Rakyat negara ini berbelanja sebanyak RM337 juta menggunakan telefon pintar
tahun lalu, dengan purata perbelanjaan RM494 seorang.
Ia juga mewakili kira-kira tiga suku jumlah pasaran perdagangan mudah alih
negara.
Kaji selidik PayPal Mobile Shopping Insights 2011 mendapati, rakyat
Malaysia berbelanja RM108 juta menggunakan tablet, dengan perbelanjaan purata
RM464 seorang.
Pengarah Serantau Bahagian Mudah Alih PayPal Asia Pasifik, Rahul Shingal,
berkata kaji selidik dijalankan Nielson itu mendapati nilai perbelanjaan secara
mudah alih melonjak 370 peratus kepada RM467 juta tahun lalu berbanding RM101
juta tahun sebelumnya.
Beliau berkata, perdagangan mudah alih mewakili kira-kira suku daripada
perbelanjaan secara dalam talian tahun lalu, peningkatan empat kali ganda
berbanding tahun sebelumnya.
“Unjuran kami adalah menjelang 2015, pasaran perdagangan mudah alih
Malaysia akan berkembang lebih tujuh kali ganda untuk mencecah RM3.43 bilion,”
katanya pada taklimat media di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Rahul berkata, seramai 642,770 rakyat Malaysia membuat pembelian menerusi
peranti mudah alih tahun lalu, berbanding 253,960 pada tahun sebelumnya.
Pembeli mudah alih, katanya mewakili 40 peratus daripada semua pembelian
secara dalam talian tahun lalu, berbanding hanya 22 peratus tahun sebelumnya.
Tiket wayang, fesyen dan aksesori, buku, insurans am dan tiket penerbangan
adalah kategori transaksi utama bagi kedua-dua kategori telefon pintar dan
tablet tahun lalu.
Tempahan tiket diunjurkan antara tiga kategori teratas bagi pembelian
menggunakan telefon pintar pada masa depan.
PayPal Mobile Shopping Insights 2011 mendapati, secara keseluruhan pasaran
perdagangan dalam talian Malaysia berkembang sembilan peratus kepada RM1.97
bilion tahun lalu daripada RM1.8 bilion tahun sebelumnya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan