Sabtu, 1 Disember 2012

Piala AFF: Malaysia mara ke separuh akhir



NOOR HAFIZA CHE ABDULLAH

MALAYSIA layak ke separuh akhir dengan mengatasi Indonesia 2-0 pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan B kejohanan Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Skuad kebangsaan mendahului Indonesia 2-0 pada separuh masa pertama. Gol Malaysia dijaringkan oleh Azamuddin Akil pada minit ke-27, sebelum Mahali Jasuli menggegarkan stadium dengan gol kedua pada minit ke-30.

Meskipun Malaysia mendapat sorokan gemuruh daripada penyokong yang membanjiri stadium malam ini, Harimau Malaya tidak mempamerkan aksi garang pada babak awal perlawanan apabila Indonesia terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah menerusi Vendry.

Pun begitu, rembatan kencang Rendry berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias.

Selang satu minit kemudian, sekali lagi peluang Indonesia untuk menjaringkan gol diperoleh  menerusi Samsul,  namun percubaan Samsul tersasar.

Susulan asakan pasukan pelawat, Malaysia mula mengatur gerakan menarik. Safee Sali tidak berjaya menanduk masuk hantaran daripada  sepakan sudut pada minit ke-23.

Selepas itu, penantian gol Malaysia akhirnya tertunai apabila tendangan Azamuddin berjaya menewaskan penjaga gol Indonesia, Wahyu Tri Nugroho untuk meletakkan Malayia di depan pada minit ke-27.

Selang tiga minit kemudiaan, kealpaan benteng pertahanan Indonesia  mengundang padah apabila Malaysia berjaya meledak gol kedua menerusi Mahali pada minit ke-30, sekali gus menggegarkan stadium dengan nyanyian kata-kata semangat.

Bersambung babak kedua, Indonesia mula beraksi garang apabila pergerakan cantik Andik nyaris membolosi gawang.

Percubaannya ditangkap kemas oleh Farizal.

Selepas itu, giliran Malaysia melakukan asakan, tetapi tandukan Safee hasil hantaran Zubir sekali lagi tidak menepati sasaran pada minit ke-51.

Indonesia tidak berputus asa dan terus membuat percubaan bagi mendapatkan gol, pun begitu gagal membolosi gawang  Malaysia  dan akhirnya terpaksa akur apabila misi mereka untuk menempah tiket ke separuh akhir musnah.

Senarai pemain:

MALAYSIA: Mohd Farizal Marlias, Mahalli Jasuli, Muhammad Zubir Mohd Azmi, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohamad Fadhli Mohd Shas, Safiq Rahim (Kapten), Mohd Shakir Shaari (Gary Steven Robbat), Wan Zack Haikal Wan Nor, Azamuddin Mohd Akil (Ahmad Fakri Saarani), Norshahrul Idlan Talaha (Amar Rohidan), Mohd Safee Mohd Sali.
   
INDONESIA: Wahyu Tri Nugroho, Vendry Ronaldo Mofu, Raphael Guillerm Eduardo Maitimo, Novan Setya Sasongko, Nopendi, Fachruddin Wahyudi Aryanto, Taufiq, Elie Aiboy (Kapten)(Andik Vermansyah), Samsul Arif Munip (Jhonny Rudolf Van Beukering), Oktovianus Maniani (Tonnie Harry Cusell), Irfan Haarys Bachdim. 

Pengadil: Kovalenko Valentin (Uzbekistan)

Sumber :  http : //www.sinarharian.com.my/

NOTA HUJUNG : 
  • Kemenangan ini meletakkan skuad Harimau Malaya di tempat kedua dalam Kumpulan B dengan enam mata di belakang Singapura, yang turut mengutip enam mata tetapi dibezakan oleh jumlah jaringan, selepas pasukan tersebut mengalahkan Laos 4-3 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Shah Alam. 
  • Sebagai naib juara kumpulan B, anak buah Datuk K. Rajagobal bakal berdepan Thailand yang muncul juara Kumpulan A di separuh akhir yang akan berlangsung di sini pada 9 Disember dan di Bangkok pada 13 Disember. 
  • Satu lagi separuh akhir adalah antara Singapura menentang naib juara Kumpulan A, Filipina pada 8 dan 12 Disember.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan