Khamis, 29 Oktober 2009

ISU PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Sekolah satu aliran capai gagasan 1Malaysia

PELAKSANAAN sekolah satu aliran kembali menjadi perbualan hangat. Pelbagai pihak baik kalangan ahli akademik, tokoh sejarah mahupun orang politik mula memandang serius cadangan ini.

Malah ramai juga secara terus-terang mengutarakan sokongan mereka untuk melaksanakan cadangan tersebut dengan segera, baik pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Selama ini negara kita dianggap unik kerana kejituan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum. Ia jarang sekali berlaku di negara luar.

Nenek moyang kita telah bekerja keras dan melakukan pelbagai pengorbanan untuk mencapai keharmonian kaum yang kita nikmati sekarang. Namun apa yang dikhuatiri, semangat perpaduan ini semakin lama semakin terhakis.

Untuk itu kerajaan perlu bertindak segera dan kembali kepada fitrah pembentukan semangat perpaduan seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu yang ternyata membuahkan hasil selama ini.

Anak-anak kita yang bakal mewarisi negara ini perlu dididik dan dibentuk dari sekarang supaya mereka benar-benar dapat menghayati konsep dan erti sebenar perpaduan antara kaum yang terbina sekian lama.

Apakah kita lupa bahawa anak-anak yang dilahirkan umpama sehelai kain putih. Justeru kita percaya ibu bapa dan guru yang rapat dengan mereka saban hari dapat membantu memupuk nilai dan semangat perpaduan yang kita kehendaki.

Hanya sekolah dilihat sebagai tempat terbaik untuk membentuk anak- anak kita. Namun malangnya apa yang berlaku sekarang ialah anak- anak kita jelas terpisah dengan sekolah aliran masing-masing. Melayu di sekolah kebangsaan manakala Cina dan India masing-masing di sekolah jenis kebangsaan.

Kita percaya sekolah satu aliran ini tidak akan menafikan hak kaum masing-masing yang mahu bahasa ibunda mereka dipelajari oleh anak-anak mereka.

Ia juga pastinya tidak sama sekali menghilangkan identiti kaum tersebut. Bahasa ibunda masing-masing boleh terus diajar di sekolah satu aliran sebagai satu mata pelajaran wajib mengikut kaum masing-masing.

Pokok pangkalnya adalah bak kata peribahasa 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Memang ada golongan yang menentang keras cadangan mewujudkan sekolah satu aliran. Mereka mengutarakan pelbagai alasan mengikut perspektif dan logik akal masing-masing yang jelas mempunyai agenda tersendiri, dipengaruhi oleh emosi dan rasa tidak puas hati.

Dalam hal ini kerajaan sewajarnya bertindak dengan lebih bijak dan berhemah dengan mengambil kira pandangan dan pendapat majoriti penduduk negara ini yang rata-rata menyokong cadangan penubuhan sekolah satu aliran. Pedulikan golongan yang sering menjadi pengacau kepada pelbagai program yang hendak dilaksanakan.

Kerajaan perlu melihat secara lebih menyeluruh kepada manfaat yang bakal diperoleh hasil daripada pelaksanaan cadangan ini yang boleh membantu ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang dicita-citakan.

Usah endahkan golongan yang sememangnya sinonim dengan budaya 'tidak setuju'. Mereka tidak pernah menyokong apa sahaja program yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan sudah lali dengan budaya menentang dan membangkang.

Jika kita mahu mencapai Wawasan 2020, Misi Nasional dan terkini gagasan 1Malaysia, maka kewujudan sekolah satu aliran adalah jawapan dan jalan penyelesaiannya.

Hanya dengan sekolah satu aliran sahaja kita lihat anak-anak kita yang bakal mewarisi kepimpinan masa depan dapat meneruskan hasrat dan cita-cita yang telah kita bangunkan. Melentur buluh biarlah dari rebung. Anak-anak kita masih belum terlambat untuk dilentur atau dibentuk. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Pengabaian keselamatan undang tragedi jambatan gantung Kuala Dipang


TRAGEDI jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang, yang menyebabkan seorang murid terkorban, manakala dua lagi masih hilang mengundang pelbagai persoalan. Ketika pihak berkuasa berhempas pulas meneruskan operasi mencari dan menyelamat, pelbagai pihak sudah mula menyuarakan pendapat mereka. Reaksi mereka tidak mengejutkan kerana yang menjadi mangsa dalam insiden itu ialah murid sekolah rendah. Tambahan pula, ia berlaku dalam program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Sudah tentu isu utama yang diperdebatkan ialah berhubung aspek keselamatan. Apatah lagi ia berlaku di Pusat Kokurikulum milik PPD Kinta Selatan yang lokasinya bersebelahan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang. Apapun alasannya dan sama ada mahu atau tidak, hakikatnya beban tanggungjawab paling besar terhadap tragedi itu sebenarnya terpikul di atas bahu PPD. Meneliti rentetan peristiwa malang itu, sesuatu yang paling ketara ialah ia berpunca daripada pengabaian aspek keselamatan. Tanpa niat menuding jari kepada sesiapa, kita harus mengakui bahawa semua yang terbabit sama ada PPD, penyelia keselamatan, guru, malah murid sendiri alpa terhadap aspek keselamatan sehingga mengundang musibah. Malah, kontraktor yang membina jambatan gantung itu turut tidak terkecuali. Walaupun ia dikatakan dibina sebagai sumbangan untuk kemudahan pelbagai pihak, ia sepatutnya dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya spesifikasi dan aspek teknikalnya dapat dipastikan.

Di pihak PPD pula, isu sama ada ia sudah meneliti piawaian keselamatan atau kesesuaian tapak lokasi program perkhemahan, menjadi persoalan utama. Begitu juga dengan aspek logistik, pengendalian dan pengisian program itu. Demikian juga dengan semua guru serta pegawai keselamatan yang terbabit dalam menyelia program kokurikulum itu. Malah, murid terbabit sendiri, walaupun baru berusia 10, 11 dan 12 tahun sepatutnya lebih bijak menjaga keselamatan mereka. Mereka tidak sepatutnya melompat atau sengaja menggoyangkan jambatan gantung itu ketika menaikinya. Walaupun mungkin masih mentah, setidak-tidaknya mereka tentu dapat membaca amaran had muatan jambatan itu yang dikatakan jelas terpampang. Sebenarnya, mencari atau meletakkan kesalahan kepada satu-satu pihak saja tidak akan menyelesaikan masalah. Hakikatnya, keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Melahirkan amarah tidak berkesudahan serta bertindak terburu-buru akan hanya merumitkan keadaan. Biarlah pasukan khas yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran menyiasat kes itu melaksanakan tugas mereka sebaiknya. Susulan itu nanti, sudah tentu tindakan sewajarnya mengikut lunas yang ditetapkan, dapat diambil demi keadilan semua. Kita dan semua pihak amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga semua mangsa tragedi itu. Apa yang penting kini ialah untuk semua pihak menjadikan tragedi malang itu sebagai iktibar dan berusaha memastikannya tidak berulang pada masa depan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Nota hujung:

Dua lagi mayat mangsa lemas dalam kejadian jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Kuala Dipang ditemui malam tadi dan pagi ini.Dengan penemuan kedua-dua mayat itu menjadikan kesemua tiga mangsa yang hilang telah ditemui, sekali gus operasi mencari dan menyelamat sejak tiga hari lepas telah ditamatkan.