnya dan berbicara dengannya mengikut tahap pemikirannya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Kejayaan daripada penguasaan ilmu, kemahiran dan kompetensi yang diperoleh menjadikan seseorang itu mendapat pelbagai kebaikan darjat, pangkat, produktiviti dan prestasi yang tinggi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Hai orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: Berlapang-lapanglah dalam majlis, maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Dr Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya mengenai ayat ini berkata: “Darjat orang mukmin melebihi darjat orang bukan mukmin. Darjat orang berilmu melebihi darjat orang yang tidak berilmu.”

Justeru, pembelajaran sepanjang hayat dengan sifat berterusan dan ikhlas untuk memperbaiki amalan akan melonjakkan kecemerlangan diri dan organisasi.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Tegas tanpa terburu-buru


Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@yahoo.com


RAKYAT Malaysia memang terkenal dengan sikap suka menangguhkan sesuatu kerja sehingga ke minit akhir dan kemudian memberi pelbagai alasan bila urusan tersebut gagal diselesaikan mengikut syarat.

Contoh terbaik adalah ketika musim mengisi borang cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saman, pendaftaran kenderaan komersial dan terbaru di kalangan majikan dalam pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P).

Hakikatnya, rakyat tidak boleh disalahkan sepenuhnya apabila mereka terlalu dimanjakan dengan penangguhan tindakan perundangan dan lanjutan tempoh untuk menyelesaikan saman serta urusan berkaitan oleh kementerian, agensi kerajaan mahupun majlis perbandaran.

Langkah kerajaan mengambil kira aduan dan pandangan rakyat terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu keputusan atau dasar baru memang sepatutnya dipuji.

Namun, sikap berlembut itu juga boleh menjadi serampang dua mata, bukan sahaja menunjukkan keprihatinan kerajaan malahan mungkin menunjukkan kurangnya ketegasan dan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu keputusan, peraturan dan dasar baru.

Isu pendatang asing dan program 6P menjadi contoh kegusaran rakyat yang masih menunggu hasil konkrit dalam mengurangkan jumlah pendatang asing di negara ini dengan kebimbangan tarikh tindakan perundangan dilanjutkan lagi.

Kini, laporan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula turut menimbulkan tanda tanya sesetengah pihak sama ada perancangan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu dibuat secara terburu-buru sehingga menerima banyak aduan.

Bagi Setiausaha Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara, Profesor Dr. Durrishah Idrus, tidak menjadi isu besar jika wujudnya sokongan dan tentangan terhadap penangguhan sesuatu dasar atau keputusan kerajaan.

“Bila sesuatu dasar itu diumumkan dan diketahui rakyat, tentu akan ada yang memberi pendapat masing-masing.

“Jika dasar yang telah diketahui umum itu ditangguhkan pula, tentu akan wujud dua kumpulan iaitu yang menyokong dan menentang,” jelasnya.

Tegasnya, sesuatu dasar baru itu adalah polisi jangka panjang atau jangka sederhana yang bakal memberi kesan kepada ramai pihak jika dilaksanakan.

Oleh itu, katanya, sebuah dasar baru seboleh-bolehnya perlu dikaji dengan teliti dan mendalam terlebih dahulu sebelum diumumkan kepada orang ramai.

“Jika sudah dikaji dan diteliti dengan mendalam, mungkin penangguhan dapat dielakkan kerana masalah tidak timbul jika keputusan itu menggembirakan rakyat.

“Penangguhan pula akan menimbulkan tanda tanya kepada sesetengah pihak sementara pihak lain menyokong. Ini perkara biasa bila berlaku penangguhan dan tidak menjadi isu besar,” katanya.

Durrishah menjelaskan, jika SBPA dilaksanakan tanpa diteliti semula, sebilangan golongan sederhana dan bawahan dalam perkhidmatan awam mungkin berasa tidak puas hati dalam jangka panjang.

“Jika dahulu, perbincangan diadakan dahulu pihak berkaitan dengan kerajaan dan hanya diumumkan jika semua isu berbangkit sudah selesai.

“Saya harap kerajaan akan semakin matang kelak dalam mengendalikan situasi seperti apa yang berlaku dengan SBPA,” ujarnya.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula berpendapat penangguhan SBPA bukannya menunjukkan kelemahan tetapi menonjolkan keberanian Perdana Menteri bertindak pantas terhadap keresahan mereka yang terlibat.

“Mungkin ada pihak akan mengambil kesempatan dalam isu penangguhan dasar ini tetapi tindakan segera Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kerajaan responsif terhadap isu-isu tulen dan perkara berbangkit selepas menerima maklum balas pihak yang sedar diri mereka akan terjejas.

“Bukannya kerajaan tidak bertegas dalam pelaksanaan sesuatu dasar tetapi ada isu yang tidak mendapat maklum balas di peringkat awal yang sepatutnya telah melibatkan kumpulan pembuat keputusan dan pihak berkepentingan,” katanya.

Tambahnya, sesuatu dasar baru juga perlu melihat kepada maklum balas umum dan ini boleh dicapai dengan kemajuan teknologi semasa.

Menurut beliau, Perdana Menteri sendiri mengakui kerajaan tidak mengetahui semua perkara tetapi bersedia menerima pendapat orang ramai yang boleh membawa kebaikan kepada semua.

“SBPA perlu dikaji semula bila majoriti kakitangan awam tidak berpuas hati walaupun sesetengah pihak gembira dengan apa diterima mereka.

“Kelemahan di sini adalah dari sudut pelaksanaan apabila perbincangan tidak dibuat JPA dengan pihak-pihak berkaitan terlebih dahulu sehingga mungkin menjejaskan sekitar 500,000 pekerja,” ujarnya.

Tegasnya, semakan semula yang diumumkan menunjukkan hasrat Perdana Menteri yang mahu memberi penambahbaikan dalam pelbagai aspek agar memberi manfaat dan boleh diterima baik oleh majoriti, jika tidak kesemua kakitangan awam sekalipun.

“Mengumumkan penangguhan adalah satu langkah berani dan tegas demi memberi perhatian kepada isu yang timbul dan mengelakkan masalah lain kelak.

“Perdana Menteri juga mungkin tidak menerima gambaran tepat sebelum mengumumkan SBPA dan kerana itu kakitangan awam perlu memberi maklum balas agar semua pihak dilindungi dan tiada yang menerima kesan buruk, di samping menutup peluang pihak yang mahu menangguk di air keruh,” jelasnya.

Mohamed Mustafa berpendapat matlamat skim tersebut sangat baik tetapi pelaksanaannya yang seperti tergesa-gesa mungkin menjadi punca masalah.

“Walaupun sesuatu dasar baru mempunyai matlamat yang baik, tiada maknanya jika kumpulan sasaran tidak menerima manfaatnya.

“Baguslah Perdana Menteri mendengar masalah yang dibangkitkan dan sedia menangguhkan SBPA demi kebajikan mereka yang terlibat,” katanya.

Adalah lebih baik untuk berhadapan dengan seorang yang menentang selepas memahami isu sebenar daripada dibiarkan ramai membantah tanpa memahami tujuannya.

Kewajaran penangguhan sesuatu keputusan sewajarnya dinilai demi kepentingan dan masa depan kesemua pihak yang terlibat atau sekurang-kurangnya kumpulan majoriti.

Walaupun kerajaan sewajarnya bertegas dalam pelaksanaan dasar baru agar rakyat lebih berdisiplin dan yakin dengan komitmen pentadbiran negara, kesan jangka panjang serta baik dan buruk keputusan tersebut perlu diutamakan.

Penerimaan rakyat terhadap sebarang keputusan kerajaan juga akan berubah sejajar dengan pemahaman dan perubahan yang berlaku, sama ada menerima jika kesannya positif atau membantah jika sebaliknya.

Apa yang perlu diutamakan kini adalah pemahaman rakyat terutamanya mereka yang berkepentingan dalam sesuatu keputusan tentang punca dan sasaran pelaksanaan, mahupun penangguhan, sesebuah dasar baru.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Wajarkah FB tempat melepak?


OLEH : BAHRAIN SAMAH

Suatu ketika dulu kompleks membeli-belah dan tempat awam menjadi lokasi tumpuan melepak remaja. Apabila wujud program Internet Relay Chat (IRC), pengguna internet dari pelbagai peringkat umur mengambil kesempatan perkembangan teknologi tersebut bukan sekadar untuk berinteraksi tetapi sebagai tempat melepak baru.

IRC telah menimbulkan kesan yang besar secara positif atau negatif terhadap hubungan sosial sama ada untuk masyarakat setempat mahupun antarabangsa.

Paling menguja apabila saluran Kampung yang dikendalikan warga Malaysia pernah dikatakan menerima bilangan chatters terbesar di dunia. Namun, perkara yang memburukkan rekod ini apabila IRC disalahgunakan sehingga mencetus jalinan hubungan cinta hingga tahap kekasih gelap, perceraian dan perzinaan.

Dengar-dengarnya fenomena yang serupa berlaku kepada segelintir pengguna jaringan media sosial Facebook (FB). FB mula menjadi kegilaan ramai remaja sejak ia dilancarkan pada 2004.

Sepertimana IRC, FB bukan sahaja digunakan golongan remaja, malah merangkumi pengguna kanak-kanak, dewasa dan warga emas. Walaupun terdapat khidmat jaringan sosial lain, namun FB merupakan khidmat jaringan sosial terbesar di dalam dunia. Terdapat kira-kira 800 juta pengguna aktif direkodkan sehingga Julai 2004.

Lepak alam maya

Melepak dalam bahasa mudah ialah duduk tanpa melakukan perkara yang berfaedah.

Kewujudan khidmat jaringan sosial seperti FB menyediakan pilihan baru kepada golongan remaja untuk melepak. Seseorang yang melepak menggunakan FB kadangkala lebih lama daripada melepak di tempat awam.

Sembang dengan rakan FB yang tidak tentu hujung pangkal bukan mengambil masa sejam dua malah berbelas-belas jam sehari! Apakah bahan sembang golongan kaki lepak FB ini?

Antara lain ialah perkembangan semasa yang menarik perhatian rakan sembang. Mereka bersembang antara lain mengenai muzik, penyanyi dan fesyen. Kepada yang memang memiliki daya tarikan tertentu mungkin dari segi jantina, rupa atau gaya bahasa biasanya mudah dikerumuni rakan sembang. Sekali buat posting, berpuluh-puluh orang tekan butang like. Berpuluh-puluh orang juga memberi komen hanya dalam beberapa minit.

Beberapa kesan negatif hasil penggunaan media sosial berdasarkan sebuah kajian yang dilakukan Larry D Rosen dari California State University, Dominguez Hill. Kajian yang dibentangkan American Psychological Association di konvensyen tahunan ke 119 mendapati penggunaan FB berpotensi membentuk narcissism pada remaja belasan tahun.

Narcissism ialah istilah psikologi yang merujuk kepada karakter yang memerlukan perhatian dan diminati secara berlebih-lebihan. Remaja awal dua puluhan yang sering menggunakan FB pula menunjukkan tanda beberapa masalah psikologi seperti perangai antisosial, peningkatan mood secara keterlaluan dan berkelakuan agresif.

Keseronokan dunia

Kajian sama juga mendapati penggunaan jaringan media sosial juga memberi kesan negatif terhadap kesihatan kanak-kanak dan remaja belasan tahun. Mereka mudah mengalami keresahan, kemurungan dan masalah psikologi lain. Mereka juga terdedah kepada masalah kesihatan pada masa jangka panjang.

Selain keburukan tersebut, FB juga didapati menyebabkan seseorang hilang fokus. Keadaan ini secara negatif akan memberi kesan kepada prestasi pembelajaran. Beberapa kajian mendapati pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi yang menjenguk FB sekurang-kurangnya setiap lima belas minit sekali mencapai gred yang rendah.

Kajian Dr Larry R Rosen mendapati beberapa kebaikan penggunaan jaringan media sosial. Ia berupaya menjadikan seseorang secara virtual mengambil tahu terhadap diri rakan atas talian. Ia juga membantu seseorang yang pemalu atau suka memencilkan diri belajar berinteraksi. Jaringan sosial media juga dapat membantu pelajar berinteraksi untuk meningkatkan pemahaman dalam bidang pendidikan.

Saya ingatkan diri saya dan pengguna khidmat jaringan sosial tersebut menyedari bahawa sesungguhnya masa adalah kurniaan ALLAH yang amat bermakna kepada sesiapa yang benar-benar memanfaatkannya.

Masa tidak akan berundur malah sentiasa bergerak ke hadapan. Umur seseorang diukur menggunakan masa. Mereka yang menggunakan masa untuk perkara bermanfaat akan beruntung di dunia dan akhirat.

Manakala mereka yang mensia-siakan masa dengan perkara yang tidak berfaedah akan hanya mengecap keseronokan di dunia tetapi mereka akan rugi di akhirat.

Dilahirkan untuk diuji


ALLAH melahirkan setiap anak Adam ke dunia untuk menjalani ujian-NYA seperti firman-NYA yang bermaksud, “(ALLAH) Yang menjadikan mati dan hidup, agar DIA menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan DIA MAHA PERKASA lagi MAHA PENGAMPUN.” (Surah Al-Mulk: 2).

Sebagai hamba-NYA, sepatutnya merasa sangat kerdil di hadapan Rabb yang MAHA PERKASA. Namun seseorang yang mengaku kesalahan yang dilakukan, bertekad tidak mengulangi lagi serta mohon ampunan daripada-NYA secara bersungguh-sungguh akan diampuni-NYA.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. KAMI akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada KAMIlah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya : ayat 35).

Sesungguhnya jaringan media sosial menyediakan kemudahan untuk pengguna berinteraksi. Namun kemudahan yang dicipta dengan izin ALLAH ini sepatutnya digunakan secara berpada-pada.

Penggunaan jaringan media sosial sepatutnya ditumpukan dalam pelbagai aktiviti bermanfaat seperti mengerat hubungan silaturahim secara jujur dan ikhlas, menyertai kumpulan forum yang membawa kebaikan, belajar mempromosi produk dan khidmat, serta bertukar-tukar maklumat berguna.

Menyentuh konteks penggunaan masa, hadis yang diriwayatkan Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat hingga disoal empat perkara: tentang usianya pada apa dihabiskannya, tentang masa mudanya dan apa yang diperjuangkannya, mengenai hartanya dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya dan ilmunya apa yang telah dibuatnya” - (Riwayat At Tirmidzi).

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Rasuah ancam masyarakat, perlu ditangani bersama


SPRM perlu bertindak tanpa mengira pangkat untuk tingkat imej pada mata awam

RASUAH adalah antara masalah etika tertua dalam sejarah manusia, yang membayangkan kepincangan integriti masyarakat dan dalam gambaran yang lebih luas sebuah masyarakat dengan nilai murninya tercemar.

Rakyat Malaysia terutamanya bimbang dengan kedudukan negara dalam indeks persepsi rasuah walaupun usaha tanpa kenal penat lelah diambil oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan pimpinannya untuk membanteras gejala itu.

Pada 2011, Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International merosot ke tangga ke-60 daripada kalangan 183 negara berbanding tangga ke-56 daripada kalangan 178 negara pada 2010.

Sehingga ini sektor awam lazim dipersalahkan kerana amalan rasuah tetapi satu siri kes rasuah yang disiarkan oleh media baru-baru ini menunjukkan dunia perniagaan juga tidak terkecuali daripada rasuah.

Yang terbaru, satu audit ke atas Iskandar Investment Berhad menunjukkan banyak amalan rasuah di kalangan kakitangan perbadanan itu yang ditubuh untuk membangunkan wilayah pembangunan ekonomi selatan, Iskandar Malaysia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Malaysia bagi Ketelusan dan Integriti, Josie M Fernandez menunjukkan bahawa rasuah dalam dunia korporat membawa implikasi buruk terhadap negara.

Rasuah perniagaan boleh berlaku dalam dua keadaan, khasnya membabitkan individu dalam syarikat atau syarikat itu sendiri.

Fernandez berkata amalan seperti ini membawa kepada peningkatan dalam kos menjalankan perniagaan di negara dan dengan itu pelabur tidak akan menunjukkan minat dalam menjalankan perniagaan di sini.

"Syarikat-syarikat tidak akan melabur jika mereka tidak melihat margin keuntungan yang baik dalam mana-mana urusan perniagaan, jadi apabila ditambah dengan kos rasuah margin keuntungan merosot lagi.

"Lagipun, pelabur besar mencari negara dengan etika perniagaan baik yang akan membolehkan perniagaan mereka terus berkembang. Jadi rasuah perniagaan boleh menjejaskan ekonomi negara kita," katanya.

Fernandez juga gembira dengan tindakan kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif menerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) seperti memperkenalkan aku janji integriti korporat untuk memerangi rasuah perniagaan.

Kebiasaannya, tiada sektor perniagaan yang terkecuali daripada gejala ini dengan implikasinya meluas.

Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia, Datuk Moehamad Izat Emir mengulas mengenai implikasi daripada amalan rasuah dalam dunia perniagaan.

"Amalan rasuah dalam perniagaan boleh mengekang pembangunan usahawan yang berdaya maju di negara ini. Sebagai contoh, jika usahawan yang sama mendapat tender setiap kali daripada syarikat melalui amalan rasuah, mereka yang lain pula tiada peluang untuk menunjukkan tawaran mereka yang mungkin lebih baik.

"Yang lebih buruk lagi apabila pembida mendapatkan projek dengan memberikan rasuah tetapi sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan kerja," kata beliau.

Moehamad Izat juga memuji langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melanjutkan usaha memerangi rasuah ke dunia perniagaan.

Usaha berterusan SPRM untuk bertindak terhadap sesiapa saja yang mengamalkan rasuah tidak kira pangkat dan kedudukan juga akan membantu meningkatkan persepsi awam terhadap pertubuhan itu.

"Saya cadangkan supaya kerajaan meningkatkan peruntukan SPRM supaya ia boleh melantik lebih ramai pegawai dan meningkatkan kemudahan untuk memerangi rasuah di Malaysia.

"Tetapi kita tidak boleh bergantung kepada SPRM saja dalam memerangi rasuah, tanggapan umum juga perlu diubah. Kita mesti melihat rasuah sebagai sesuatu yang benar-benar mengancam masyarakat kita, bukan satu lagi 'salam' dalam memeterai satu-satu transaksi," katanya.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Datuk Mohd Khalid Harun juga menunjukkan amalan rasuah perniagaan boleh berlaku dalam mana-mana sektor perniagaan.

"Sektor perniagaan juga tidak terkecuali," kata beliau sambil menambah kata apabila berlaku amalan rasuah tidak akan ada ketelusan dalam transaksi perniagaan dan ini akan menjejaskan perancangan, pengurusan dan yang lain dalam industri.

"Bagi penggiat pelancongan yang mempunyai kepakaran, kemampuan dan komitmen, rasuah boleh menghalang mereka daripada menikmati peluang yang ada. Saya juga khuatir yang produk pelancongan di negara ini juga akan terus terjejas," kata beliau.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata; "Apabila mereka tanpa pengetahuan atau pengalaman mendapat permit ataupun apa-apa projek pengangkutan, kualiti perkhidmatan akan terjejas.

"Kita perlu ingat bahawa pengangkutan adalah kemudahan penting di negara ini. Orang ramai akan mengeluh jika tiada kualiti dalam khidmat pengangkutan," katanya.

Sementara Malaysia masih belum menyaksikan lagi kemunculan pejuang antirasuah ikonik seperti Anna Hazare di India, mereka masih boleh menaruh harapan kepada kerajaan untuk mengatasi gejala ini. Bagaimanapun, usaha murni ini bergantung kepada sumbangan setiap rakyat dalam menjayakannya. - BERNAMA

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Menjaga adab penting ketika layari facebook


FACEBOOK (FB) sudah menjadi satu kebiasaan bagi golongan yang celik teknologi maklumat (IT), terutama di kalangan generasi muda. Memang banyak kelebihan dinikmati jika seseorang memiliki akaun FB. Melalui laman sosial internet itu, pemiliknya boleh saling berhubungan dengan keluarga dan sahabat handai serta berkongsi maklumat dengan mereka, tidak kira di mana mereka berada. Apa yang lebih menarik ialah perkhidmatannya percuma. Berikutan itu, tidak hairanlah FB mempunyai 800 juta pengguna aktif di seluruh dunia dengan 50 peratus daripada mereka menggunakan laman sosial itu setiap hari. Di Malaysia saja, FB mencatatkan 10.2 juta pengunjung unik setiap hari. Walaupun diakui boleh memberi manfaat, FB tidak kurang mempunyai pengkritiknya. Antara kerap menjadi kritikan terhadap FB ialah isu berkaitan privasi dan keselamatan kanak-kanak. Dalam isu privasi, sesetengah negara mendapati laman sosial itu melanggar undang-undang privasi kerana secara bebas membolehkan akses kepada maklumat peribadi di antara pengguna. Berhubung keselamatan kanak-kanak pula, ada kebimbangan orang yang tidak bertanggungjawab melayari FB untuk mencari mangsa kalangan kanak-kanak yang mudah terpedaya. Kritikan terhadap FB turut kedengaran di negara Islam. Baru-baru ini, seorang ulama Iran menetapkan FB bercanggah dengan ajaran Islam, sekali gus berdosa menjadi ahlinya kerana menggalakkan perilaku tidak bermoral. Menurut ulama itu, hanya penggunaan laman web yang menekankan kriteria agama dan tidak membawa kepada sebarang perilaku atau etika tidak bermoral yang tiada masalah.

Di negara kita, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin kelmarin, berkata hukum mempunyai akaun FB adalah dosa besar dan dilarang dalam Islam jika digunakan atas tujuan memudaratkan, termasuk melemparkan fitnah, mencaci serta memburukkan orang. Sebaliknya jika digunakan untuk menyebarkan maklumat benar dan digunakan untuk berinteraksi secara berhemah, ia diharuskan. Kedua-dua ulama ini nampaknya bersetuju bahawa FB atau mana-mana laman sosial lain tidak bercanggah dengan agama Islam. Apa yang menjadi masalah ialah jika ia disalah guna untuk tujuan yang memudaratkan. Sama juga dengan penggunaan alat komunikasi yang lain, pengguna laman sosial seperti FB atau blog harus sentiasa menjaga adab serta nilai sensitiviti agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada diri masing-masing atau orang lain. Penggunaan laman sosial itu untuk menyebarkan fitnah mahupun mengaibkan orang lain secara melampaui batas seperti mengedar gambar dengan aksi tidak senonoh bertujuan memalukan seseorang mesti dihentikan. Sebaliknya, kesempatan berinteraksi menerusi FB sebaik-baiknya digunakan bagi tujuan baik seperti menyebarkan maklumat berunsur ilmu, memberi nasihat serta panduan kepada orang lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Di manakah silap guru?


MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan lapan peratus daripada 6,667 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) didapati tidak boleh membaca dan menulis.

Ini menyedarkan kita bahawa masalah kegagalan pelajar sekolah menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi masih lagi menghantui dunia pendidikan negara. Pelbagai kaedah dan program khas telah dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Dulu dikenali sebagai KIA 2M (Kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis) dan terbaru ialah LINUS (program Saringan Literasi dan Numerasi) yang dilancarkan pada tahun 2010, tetapi masalah ini masih terus berlaku.

Dari aspek psikologi perkembangan, manusia normal, berkeupayaan menguasai kemahiran asas membaca menulis dan mengira ini di peringkat kanak-kanak lagi, iaitu seawal usia 6 tahun.

Setelah menamatkan pengajian di peringkat pra sekolah, semua pelajar sepatutnya boleh membaca dan menulis perkataan-perkataan dan membuat ayat-ayat mudah dengan baik.

Adalah terlalu malang buat pelajar setelah menamatkan pelajaran di tingkatan lima dan berumur 17 tahun tapi masih belum boleh membaca dan menulis dengan baik.

Isu ini perlu mendapat perhatian serius guru-guru di sekolah. Guru-guru yang telah mendapat latihan secukupnya dalam bidang psikologi pendidikan, pedagogi dan profesionalisme keguruan (Diploma 3 tahun dan Ijazah 5 setengah tahun - merujuk kepada jangka masa latihan perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia) apakah tidak mampu menyelesaikan isu ini?

Adalah sangat memalukan, dengan ijazah/kepakaran dalam bidang psikologi, pedagogi dan profesionalisme yang dimiliki, dengan skim perkhidmatan yang menarik, umur yang masih muda, masalah buta huruf tidak menguasai kemahiran asas 3M (membaca, menulis dan mengira) masih lagi berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah di negara ini.

Pertengahan bulan Januari ini, generasi kedua guru-guru lulusan IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia. Syabas kepada semua guru ini kerana telah berjaya menjadi seorang guru.

Di samping kegembiraan kerana menamatkan pengajian dan latihan dengan jayanya dan telah ditempatkan di sekolah-sekolah untuk bertugas, sehinggalah kepada pengumuman skim perkhidmatan yang sentiasa ditambah baik oleh kerajaan, anda pada hakikatnya telah diberi satu tanggungjawab besar.

Tanggungjawab itu ialah memastikan semua pelajar sekurang-kurangnya dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi sebelum mereka meninggalkan sekolah rendah.

Tiada apa-apa alasan lagi di pihak guru untuk gagal melaksanakan tanggungjawab ini.

Anggaplah dengan penempatan anda di sekolah sebagai guru permulaan, merupakan langkah permulaan memikul tanggungjawab besar ini.

Justeru para guru perlu mengambil serius terhadap fenomena ini dan berusaha mengatasinya sehingga berjaya supaya profesyen perguruan akan dihormati disanjung sebagai arkitek pembangunan akal budi manusia dan pencorak kemajuan rakyat dalam sesebuah negara.

HASSAN SALLEH

Kuala Terengganu


Sumber : http : //www.utusan.com.my/