Ahad, 2 Disember 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Tujuh juta pengguna telefon pintar diancam penggodam siber


KUALA LUMPUR - Kira-kira tujuh juta pemilik telefon pintar di negara ini diancam penggodam siber yang menjadikan ia instrumen dalam kegiatan penggodaman untuk menipu bagi mendapatkan wang.
  
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata kurangnya kesedaran terhadap risiko keselamatan telefon pintar menjadikan pengguna ini mudah disasarkan sebagai mangsa.
  
"Modus operandi antaranya dijalankan dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dikenali sebagai 'SMS Trojan' kepada pengguna yang tanpa disedari kos dikenakan ke atas pengguna dengan hanya membalas sms berkenaan. Pengguna hanya menyedari perkara itu apabila mereka menerima bil telefon yang tinggi sedangkan mereka tidak menggunakannya," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
  
Katanya, kegiatan itu juga dikesan dengan menipu menerusi aplikasi-aplikasi yang terdapat di dalam peranti (telefon bimbit) sebagai contoh aplikasi 'Type-On' yang sekiranya dimuat turun akan menyebabkan pengguna menanggung  kos yang kononnya dikenakan selepas memuat turun aplikasi tersebut walaupun mangsanya telah menghentikan aplikasi berkenaan.
  
'Lookout Mobile Security' yang dipetik dari agensi berita luar negara, AFP, menganggarkan pengguna di seluruh dunia mengalami kerugian jutaan dolar pada tahun lepas melalui virus 'malware' dan 'toll fraud' yang menyerang pengguna telefon pintar kerana mendapatkan aplikasi daripada sumber tidak rasmi berbanding sumber yang dipercayai seperti Apple atau Google 'online shops'.

Syed Ismail berkata, berdasarkan statistik polis, kerugian yang direkodkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini bagi jenayah siber yang menggunakan modus operandi melalui SMS atau panggilan telefon, perbankan internet atau perbankan telefon, penggodaman dan salah guna rangkaian termasuk belian barangan adalah kira-kira RM21.8 juta.
  
Katanya, kes belian barangan melalui internet mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM14.5 juta bagi 1,298 kes diikuti SMS atau panggilan telefon sebanyak RM3.4 juta (412 kes), 24 kes penggodaman (RM3.3 juta) perbankan internet atau perbankan telefon sebanyak RM590,000 (74 kes ).
  
"Bagaimanapun bagi kes salah guna rangkaian tidak merekodkan sebarang kerugian memandangkan ia tidak melibatkan kerugian harta benda tetapi ia lebih kepada jenayah peras ugut terhadap mangsa seperti menggunakan gambar dan kata-kata mengugut. Ia mencatatkan sebanyak 25 kes," katanya.
  
Syed Ismail berkata, selain daripada tujuh juta pengguna telefon pintar, pengguna internet mudah-alih berjumlah 7.7 juta pengguna di Malaysia.
  
Katanya polis akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan lanjut dan bekerjasama rapat dengan agensi itu.

Justeru, Syed Ismail berkata berdasarkan laporan yang pernah diterima, pengguna yang mendapati bil telefon mereka melambung tinggi tanpa sebab munasabah dengan penggunaannya hanya akan melaporkannya kepada syarikat telekomunikasi sekadar untuk membuat aduan dan mendapatkan penjelasan mengenainya tanpa membuat tindakan susulan.
  
"Dalam perkara ini, mereka juga boleh menyalurkan aduan mereka kepada SKMM sebelum tindakan sewajarnya diambil seperti mengenakan kompaun kepada syarikat telekomunikasi sekiranya didapati syarikat berkenaan mengenakan kadar bayaran tanpa alasan yang munasabah.
  
"Melalui langkah ini juga mungkin dapat mengesan kewujudan kegiatan penipuan oleh penjenayah siber terhadap pengguna telefon pintar," katanya.
  
Dalam aspek penguatkuasaan, Syed Ismail berkata pihaknya berusaha untuk melengkapkan polis dengan kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan berkongsi maklumat dengan agensi lain, sama ada di dalam mahupun di  luar negara.
  
"Seiring dengan perkembangan jenayah siber semasa, penambahbaikan dari segi peralatan dan teknologi khas seperti perkakasan dan perisian harus sentiasa dikemaskini dalam memastikan langkah pencegahan yang lebih berkesan," katanya.
  
Katanya, masyarakat sendiri harus mempunyai ilmu tentang tahap keselamatan telefon pintar mereka dan bagaimana untuk mencegah sekali gus mengurangkan risiko daripada menjadi sasaran penjenayah siber yang sentiasa bekerja 24 jam mencari mangsanya.  - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan