MAJLIS perasmian pembukaan temasya Sukan Malaysia (Sukma) XV
berlangsung penuh gilang-gemilang dan warna-warni di Stadium Darul Makmur,
Kuantan malam tadi.
Percikan bunga api yang menghiasi segenap ruang angkasa di
stadium tersebut dilihat sebagai kemuncak majlis perasmian pembukaan Sukma kali
ini yang menampilkan penyertaan 5,828 atlet dan pegawai termasuk kontinjen
jemputan dari Brunei.
Terdahulu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dibawa menaiki
pedati mengelilingi Stadium Darul Makmur tepat pada pukul 8.30 malam.
Turut hadir, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan
Ahmad Shah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan
Iskandar, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, Menteri
Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri
Ahmad Shabery Cheek.
Majlis perasmian temasya Sukma XV yang dihadiri kira-kira
30,000 penonton itu dimulakan dengan nyanyian lagu Allah Selamatkan Sultan
Kami.
Ia diikuti persembahan khas dengan diketuai Rosli Selasih
dan melibatkan seramai 2,000 peserta yang terdiri daripada para penuntut
Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Pahang, pelatih Pusat-Pusat Latihan
Khidmat Negara dan pelajar-pelajar sekolah di sekitar Pahang.
Persembahan khas itu yang berlangsung selama 40 minit itu
terbahagi kepada tiga segmen - Pergendangan Serasa Kuala Tahan diikuti Sukan Ke
Arah Perpaduan dan Evolusi Sukma XV.
Kehangatan majlis itu semakin dirasai sebaik sahaja 15
kontinjen masuk ke dalam stadium untuk memberi lintas hormat diiringi empat
maskot temasya Sukma XV iaitu Tahan, Puteh, Rajah dan Teku.
Mendahului perbarisan ialah kontinjen Brunei diikuti Perak,
Selangor, Kelantan, Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sarawak,
Perlis, Sabah, Wilayah Persekutuan, Terengganu dan Pahang.
Acara diteruskan dengan larian baton Sukma XV melibatkan
tiga atlet tuan rumah iaitu jaguh angkat berat, Amirul Hamizan Ibrahim diikuti
R. Haridas (olahraga) dan Chan Zhi Hui (gimnastik).
Selepas titah pengisytiharan Sukma XV oleh Sultan Ahmad Shah, sejurus kemudian berlangsungnya upacara menaikkan bendera temasya, bacaan ikrar dan nyalaan obor.
Sebagai tuan rumah Sukma kali ini, Pahang menawarkan 369
pingat emas daripada 24 acara yang membabitkan 24 venue di Kuantan, Temerloh
dan Pekan.
Tumpuan sudah pasti terarah kepada kontinjen Terengganu yang
tampil selaku juara keseluruhan selama tiga edisi berturut-turut iaitu pada
2011 di Kuala Lumpur, Melaka (2010) dan Terengganu (2008).
Biarpun Sukma XV dibuka secara rasmi malam tadi, karate
merupakan acara paling awal dipertandingkan pada temasya kali ini iaitu pada
Ahad lalu.
Selain karate, lima lagi acara bermula awal sebelum majlis
perasmian pembukaan Sukma XV ialah berbasikal, bola sepak, hoki, taekwondo dan
perahu layar.
Setakat ini, Selangor muncul pendahulu apabila mengumpul
tujuh pingat emas, enam perak dan lima gangsa.
Sumber : http : //www. kosmo.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan