Oleh : MOHD AL QAYUM AZIZI
SHAH ALAM: Pegawai
Geologi, Izyan Hani dinobatkan sebagai juara MasterChef Malaysia musim kedua
pada pertandingan akhir program itu yang berlangsung pada malam Sabtu.
Kemenangan Izyan melayakkan
dirinya untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 beserta trofi
sumbangan Astro serta hadiah peralatan memasak tajaan Panasonic.
Mengulas kemenangannya, Izyan
berkata, tunjuk ajar daripada chef dan ilmu yang dkutip sepanjang berada dalam
program tersebut telah digunakan sebaiknya dalam pertandingan akhir itu dan
bersyukur semua usaha kerasnya telah membawa hasil.
“Dinobatkan sebagai MasterChef
Malaysia musim kedua merupakan perasaan yang paling menakjubkan dan sesuatu
tidak pernah disangka akan terjadi dalam hidup saya.
"Terlalu banyak yang saya
pelajari sepanjang pertandingan ini terutamanya ilmu-ilmu kulinari daripada
chef-chef terkemuka, pendedahan dunia kulinari, pengalaman memasak dalam
pelbagai situasi.
"Semua pengalaman itu saya
curahkan dalam pertandingan akhir dan Alhamdulillah rezeki berpihak kepada
saya," katanya.
Pada episod terakhir yang disiarkan
secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Mustika HD (134) itu,
Izyan berentap dengan dua peserta lelaki iaitu Ng Yeong Hong (Ah Hong) dan Muhd
Fazrul Nizam Anas Anizan (Along).
Dalam pada itu, Izyan berkata,
persaingan antara mereka cukup sengit kerana Ah Hong dan Along mempunyai
kelebihan masing-masing.
Bagaimanapun kata Izyan dia
berasa bangga dapat berentap dengan mereka pada peringkat akhir program itu.
"Bersaing dengan mereka pada
peringkat akhir merupakan satu penghormatan yang amat besar kerana mereka
merupakan tukang masak yang hebat," katanya.
Pada pertandingan akhir itu,
kesemua peserta dikehendaki menyediakan dua jenis hidangan yang mempunyai
elemen dan suntikan citarasa Malaysia.
Tiga jam diberikan bagi
menyiapkan kesemua hidangan untuk dinilai oleh 15 juri profesional termasuk
juri tetap MasterChef Malaysia Musim Kedua iaitu Chef Joe, Chef Adu dan Chef
Zubir.
Antara juri profesional yang
dijemput adalah Datuk Chef Ismail, Chef Florence Tan, Chef Zaishahrizal Zamani
dan Perunding Makanan, Prof Madya Dr Shahrim Karimady.
Izyan menyediakan menu yang
diberi nama Suria Kasih iaitu daging tenderlion, kekapis bersama pucuk paku
bersos kari hijau serta sari buah delima dan salad segar.
Manakala pencuci mulut Bulan
Merindu iaitu kek kukus coklat bersama crumble, strawberi serai dihidang
bersama gramita tembikai berpudina.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim
Ahmad berkata, MasterChef Malaysia telah mencipta fenomena di negara ini dan
menjadi satu lagi program terbaik dan menjadi pilihan utama penonton sepanjang
70 episod yang telah ditayangkan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih
kepada PANASONIC ‘Cooking Magic’ selaku penaja utama MasterChef Malaysia dan
MyChef sebagai penaja bersama.
"Sokongan yang telah
diberikan oleh pelbagai pihak sepanjang penerbitan MasterChef Malaysia amat
kami hargai dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa depan"
ujarnya.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan