Sabtu, 1 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : Guru perlu beri gambaran baik manfaat SPPBS kepada pelajar


MARAN 29 Nov. - Golongan pendidik di negeri ini dinasihatkan agar tidak membahaskan Sistem Pengurusan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi mengelakkan masyarakat pesimis terhadap transformasi pendidikan negara.

Ketua Unit Pra-U/Muet Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Yaakob Md. Salleh berkata, sistem pentaksiran yang dibuat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) bagi memudahkan kemas kini serta memasukkan data prestasi murid secara dalam talian dan boleh dicapai di mana-mana sahaja lokasi yang mempunyai talian internet.

Tambahnya, walaupun terdapat rungutan khususnya para guru berhubung pelaksanaan sistem dalam talian kemasukan markah, tetapi sejak kebelakangan ini langkah itu semakin baik dan tidak menimbulkan masalah.

''Guru sebagai pelaksana dasar harus menunjukkan gambaran baik kepada masyarakat bagi mengelakkan ibu bapa sangsi dan curiga akan masa depan anak-anak mereka.

''Sistem SPPBS adalah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi," katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis penutup kursus penyebaran SPPBS Tingkatan dua di Pejabat Pelajaran Daerah Maran di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Pegawai Peperiksaan Awam Pejabat Pelajaran Daerah Maran, Mahathir Ahmad.

Yaakob berkata, matlamat itu seperti yang terkandung pada capaian Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) dan Pelan Integriti Nasional (PIN) seperti dihasratkan dalam Misi Nasional.

Tambah beliau, sistem itu mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun lalu dan dijadualkan menjelang 2016, para murid sekolah rendah akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah ditambah baik.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan