Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my
Persefahaman organisasi bentuk suasana kondusifALHAMDULILLAH, setiap hari kita menghabiskan separuh daripada masa dengan bekerja. Selama itu kita berada dalam ‘dunia pejabat’ bersama komuniti pejabat.
Sudah tentu dalam tempoh bekerja yang panjang ini, kita menginginkan suasana selesa, tenang dan gembira. Jika mahu keselesaan, kita boleh sediakan ruang pejabat yang luas, perabot mencukupi dan peralatan canggih.
Namun, jika kita mahu keseronokan dan kepuasan bekerja, kita perlu mengutamakan muafakat. Muafakat adalah pelbagai nilai diri pekerja termasuk tolak ansur, berfikiran positif, baik prasangka dan saling menghormati.
Gabungan keselesaan dan keseronokan bekerja ini mampu mewujudkan suasana bekerja kondusif yang menjamin kualiti perkhidmatan dan pengurusan dalam organisasi.
Bayangkan jika kita melangkah masuk ke pejabat, melihat wajah ceria rakan, mesra dengan tutur kata dan ucapan salam, saling bertanya khabar, bertukar pandangan dan mudah membantu.
Sudah tentu ia menyuntik semangat bekerja sehingga waktu yang panjang bagai tidak terasa. Berbanding apabila melangkah masuk melihat wajah masam, sinis dan tutur kata menyakitkan hati.
Jika ingin membuat pilihan, yang mana antara kedua-dua senario ini yang kita inginkan?
Sudah tentu kita ingin situasi pertama iaitu suasana ceria dengan wajah manis, budi bahasa, tutur kata baik dan rakan yang mudah diajak bekerjasama.
Suasana bekerja yang didukung oleh nilai, sikap dan hubungan baik ini mampu menatijahkan kerja secara bermuafakat. Pepatah Melayu menyebut, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.
Dr Abbas Mahmud dalam Abqariyyah Umar, menyatakan khalifah Saidina Umar al-Khattab menginginkan pekerja yang baik dengan katanya: “Aku mahukan individu yang apabila berada dalam suatu kaum, seolah-olah dia ketua mereka, sedangkan dia bukanlah ketua. Apabila individu itu menjadi ketua kepada sesuatu kaum pula, dia seolah-olah rakyat biasa daripada kalangan mereka.”
Kata-kata ini merujuk kepada sifat peribadi individu yang mudah menyesuaikan diri dengan suasana dan didekati dengan sifat disebutkan tadi selain merendah diri, berlapang dada, disenangi tutur katanya serta bertanggungjawab.
Muafakat adalah imej persaudaraan dalam Islam dan imej baik bagi pengurusan organisasi. Ia membuka peluang kepada bekerja dengan bermotivasi, keseronokan dan kepuasan yang dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja selain mengelak berlaku zalim sesama rakan sejawat.
Rasulullah SAW dengan tegas mengingatkan umatnya dengan bersabda: “Orang Islam adalah bersaudara, tidak boleh menzalimi dan menghinanya. Barang siapa menunaikan hajat saudaranya, nescaya Allah menunaikan hajatnya. Barang siapa melepaskan kecelakaan daripada seorang Muslim, nescaya Allah menyelamatkannya dari kecelakaan pada Hari Kiamat. Barang siapa menutup kelemahan seseorang Muslim, nescaya Allah menutupi kelemahannya pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)
Justeru, bagi menghasilkan muafakat kerja, mulakan dengan memupuk nilai itu dalam diri kita. Nescaya, kita akan menjadi contoh dan mendapat kemuliaan daripada-Nya. Bercita-citalah menjadi individu yang mencetuskan kegembiraan dan keselesaan kepada rakan selain berusaha untuk tidak menimbulkan masalah dalam perhubungan serta persekitaran kerja.
Firman Allah bermaksud: “Sesiapa mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jugalah segala kemuliaan. Kepada Allah naiknya segala perkataan baik dan amal salih pula diangkat-Nya naik (sebagai amal yang makbul). Sebaliknya, orang yang merancang kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) akan beroleh azab yang berat.” (Surah Fatir, ayat 10)
Selain itu, pekerja perlu sentiasa memohon pertolongan daripada Allah seperti munajat Rasulullah SAW dikisahkan dalam Surah al-Isra’, ayat 80 bermaksud: “Dan mohonlah (Wahai Muhammad, dengan berdoa): Wahai Tuhanku! masukkanlah daku dalam urusan agamaku dengan kemasukan benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia, dan berilah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”
Mengekalkan suasana kondusif dan budaya kerja positif lebih sukar berbanding mewujudkannya. Abu al-Qasim al-Qushayri berkata, “Istiqamah atau berterusan dalam sesuatu kebaikan adalah ukuran sebenar kejayaan dan sia-sialah usaha tanpa istiqamah.”
Sumber : http : //www.bharian.com.my/