TERAS Belia 1Malaysia
berpandangan bahawa golongan belia perlu menggerakkan perubahan dan mencorakkan
hala tuju perjalanan negara.
Sehubungan itu, belia pada hari
ini perlu diperkukuh dengan kemantapan budaya dan ketinggian nilai-nilai
kehidupan agar generasi yang terbentuk pada masa hadapan mampu untuk menghadapi
cabaran sezaman.
Walaupun begitu, persoalan
budayalah yang sebenarnya begitu rumit untuk dihadapi. Hal demikian
memandangkan budaya bukanlah sekadar terhenti di wacana-wacana ilmiah sahaja,
tetapi apa yang dapat kita lihat dalam amalan kehidupan masyarakat.
Kita melihat sendiri anak muda
dan khususnya belia yang lahir pada hari ini mengalami krisis jati diri dan
visi hidup.
Malah gejala kemelesetan visi
hidup ini menyebabkan lunturnya perjuangan sejati manusiawi di muka bumi ini
iaitu mempertahankan yang hak, menolak yang mungkar.
Dalam konteks pembangunan dan
kejayaan negara, belia memiliki obligasi untuk memastikan keadilan sosial,
pembangunan sosial yang beretika, meninggalkan budaya popular (serangan budaya
Barat) yang menyahkan jati diri ummah dalam memperjuangkan kemajuan
berlandaskan saranan Islam.
Serangan budaya Barat memanglah
sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Dengan kemenangan aliran
demokrasi-liberal-kapitalisme yang menjadi ancaman terhadap budaya setempat.
Kapitalisme yang menjadikan
tujuan mengaut keuntungan semata-mata sebagai terasnya kini tersembunyi di
dalam pelbagai bentuk, daripada pemakaian, kecanggihan alat komunikasi, gaya
bertutur, muzik, siri realiti televisyen sehinggalah kepada percambahan
pusat-pusat hiburan tanpa memikirkan kesannya kepada budaya masyarakat
setempat.
Jika belia yang jauh dari sikap
dan perjuangan berprinsip dan bervisi, mereka akan larut dengan bentuk budaya
baru yang mementingkan sensasi, maksiat, budaya seronok yang melampau (utopia)
yang menerapkan sikap individualisme.
Salah Laku
Dalam konteks Malaysia, kita
tidak dapat menyangkal hakikat bahawa generasi belia sedang berhadapan dengan
cabaran kebudayaan yang begitu serius.
Pada hari ini, generasi belia
berhadapan dengan pelbagai bentuk budaya yang bersifat destruktif dan tidak
menguntungkan negara.
Hal ini terzahir daripada
pelbagai salah laku dan masalah sosial yang berpunca daripada budaya hedonisme,
‘sensate’ dan permisif.
Generasi muda lebih cenderung
menghabiskan masa berpesta dan berhiburan, menghadiri konsert, berpacaran dan
bergaul secara bebas daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang lebih
bermanfaat.
Lihat sahaja bagaimana generasi
muda kita menyambut kedatangan tahun baru, hari kemerdekaan mahupun sambutan
hari Malaysia dengan anjuran konsert dan fiesta yang bermatlamatkan untuk menyampaikan
suara remaja dalam konteks perjuangan bagi mencapai kemerdekaan.
Penganjuran Konsert
Namun, apa yang sedih untuk
dikatakan di sini, matlamat penganjuran konsert untuk tujuan perjuangan tidak
dapat dicapai sama sekali apabila hasil murni pihak penganjur akhirnya membawa
kepada satu temasya hiburan semata-mata dan tidak keterlaluan jika dikatakan
tiada perjuangan yang disampaikan melalui penganjuran konsert baru-baru ini.
Apa erti perjuangan kepada
golongan belia ini sekiranya mereka berkiblatkan hiburan dengan niat
perjuangan? Apa yang mereka faham tentang perjuangan sekiranya mereka tidak
menghargai hak dan warisan bangsa sehingga tidak sedar mereka memperlekehkan
Jalur Gemilang sebagai satu kain rentang yang dikibarkan dek asyik dengan persembahan
pentas selebriti tempatan dan juga antarabangsa?
Memang sewajarnya kita merasa
gusar, prihatin dan gelisah dengan segala wabak sosial ini. Hal ini menjadi
sedemikian kerana sekiranya tidak ada usaha-usaha terancang dan perancangan
budaya (cultural planning), generasi pada masa hadapan akan lemah dan tidak
mampu menghadapi perubahan sezaman.
Sebagai generasi pasca
kemerdekaan, remaja perlu kembali untuk memahami sejarah dan perkembangan
negara kita. Ini penting sebagai kayu pengukur dan pemangkin dalam
menyumbangkan khidmat dan bakti kepada negara tercinta.
Tanpa memahami akan perkembangan
negara dan buta sejarah, kita mungkin akan hanyut dibawa arus kesenangan hidup
yang melalaikan.
Sehubungan itu, kita tidak
sepatutnya merasakan cukup sekadar apa yang ada. Kita perlu membuka ruang dan
mencipta peluang seperti mewujudkan trend pemikiran yang lebih proaktif.
Kemajuan dan perkembangan dunia
sekeliling perlu dimanfaatkan dan dipergunakan sebagai sebahagian daripada
bahan-bahan bagi memajukan diri dan negara.
Menurut cetusan pemikir Islam,
Malik Bennabi yang telah mengungkapkan perihal kebolehjajahan umat sebagai
sindrom colonializibility, punca kita mudah terjajah bukanlah disebabkan
hebatnya budaya yang menjajah itu, tetapi segalanya bermula apabila kita
sendiri sudah melupakan asas-asas jati diri kita sendiri yang terdiri daripada
agama, pegangan nilai dan budaya.
Hanya apabila kita sudah tidak
yakin lagi dengan kekuatan sendiri, barulah penjajahan budaya dan pemikiran
lebih mudah berlaku. Kunci penjajahan minda dan budaya adalah kelemahan diri
sendiri yang dimiliki.
Justeru, dalam usaha untuk
mengekalkan kemerdekaan budaya dan negara, remaja perlu lebih berusaha dan
produktif apabila melakukan sesuatu perkara.
Para remaja haruslah lebih tabah
dalam menghadapi cabaran demi mempertahankan hak-hak mereka. Kita juga mesti
berdikari dan tidak bergantung kepada kuasa-kuasa asing supaya dapat menjamin
kedaulatan negara.
Di samping itu, para pemimpin
belia perlu juga memikirkan strategi untuk melibatkan generasi belia dengan
pelbagai kegiatan yang bermanfaat.
Dengan pembabitan lebih ramai
belia ke dalam aktiviti-aktiviti sosial, sukarela dan kemasyarakatan, ciri-ciri
kepimpinan dan nilai-nilai budaya yang positif dapat dijelmakan ke dalam bentuk
perbuatan berbanding dihidangkan dengan agenda-agenda hiburan semata.
* Penulis ialah pensyarah
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Melaka
Sumber : http : //www.mstar.com.my/