Oleh Ruhaiza Rusmin
SUNGUTAN mengenai tahap
pencapaian mahasiswa kita yang sentiasa sederhana sudah lama kedengaran malah
graduan yang naik ke pentas dengan keputusan cemerlang juga boleh dibilang dengan
jari.
Biarpun berjaya menjejakkan kaki
ke pusat pengajian tinggi dengan peluang sama rata, tidak semua menggunakan
kesempatan itu untuk mengubah pencapaian diri.
Tambah menyedihkan lagi, biarpun
memasuki alam pengajian tinggi, mereka masih dikongkong oleh sikap pasif
seperti di alam persekolahan.
Adakah sikap itu menjadi punca
mereka gagal mencapai kecemerlangan?
Dan, benarkah tanggapan yang
dilemparkan masyarakat bahawa mahasiswa kita sukar diubah?
Pensyarah Pusat Pengajian
Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Salina Nen
berkata, memang ada kebenarannya apabila masyarakat melabelkan sikap mahasiswa
kita masih di takuk lama dan sukar diubah.
Beliau berkata, tanggapan itu
bukan dibuat secara suka-suka namun didorong perasaan tidak yakin apabila
melihat sikap mahasiswa hari ini.
“Saya percaya masyarakat tidak
mudah membuat persepsi itu, tapi mereka membuat penilaian berdasarkan senario
semasa.
“Cuba lihat bagaimana reaksi dan
sikap sebahagian besar mahasiswa kita sewaktu di menara gading? Mereka malu
bertanya, jarang berkomunikasi secara ilmiah serta mengamalkan sikap serba tahu
biarpun sebenarnya tidak tahu.
“Apa yang berlaku itu sudah pasti
mempengaruhi pemerhatian masyarakat kerana mereka sendiri yang membenarkan diri
dinilai sebegitu.
“Cuba mahasiswa menunjukkan sikap
sebaliknya, sudah tentu penilaian masyarakat juga berbeza,” katanya.
Biarpun dalam setiap majlis
konvokesyen, masih ada graduan memperoleh keputusan cemerlang peratusannya
masih kecil berbanding keputusan sederhana.
Pencapaian itu mencerminkan
bagaimana lewa dan cuai mahasiswa memanfaatkan peluang di depan mata dengan
tidak belajar bersungguh-sungguh.
Lebih memeritkan, sikap pasif
yang hanya mengharapkan belas ihsan pensyarah atau rakan lain menjadikan mereka
mudah berpuas hati.
Beliau berkata, mahasiswa di
menara gading seharusnya akur mereka sudah memasuki satu fasa baru yang
mengkehendaki mereka berubah sikap.
“Di sini (menara gading) semuanya
perlu dilakukan sendiri, usah bermimpi adanya bantuan daripada orang lain untuk
mencapai sesuatu.
“Universiti adalah fasa
peralihan alam persekolahan, justeru warganya perlu bijak berdikari, lebih
matang, rasional serta memandang jauh ke depan, bukan mengambil jalan mudah.
“Mahasiswa perlu mengemudi arah
masa depan mengikut perancangan sendiri,” katanya mengakui kebanyakan tenaga
pengajar juga berasa tertekan dan kecewa dengan sikap ditonjolkan itu.
“Kami (tenaga pengajar) sentiasa
mengharapkan sesi pembelajaran berlangsung dalam komunikasi dua hala, wujudnya
interaksi bagi mencambah pengetahuan baru dan kritis.
“Malangnya, ia tidak berlaku
kerana kebanyakan mahasiswa seperti ‘tidur’ dan tidak mahu memberi reaksi
memberangsangkan.
“Berbanding mahasiswa asing,
reaksi mereka berbeza. Berani bertanya, suka berdebat, mampu memberi buah
fikiran biarpun salah dan sebagainya.
“Kami tertanya-tanya mengapa
mahasiswa kita tidak begini. Dalam ribuan mahasiswa, hanya sekelumit yang aktif
manakala lain hanya membatu,” katanya.
Bukan mahu menidakkan kemampuan
mahasiswa kerana yakin mereka yang terpilih adalah daripada golongan bijak.
Bagaimanapun, beliau berpendapat
sikap pasif itu berpunca daripada keengganan diri menerima keadaan baru dan selesa
dengan persekitaran lama.
“Mahasiswa kita boleh berubah dan
melakukan kejutan namun mereka kebanyakannya malas selain selesa dengan
persekitaran sedia ada.
“Mereka berpendapat, aktif dalam
kuliah tidak boleh membantu untuk memperoleh keputusan baik berbanding sesi
mengulang kaji.
“ Memang merugikan kerana
berdasarkan kajian, aktif bertanya dalam kuliah juga mampu menyumbang kepada
peningkatan pemahaman dan pencapaian mahasiswa dalam peperiksaan,” katanya.
Mahasiswa yang aktif dalam kuliah
mahupun aktiviti, juga katanya mempunyai banyak kelebihan tersembunyi.
“Antaranya lebih kenali pensyarah
yang boleh membantu mereka memperoleh sedikit kelebihan berbanding tidak
dikenali. Hubungan mesra boleh terjalin selain pemahaman mengenai sesuatu
subjek juga lebih mendalam.
“Malangnya kelebihan ini jarang
mahu direbut kerana beranggapan jika banyak bertanya, bermakna mereka kurang
bijak atau khuatir mengganggu perjalanan kelas.
“Dan, berdasarkan pemerhatian,
mereka yang pasif ini memang akan bermasalah dari segi membina pemahaman,
pembinaan jati diri selain sukar memperoleh keputusan baik,” katanya.
Mengulas tanggapan sikap itu ada
kaitan dengan sistem pendidikan sekolah, beliau tidak meletakkan kesalahan
seratus peratus padanya.
“Sebagai mahasiswa, mereka harus
tahu alam pengajian di universiti cukup berbeza. Perlu ada keinginan sendiri,
bijak menyesuai diri dengan persekitaran dan sebagainya.
“Tiada lagi istilah ‘manja’ atau
perlu ditatang sentiasa. Universiti tempat persediaan untuk melangkah alam
dewasa.
“Jika dalam tempoh itu mereka
masih sama dan terus mengekalkan sikap keanak-anakan, apakah mereka mampu
berdepan cabaran lebih hebat selepas itu,” soalnya.
Pensyarah juga diharap dapat
menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik perhatian mahasiswa supaya lebih
proaktif dalam dewan kuliah.
“Ada kalanya cara pembelajaran
pensyarah yang pasif juga gagal memikat perhatian mahasiswa menjadikan mereka
kurang berminat.
“Untuk itu, kedua-dua pihak perlu
peka dan saling berusaha menghidupkan suasana supaya proses pembelajaran
menjadi lebih menyeronokkan dan memberi manfaat bersama,” katanya.
Begitupun masih belum terlambat
untuk memperbetul keadaan dan berharap mahasiswa alaf baru mesti berani
bangkit melakukan anjakan minda dan keluar dari kepompong keselesaan.
“Biarpun senario mahasiswa pasif
sudah lama, mereka boleh mengubah keadaan dengan berani memulakan langkah
pertama.
“Setiap orang boleh berubah
kecuali mereka yang mahu gagal saja tidak mahu melakukannya,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/