Jumaat, 25 September 2009

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA


Peralatan pengesan kelajuan akan digantikan dengan AES yang mampu mengesan kelajuan secara automatik tanpa perlu meletakkan anggota polis trafik

Kurikulum pendidikan JPJ perlu dirombak

Oleh Jami'ah Shukri

SEBUAH kereta mewah, Volvo meluncur laju dan merapati MyVi di lorong laju serta memberikan isyarat lampu supaya ke tepi, sedangkan ketiga-tiga lorong di Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Pedas, Negeri Sembilan, ada kenderaan lain yang jaraknya tidak jauh antara satu sama lain.

Pemandu Volvo itu tidak berpuas hati dan naik marah, lalu mengambil lorong kecemasan dan kemudian memintas semula ke depan MyVi, dengan rapatnya. Itu antara pemandangan biasa dan gelagat pemandu yang kerap kita dilihat.

Gelagat pemandu itu mempamerkan buruknya sikap pemanduannya. Banyak lagi gelagat pemandu di negara kita yang masih tidak menghiraukan peraturan lalu lintas. Justeru, tidak mustahil mengapa bilangan kemalangan jalan raya, terutama pada musim perayaan masih kekal pada takuk lama kerana pemandu yang mempunyai mentaliti rendah ketika di jalan raya.

Apa yang nyata, kemalangan jalan raya bukan takdir, sebaliknya boleh dielakkan jika semua pemandu mengadunkan aspek penting, iaitu sikap berhemah.

Kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) mengenai tabiat dan tingkah laku pemandu di negara ini memang berada pada tahap teruk, iaitu 66 peratus tidak takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Saban tahun pihak berkuasa dan orang ramai sendiri, menyalahkan sikap pemandu sebagai punca utama kemalangan. Tetapi pernahkah pihak berkuasa melihat lebih jauh ke dalam bagi merungkai perkara pokok yang menjadi punca sebenar kemalangan itu.

Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP) yang dipraktikkan sekarang? Adakah ia memenuhi kaedah dan keadaan pemanduan pada masa ini?

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seharusnya mengkaji serta merombak KPP dengan memasukkan aspek baru dan melakukan penambahbaikkan sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, berpendapat walaupun berdasarkan statistik kadar kemalangan jalan raya sudah menurun sepanjang tempoh 15 tahun kebelakangan ini, bilangan kematian tetap kekal, iaitu 14 orang dan meningkat sehingga 18 orang sehari, khususnya pada musim perayaan.

Katanya, berdasarkan pemerhatian, peningkatan bilangan kemalangan juga disebabkan pertambahan jumlah kenderaan dan saiz penduduk di negara ini. Bagaimanapun, peningkatan semua aspek itu tidak diselaras dengan pembentukan KPP yang baik, terutama dari segi kemahiran memandu.

Beliau berkata, sudah tiba masanya kurikulum sekarang dirombak dengan memberi penekanan terhadap kemahiran pemanduan, melahirkan sikap positif ke atas pemandu. Sistem ujian memandu disediakan JPJ hanya untuk mendapatkan lesen saja dan ini berbeza dengan negara maju, khususnya di Eropah, Britain, Norway dan Scandinavia.

“Saya dapati, di Malaysia, lebih ditekankan kepada peperiksaan bertulis bertujuan menguji tahap pengetahuan pemandu, bukan menekankan kemahiran memandu.

“Ini berbanding di Eropah atau Norway, mereka akan membawa calon untuk perjalanan yang jauh, iaitu dengan mengelilingi bandar raya di pelbagai lokasi termasuk kawasan perumahan, kilang dan lebuh raya. Jumlah masa diambil untuk ujian itu antara setengah jam hingga 45 minit.

“Penguji juga akan meminta calon meletakkan kenderaan di antara celah kereta di kawasan letak kereta. Di Malaysia, semua ujian letak kereta dilakukan di litar kawasan ujian yang mana akan di letakkan tiang besi sebagai pengukurnya,” katanya.

Prof Abdul Rahim berkata, ujian pemanduan yang sempurna seperti di negara maju itu mampu membentuk sikap, tabiat, tingkah laku pemandu, sekali gus meningkatkan kemahiran mereka di jalan raya.

Katanya, Norway, Jepun atau Scandinavia dianggap terbaik dan rendah dari segi kadar kemalangan, walaupun negara itu ada salji serta pemandu mabuk. Pengeluaran lesen kepada calon baru juga amat ketat dan tidak diperoleh dengan mudah.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Hassan, berkata JPJ akan memperkenalkan modul KPP baru menjelang tahun depan dengan memberi penekanan kepada pembentukan sikap, kemahiran dan pengetahuan pemanduan.

Beliau mengakui kurikulum sedia ada yang sudah dirombak dua kali sebelum ini sepanjang 10 tahun lalu perlu untuk memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

“Kita sudah melakukan yang terbaik untuk menyedia dan menerapkan nilai dan budaya pemandu yang berhemah, berdisiplin dan kompeten. Tetapi, masalah sikap ini terletak kepada pemandu sendiri,” katanya.

Ketika ini, sebelum seseorang calon layak mendapat lesen memandu percubaan (lesen P), iaitu mengikuti ceramah KPP selama lima jam, kelas teori tiga jam, kelas praktikal tiga jam, latihan praktikal memandu 10 jam dan pra-ujian JPJ dua jam.

Format ujiannya pula meliputi tiga bahagian, iaitu bahagian A mengenai aspek tanda isyarat jalan raya, pemanduan berhemah dan aspek kecemasan (bahagian B) dan perundangan/peraturan, Sistem Kejara dan pengurusan stres (bahagian C).

Semua ini perlu dirombak semula dengan penekanan kepada sikap pemandu itu sendiri.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Pendekatan modular dilaksana tingkatkan pembelajaran BM

Oleh Khairina Yasin

KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan pendekatan modular dalam Kurikulum Standard Bahasa Malaysia sebagai satu daripada strategi pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) bermula 2012.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Dasar dan Pembangunan, Kementerian Pelajaran, Dr Haili Dolhan, berkata pendekatan itu satu daripada usaha penambahbaikan kurikulum sedia ada yang lebih menekankan konsep huraian sukatan pelajaran.

Menerusi pendekatan modular, katanya, kurikulum digubal dan disampaikan mengikut bahagian dan unit lengkap dengan gabungan pengetahuan, kemahiran dan nilai bersepadu yang seimbang serta holistik.

“Penambahbaikan ini dibuat bagi memastikan kurikulum BM di semua peringkat sekolah sentiasa relevan dan bersepadu bagi melahirkan insan seimbang.

“Ia juga satu mekanisme mantap, bestari dan berkesan bagi memastikan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah terus kukuh,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada murid prasekolah menerusi modul penguasaan asas berbahasa dimulai dengan pradengar, prabaca dan pratulis, selain mengenal abjad serta perkataan.

Katanya, modul itu bertujuan memastikan murid mendapat asas dan landasan kukuh untuk menguasai kemahiran berbahasa merangkumi kemahiran mendengar, menulis, membaca dan bertutur dalam BM dengan baik.

“Pelaksanaan secara berstruktur dan sistematik menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara berkesan diyakini dapat membantu murid memantapkan kefahaman dan penggunaan BM yang tepat.

“Setiap kemahiran akan didedahkan menerusi modul masing-masing yang dibangunkan menepati keperluan penguasaan BM murid,” katanya.

Selain itu, Haili berkata, elemen seni bahasa juga akan diketengahkan menerusi aplikasi kemahiran bahasa dan pendekatan didik hibur yang menyeronokkan.

Pendekatan didik hibur, katanya, akan dijelmakan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi mewujudkan proses P&P interaktif dan menyeronokkan.

“Malah elemen sastera BM kontemporari kepada murid tahap dua sekolah rendah juga akan diperkenalkan sejajar dengan pelaksanaan komponen sastera BM atau Komsas di sekolah menengah sejak tahun 2000,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

ISU KEMALANGAN DI JALAN RAYA

Sampai bila pengguna jalan raya harus dipantau polis, JPJ?

SEBANYAK 210 pengguna jalan raya terbunuh pada hari ke-12 Ops Sikap Ke-20, di sebalik harapan kerajaan untuk mengurangkan angka kematian semasa musim perayaan kali ini.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) telah bersungguh-sungguh melakukan yang terbaik untuk memastikan angka korban akibat nahas jalan raya pada musim perayaan dapat diturunkan dari tahun ke tahun.

Tahun ini tiada bezanya. Dalam tempoh 12 hari Ops Sikap ke-20 dilaksanakan, bilangan nyawa yang terkorban meningkat 210 orang. Jumlah mangsa korban ini sudah melebihi catatan Ops Sikap Ke-17 pada Aidilfitri tahun 2008 iaitu 208 orang dan mungkin menghampiri atau mengatasi angka 225 orang korban pada tahun 2007.

Bermakna purata kematian di jalan raya setakat 12 hari ialah 17.5 orang sehari. Kesesakan pulang kembali ke kota selepas bercuti panjang mungkin bertambah pada hujung minggu ini. Kita amat bimbang keselamatan pengguna jalan raya sekarang.

Dengan kadar kematian 18 orang setiap hari, ia suatu gambaran yang menakutkan. Bermakna setiap 1 jam 20 minit mungkin ada ahli keluarga dan rakan kita menemui ajal di jalan raya.

Semasa Ops Sikap pertama dilaksanakan pada hujung tahun 2002 dahulu, purata kematian ialah 14.9 orang sehari. Angka itu terus terkatung-katung dalam kadar yang sama dari tahun ke tahun. Ops Sikap ke-15 pada akhir 2007 turut mencatatkan purata 14 kematian sehari.

Menurut laporan WHO Global Safety Report on Road Safety 2008, Malaysia mencatatkan 16.8 juta kenderaan berdaftar pada 2007.

Secara purata, kadar kematian di jalan raya Malaysia bagi 10,000 kenderaan ialah 3.7. Sedangkan sasaran negara ialah 2.0 kematian bagi 10,000 kenderaan menjelang 2010. Kadar 3.7 kematian yang dicatatkan di negara ini lebih tinggi berbanding dengan Indonesia (2.6), Singapura (2.5), Filipina (2.1) dan Brunei (1.8).

Apabila kita banding dengan negara yang mempunyai jumlah penduduk hampir sama dengan Malaysia, Australia misalnya yang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar yang tinggi dan kurang pemilikan kereta persendirian mencatatkan kadar kematian di jalan raya hanya 1.1 sahaja bagi 10,000 kenderaan.

Amerika Syarikat yang mempunyai jumlah penduduk yang besar pula mencatatkan 1.7 kadar kematian jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan, manakala United Kingdom berada pada 1.0 dan Jerman (0.9). Di negara maju seperti Jepun dan Switzerland merekodkan kadar paling rendah 0.7 kematian.

Persoalan yang patut ditanya kepada diri kita - kenapa negara-negara tersebut tidak banyak kehilangan aset sumber manusia di jalan raya pada setiap tahun? Kita patut sedar bahawa kemalangan jalan raya dan masalah yang berkaitan dengannya menyebabkan kerajaan menanggung kos sebanyak dua peratus daripada Keluaran Negara Kasar.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat menyatakan rasa terkejut dan kecewa dengan jumlah kemalangan maut yang tinggi dalam sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Beliau hairan mengapa jumlah korban nahas terus meningkat meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan selama ini.

Bagaimanapun, jawapan kepada masalah ini boleh difikirkan berdasarkan kenyataan Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof. Kehadiran kira-kira 2,500 polis trafik dan anggota biasa dari pelbagai jabatan polis yang bertugas terutama di 377 lokasi yang dikenal pasti cenderung berlaku kemalangan, didapati mampu mengurangkan kemalangan di kawasan tersebut.

Namun katanya, kawasan yang diklasifikasikan tidak berkecenderungan tinggi berlaku kemalangan yang mana pihak polis kurang memberi tumpuan pula menunjukkan peningkatan kemalangan jalan raya.

Beliau berkata, ini menunjukkan pemandu bersikap sambil lewa dan gagal mematuhi pemanduan selamat apabila ketiadaan pihak berkuasa.

Adakah ini menunjukkan pemandu-pemandu Malaysia memerlukan lebih pemerhatian polis demi keselamatan nyawa mereka?

Sampai bila agaknya pengguna jalan raya di Malaysia harus menyerahkan keselamatan nyawa mereka untuk dipantau sepenuhnya oleh PDRM, JPJ atau agensi-agensi yang berkaitan?

Cuba kita bayangkan apa akan berlaku jika pergerakan serta keselamatan pengguna jalan raya tidak dipantau pihak berkuasa.

Kehadiran anggota polis secara fizikal mungkin tidak sesuai bagi mengawal perjalanan kenderaan sepanjang musim-musim perayaan. Adakah inilah masanya kita mencuba kawalan melalui teknologi?

Kita minta pihak berkuasa yang berkenaan melihat pendekatan ini? Ini adalah soal menyelamatkan nyawa. Ingat seseorang mungkin menemui ajal setiap 1 jam 20 minit.

Semua pemandu kenderaan juga tahu punca berlaku kemalangan adalah kerana faktor sikap, keadaan kenderaan, mutu jalan, pematuhan undang-undang serta tahap kelajuan. Kenapa orang Malaysia susah untuk berubah sikap?

Memandangkan Ops Sikap ke-20 yang akan berakhir Ahad ini, kita berdoa agar pengguna jalan raya akan selamat. Semua pihak mesti memainkan peranan bagi memastikan jalan raya kita selamat. Selain usaha pihak berkuasa menyelia dan memantau pergerakan lalu lintas, peranan pihak pengguna sendiri amatlah besar ke arah mengurangkan musibah di jalan raya.

Pemanduan secara lebih berhemah dan lebih berwaspada sudah tentu menyumbang kepada perjalanan yang selamat kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain. Pengurangan kemalangan bermakna akan berkuranglah risiko kematian.

Berhati-hatilah di jalan raya.

Sumber : http://www,utusan.com.my/