Ahad, 8 Julai 2012

ISU BAHASA : Karyawan industri kreatif perlu berilmu



Oleh :  Dr Anwar Ridhwan

Sistem pendidikan sastera mampu melahirkan pekerja seni berkualiti

Industri kreatif negara kita dianggarkan bernilai RM6 bilion setahun. Ada pendapat yang menyebut jumlah nilai yang lebih tinggi. Nilai berkenaan diramalkan akan terus meningkat dari setahun ke setahun. Walau apa jua angkanya, apakah persiapan pendidikan kita bagi menyediakan karyawan pelbagai bidang dalam industri yang dianggap penuh glamor dan menguntungkan ini? Pada umumnya industri kreatif merujuk kepada seaneka kegiatan ekonomi yang dijana daripada sesuatu pengetahuan dan informasi. Ada juga yang menyebutnya sebagai industri budaya. Malah, ada juga yang mentakrifkannya sebagai ekonomi kreatif, meliputi bidang pengiklanan, seni reka, seni tampak, kraf, fesyen, filem, muzik, seni persembahan, penerbitan, software, mainan kanak-kanak, permainan video, serta apa jua rancangan untuk radio dan TV.

Sebagai industri yang memanipulasi kreativiti, ada pendapat yang menyebut bahawa kreativiti manusia menjadi sumber utama ekonomi.

Ledakan industri kreatif di Malaysia, umpamanya yang terlihat melalui kaca TV, menatijahkan betapa agak huru-haranya persiapan kita menyediakan karyawan industri kreatif yang cukup berilmu dan profesional.

Dalam jangka pendek dan jangka panjang, mutu industri kreatif ditentukan oleh mereka yang terdidik dalam bidang sastera, yang turut terbabit dalam industri ini dalam pelbagai peringkat. Jika sistem pendidikan sastera negara dapat melahirkan tenaga kerja industri kreatif yang berkualiti, maka mutu industri kreatif negara akan meningkat. Sebaliknya, jika sistem pendidikan sastera negara gagal melahirkan tenaga kerja industri kreatif yang bermutu, maka tiada nilai yang dapat diharapkan daripada industri kreatif negara.

Perkara yang terakhir itu sebenarnya sedang berlaku di Malaysia, mengakibatkan masyarakat tidak memberi ‘rating’ yang tinggi kepada produk industri kreatif tempatan. Akibatnya, industri kreatif kita terpaksa membuka ruang kepada produk industri kreatif negara asing. Malangnya, produk industri kreatif negara asing juga turut membawa dan mengembangkan pelbagai unsur negatif seperti keganasan, seram, lucah, antiagama dan sebagainya.

Sayangnya, pendidikan sastera di sekolah kita tidak menjurus ke arah pendekatan terapan sastera yang boleh memperkasakan industri kreatif negara, dan menyediakan tenaga kerja bagi pasaran tersebut. Sastera lebih banyak dipelajari bentuknya, tanpa dilihat potensinya yang boleh dieksploitasi bagi industri kreatif. Jika kesilapan masa kini tidak dibetulkan dengan segera, industri kreatif negara akan lambat maju, di samping terus bergantung pada produk industri kreatif asing yang boleh memusnahkan jati diri bangsa. ‘Sistem’ pendidikan sastera kita sekarang, jika boleh dikatakan suatu sistem, juga akan gagal melahirkan penulis yang berkualiti.

Justeru, sudah tibalah masanya dilakukan rombakan besar-besaran terhadap pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah. Tujuan utama daripada rombakan drastik dan berskala besar itu nanti ialah melahirkan pelajar sastera yang bermutu. Mereka boleh menjadi penulis yang baik, atau pelbagai tenaga produksi yang diperlukan oleh industri kreatif negara. Mereka (pelajar sastera) akan dibentuk sedemikian rupa untuk mengisi keperluan tenaga kerja industri kreatif yang menyediakan peruntukan lebih RM6 bilion setahun. Untuk mencapai tujuan itu, pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran sastera perlu dinilai semula.

Pendidikan sastera harus berupaya mengesan bakat individu pelajar dan berusaha mengembangkannya. Pelajaran sastera bukanlah untuk golongan yang kurang pintar, kerana sastera sebagai suatu ilmu mempunyai kaedah, prinsip, teori dan estimologi yang harus dipelajari secara sistematik. Ia memerlukan pelajar yang pintar dan berbakat, yang dapat mengembangkan potensi diri, dan memperoleh hasil daripada kebolehan dirinya.

Mereka inilah yang sebahagian besar akan merancakkan perkembangan industri kreatif. Inilah lapangan industri yang berputik daripada kreativiti individual, bakat dan kemahiran yang boleh membuka ruang pekerjaan serta pendapatan, dan dalam masa yang sama dijamin secara jangka panjang oleh undang-undang melalui perlindungan harta intelek.

Dalam zaman di mana kita tidak mungkin menafikan kepentingan media elektronik yang menjadi wadah perekayasaan industri kreatif, kita tentunya mengharapkan hidangan industri kreatif yang inovatif, bermutu tinggi, dan mengandungi mesej-mesej yang berguna.

Untuk menuju arah itu, kita harus menyediakan pendidikan yang sesuai kepada kanak-kanak dan remaja kita. Mutu industri kreatif kita akan ditentukan oleh setinggi mana ilmu, bakat serta pengalaman karyawan dalam industri ini. Kandungan industri kreatif yang bermutu bukan saja memancarkan kebitaraan karyawannya, malah mampu memperkukuhkan tamadun bangsa.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Rakyat belanja RM337 juta guna telefon pintar


Rakyat negara ini berbelanja sebanyak RM337 juta menggunakan telefon pintar tahun lalu, dengan purata perbelanjaan RM494 seorang.

Ia juga mewakili kira-kira tiga suku jumlah pasaran perdagangan mudah alih negara.

Kaji selidik PayPal Mobile Shopping Insights 2011 mendapati, rakyat Malaysia berbelanja RM108 juta menggunakan tablet, dengan perbelanjaan purata RM464 seorang.

Pengarah Serantau Bahagian Mudah Alih PayPal Asia Pasifik, Rahul Shingal, berkata kaji selidik dijalankan Nielson itu mendapati nilai perbelanjaan secara mudah alih melonjak 370 peratus kepada RM467 juta tahun lalu berbanding RM101 juta tahun sebelumnya.

Beliau berkata, perdagangan mudah alih mewakili kira-kira suku daripada perbelanjaan secara dalam talian tahun lalu, peningkatan empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

“Unjuran kami adalah menjelang 2015, pasaran perdagangan mudah alih Malaysia akan berkembang lebih tujuh kali ganda untuk mencecah RM3.43 bilion,” katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rahul berkata, seramai 642,770 rakyat Malaysia membuat pembelian menerusi peranti mudah alih tahun lalu, berbanding 253,960 pada tahun sebelumnya.

Pembeli mudah alih, katanya mewakili 40 peratus daripada semua pembelian secara dalam talian tahun lalu, berbanding hanya 22 peratus tahun sebelumnya.

Tiket wayang, fesyen dan aksesori, buku, insurans am dan tiket penerbangan adalah kategori transaksi utama bagi kedua-dua kategori telefon pintar dan tablet tahun lalu.

Tempahan tiket diunjurkan antara tiga kategori teratas bagi pembelian menggunakan telefon pintar pada masa depan.

PayPal Mobile Shopping Insights 2011 mendapati, secara keseluruhan pasaran perdagangan dalam talian Malaysia berkembang sembilan peratus kepada RM1.97 bilion tahun lalu daripada RM1.8 bilion tahun sebelumnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SUKAN : Temasya Sukma XV dirasmi



MAJLIS perasmian pembukaan temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV berlangsung penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Percikan bunga api yang menghiasi segenap ruang angkasa di stadium tersebut dilihat sebagai kemuncak majlis perasmian pembukaan Sukma kali ini yang menampilkan penyertaan 5,828 atlet dan pegawai termasuk kontinjen jemputan dari Brunei.

Terdahulu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dibawa menaiki pedati mengelilingi Stadium Darul Makmur tepat pada pukul 8.30 malam.

Turut hadir, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Majlis perasmian temasya Sukma XV yang dihadiri kira-kira 30,000 penonton itu dimulakan dengan nyanyian lagu Allah Selamatkan Sultan Kami.

Ia diikuti persembahan khas dengan diketuai Rosli Selasih dan melibatkan seramai 2,000 peserta yang terdiri daripada para penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Pahang, pelatih Pusat-Pusat Latihan Khidmat Negara dan pelajar-pelajar sekolah di sekitar Pahang.

Persembahan khas itu yang berlangsung selama 40 minit itu terbahagi kepada tiga segmen - Pergendangan Serasa Kuala Tahan diikuti Sukan Ke Arah Perpaduan dan Evolusi Sukma XV.

Kehangatan majlis itu semakin dirasai sebaik sahaja 15 kontinjen masuk ke dalam stadium untuk memberi lintas hormat diiringi empat maskot temasya Sukma XV iaitu Tahan, Puteh, Rajah dan Teku.

Mendahului perbarisan ialah kontinjen Brunei diikuti Perak, Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak, Perlis, Sabah, Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Pahang.


Acara diteruskan dengan larian baton Sukma XV melibatkan tiga atlet tuan rumah iaitu jaguh angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim diikuti R. Haridas (olahraga) dan Chan Zhi Hui (gimnastik).


Selepas titah pengisytiharan Sukma XV oleh Sultan Ahmad Shah, sejurus kemudian berlangsungnya upacara menaikkan bendera temasya, bacaan ikrar dan nyalaan obor.

Sebagai tuan rumah Sukma kali ini, Pahang menawarkan 369 pingat emas daripada 24 acara yang membabitkan 24 venue di Kuantan, Temerloh dan Pekan.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang tampil selaku juara keseluruhan selama tiga edisi berturut-turut iaitu pada 2011 di Kuala Lumpur, Melaka (2010) dan Terengganu (2008).

Biarpun Sukma XV dibuka secara rasmi malam tadi, karate merupakan acara paling awal dipertandingkan pada temasya kali ini iaitu pada Ahad lalu.

Selain karate, lima lagi acara bermula awal sebelum majlis perasmian pembukaan Sukma XV ialah berbasikal, bola sepak, hoki, taekwondo dan perahu layar.

Setakat ini, Selangor muncul pendahulu apabila mengumpul tujuh pingat emas, enam perak dan lima gangsa.

Sumber : http : //www. kosmo.com.my/

ISU SOSIAL : Lebih 9,000 warga asing jalani hukuman penjara di Malaysia


KUALA LUMPUR - Seramai 9,757 warga asing menjalani hukuman penjara di Malaysia sehingga enam bulan pertama tahun ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abd Rahim Mohd Radzi.
  
Beliau berkata jumlah itu adalah kira-kira 27 peratus daripada jumlah keseluruhan banduan di semua penjara di negara ini seramai 36,728 orang.
  
“Angka ini bukanlah sesuatu yang mencemaskan namun kita akui banduan asing di Sabah lebih ramai daripada banduan tempatan dengan merekodkan seramai 1,020 banduan warga asing daripada jumlah 1,300 banduan,” katanya kepada pemberita selepas menutup Karnival Keluarga 1KDN di Kompleks Penjara Kajang dekat sini, hari ini.
  
Katanya sebagai langkah mengatasi kesesakan di penjara, banduan-banduan ini akan dihantar ke penjara lain bagi memastikan jumlah banduan di sesebuah penjara dapat diseimbangkan.
  
“Dan bagi banduan warga asing pula, kita tidak mahu isu kesesakan di penjara menjadi bebanan kepada negara termasuk KDN,” katanya.
  
Beliau berkata seramai 3,600 banduan daripada 4,100 yang mengikuti sistem parol telah menamatkan tempoh parol dan dibebaskan sepenuhnya.
  
“Kurang daripada satu peratus banduan yang menjalani sistem parol ini ditahan semula oleh pihak keselamatan selepas didapati melanggar syarat-syarat yang ditetapkan termasuk mengulangi kesalahan jenayah,” katanya. - Bernama

ISU BAHASA : Sastera umpama surat cinta


Oleh Azman Hussin

SESUNGGUHNYA syair yang paling indah, inilah: "ketahuilah, setiap sesuatu selain Allah adalah bathil," iaitu ungkapan Lubaid. Apakah kesusasteraan (persuratan) yang dikategorikan sebagai sajak, puisi, cerpen, novel atau sebagainya kepada saya?

Hakikatnya penulisan, termasuk sastera, adalah suatu bentuk komunikasi - daripada penulis kepada pembaca, mediumnya adalah kata-kata yang bisu pada lembaran kertas atau pada skrin komputer pada zaman moden ini. Ia bermaksud menyampaikan.

Setiap penulis, bagi pandangan saya, tujuan mereka menulis sesebuah karya adalah untuk menyampaikan sesuatu, sama ada buah fikiran atau pengalaman hidup atau sebagainya untuk dimanfaatkan semua. Cuma kita semua dalam bidang berlainan. Politikus memilih pentas ceramah, ulama memilih mimbar masjid, guru di kelas, jurujual di kaki-kaki lima, dan penulis memilih medium tulisan.

Saya sendiri kadang-kadang agak musykil apabila membaca karya-karya sastera seperti sajak, cerpen dan novel. Berkali-kali membacanya masih juga tidak menemui maksud yang ingin disampaikan penulisnya. Adakah saya ini jahil dan buta sastera? Adakah saya perlu belajar teori-teori sastera untuk memahami sesebuah karya itu? Saya rasa itu membuang masa. Lebih baik saya membaca karya-karya ilmiah yang sifatnya membosankan, tetapi tentu ada isinya. Sepatutnya sastera itu versi mudah kepada karya ilmiah. Sastera sepatutnya sebuah tulisan ilmiah yang menghibur dan menyeronokkan apabila dibaca, dan khalayak boleh terpengaruh dengan idea yang kita sampaikan.

Bagi saya mudah sahaja. Saya kiaskan saja menulis sesebuah karya itu seperti menulis sepucuk surat cinta untuk bidadari hati kita, seorang perempuan yang kita cintai, tetapi telah menolak cinta kita. Untuk lebih kompleks dan mencabar, perempuan itu malah sesungguhnya membenci kita.

Bagaimanakah surat cinta itu seharusnya ditulis tidaklah penting. Itu atas daya kreativiti kita. Apa yang penting, surat itu seharusnya ditulis dengan maksud utama menggugat hati perempuan tersebut, kemudian mempengaruhinya agar menerima cinta kita. Begitulah kaitan penulis dan pembaca. Penulis harus berusaha memikat dan mempengaruhi pemikiran pembaca, sebagaimana seorang lelaki berusaha memikat perempuan melalui surat. Surat itu harus boleh difahami oleh perempuan. Keindahan dan seni surat itu hanya untuk menarik hati perempuan. Jika surat itu penuh dengan simbol atau bunga-bunga bahasa yang kononnya bernilai seni sehingga tidak mampu difahami perempuan, surat itu sudah tidak mencapai maksudnya. Begitu juga dalam hubungan penulis dan pembaca.

Apabila dalam surat tersebut si lelaki memuji dengan ikhlas perempuan itu berhidung mancung, tetapi menimbulkan kemarahan perempuan kerana disalahfahami sebagai menyindir, itu adalah kegagalan si lelaki.

Janganlah pula dimaksudkan saya menyarankan agar menulis karya lucah untuk mudah diterima pembaca. Sebaliknya, karya lucah juga tidak ada kelucahannya jika ia tidak dapat difahami.

Kata-kata memang abstrak, tetapi ia tetap tertakluk kepada logik sama seperti matematik. Penulis boleh menyerahkan kepada pembaca apa maksud karyanya seperti disarankan oleh Roland Barthes itu; tetapi bagi saya, saya malu jika pembaca tidak faham cerpen atau puisi saya. Sayalah yang jahil dan tidak berhikmah kerana tidak berjaya menyampaikan maksud saya.

Ia sama juga dengan mencampurkan pelbagai warna, kemudian melakarkannya tanpa sebarang erti di atas kertas, lalu membingkaikannya sebagai sebuah lukisan. Dan apabila tetamu datang bertanyakan apa di sebalik lukisan yang terpaku di dinding ini, kita katakan terpulanglah kepada kamu untuk mentafsirkannya sebagai apa. Jika ini dimaksudkan sebagai seni, orang buta pun boleh melukis.

Bubuhlah bedak yang wangi sebanyak manapun dalam surat yang berkajang-kajang itu, jika ia tidak difahami oleh si perempuan, tidak ada ertinya. Malah si perempuan mungkin menganggap kita ini majnun, merepek-repek dengan kata-kata purba dari tamadun yang sudah pupus.

Dalam situasi penulis dan pembaca, kita akan mendengar luahan-luahan kecewa penulis apabila karya mereka tidak dibaca, tidak laku jualan bukunya dan tidak dipedulikan, lalu mendakwa khalayak pembaca sebagai bodoh, sukakan bacaan ringan, dan tidak mahu berfikir. Itu sebenarnya sama seperti menyatakan bahawa si perempuan itu bodoh, jahil atau tidak tahu menilai kerana tidak mahu menerima cinta daripada kita yang budiman, kacak bergaya dan kaya berkereta sport ini, walhal sebenarnya kitalah yang tidak pandai memikat perempuan. Lalu sepatutnya kita berasa malu pada mat-mat rempit yang boleh membawa perempuan-perempuan cantik membonceng motosikal mereka.

Jika penulis menulis sekadar untuk menceritakan sesuatu, lebih elok dia menulis buku sejarah yang objektif. Atau jadi seorang jurugambar yang tepat rakamannya, dan terpulanglah kepada orang yang melihatnya untuk mentafsirkannya.

Tetapi dunia tetap menyatakan seseorang penulis yang hebat itu adalah penulis yang boleh merobah pemikiran masyarakat, dan untuk merobah pemikiran masyarakat, syarat pertama adalah sesebuah karya itu haruslah boleh difahami minda orang awam terbanyak, termasuk yang jahil. Dan keindahan dan kesenian sesebuah karya itu pula bukan hanya pada bahasa dan kata-kata, tetapi juga pada maksudnya, sebagaimana maksud ungkapan penyair Lubaid yang diakui oleh Nabi Muhammad SAW sebagai syair yang paling indah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/