Ahad, 8 Julai 2012

ISU BAHASA : Karyawan industri kreatif perlu berilmu



Oleh :  Dr Anwar Ridhwan

Sistem pendidikan sastera mampu melahirkan pekerja seni berkualiti

Industri kreatif negara kita dianggarkan bernilai RM6 bilion setahun. Ada pendapat yang menyebut jumlah nilai yang lebih tinggi. Nilai berkenaan diramalkan akan terus meningkat dari setahun ke setahun. Walau apa jua angkanya, apakah persiapan pendidikan kita bagi menyediakan karyawan pelbagai bidang dalam industri yang dianggap penuh glamor dan menguntungkan ini? Pada umumnya industri kreatif merujuk kepada seaneka kegiatan ekonomi yang dijana daripada sesuatu pengetahuan dan informasi. Ada juga yang menyebutnya sebagai industri budaya. Malah, ada juga yang mentakrifkannya sebagai ekonomi kreatif, meliputi bidang pengiklanan, seni reka, seni tampak, kraf, fesyen, filem, muzik, seni persembahan, penerbitan, software, mainan kanak-kanak, permainan video, serta apa jua rancangan untuk radio dan TV.

Sebagai industri yang memanipulasi kreativiti, ada pendapat yang menyebut bahawa kreativiti manusia menjadi sumber utama ekonomi.

Ledakan industri kreatif di Malaysia, umpamanya yang terlihat melalui kaca TV, menatijahkan betapa agak huru-haranya persiapan kita menyediakan karyawan industri kreatif yang cukup berilmu dan profesional.

Dalam jangka pendek dan jangka panjang, mutu industri kreatif ditentukan oleh mereka yang terdidik dalam bidang sastera, yang turut terbabit dalam industri ini dalam pelbagai peringkat. Jika sistem pendidikan sastera negara dapat melahirkan tenaga kerja industri kreatif yang berkualiti, maka mutu industri kreatif negara akan meningkat. Sebaliknya, jika sistem pendidikan sastera negara gagal melahirkan tenaga kerja industri kreatif yang bermutu, maka tiada nilai yang dapat diharapkan daripada industri kreatif negara.

Perkara yang terakhir itu sebenarnya sedang berlaku di Malaysia, mengakibatkan masyarakat tidak memberi ‘rating’ yang tinggi kepada produk industri kreatif tempatan. Akibatnya, industri kreatif kita terpaksa membuka ruang kepada produk industri kreatif negara asing. Malangnya, produk industri kreatif negara asing juga turut membawa dan mengembangkan pelbagai unsur negatif seperti keganasan, seram, lucah, antiagama dan sebagainya.

Sayangnya, pendidikan sastera di sekolah kita tidak menjurus ke arah pendekatan terapan sastera yang boleh memperkasakan industri kreatif negara, dan menyediakan tenaga kerja bagi pasaran tersebut. Sastera lebih banyak dipelajari bentuknya, tanpa dilihat potensinya yang boleh dieksploitasi bagi industri kreatif. Jika kesilapan masa kini tidak dibetulkan dengan segera, industri kreatif negara akan lambat maju, di samping terus bergantung pada produk industri kreatif asing yang boleh memusnahkan jati diri bangsa. ‘Sistem’ pendidikan sastera kita sekarang, jika boleh dikatakan suatu sistem, juga akan gagal melahirkan penulis yang berkualiti.

Justeru, sudah tibalah masanya dilakukan rombakan besar-besaran terhadap pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah. Tujuan utama daripada rombakan drastik dan berskala besar itu nanti ialah melahirkan pelajar sastera yang bermutu. Mereka boleh menjadi penulis yang baik, atau pelbagai tenaga produksi yang diperlukan oleh industri kreatif negara. Mereka (pelajar sastera) akan dibentuk sedemikian rupa untuk mengisi keperluan tenaga kerja industri kreatif yang menyediakan peruntukan lebih RM6 bilion setahun. Untuk mencapai tujuan itu, pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran sastera perlu dinilai semula.

Pendidikan sastera harus berupaya mengesan bakat individu pelajar dan berusaha mengembangkannya. Pelajaran sastera bukanlah untuk golongan yang kurang pintar, kerana sastera sebagai suatu ilmu mempunyai kaedah, prinsip, teori dan estimologi yang harus dipelajari secara sistematik. Ia memerlukan pelajar yang pintar dan berbakat, yang dapat mengembangkan potensi diri, dan memperoleh hasil daripada kebolehan dirinya.

Mereka inilah yang sebahagian besar akan merancakkan perkembangan industri kreatif. Inilah lapangan industri yang berputik daripada kreativiti individual, bakat dan kemahiran yang boleh membuka ruang pekerjaan serta pendapatan, dan dalam masa yang sama dijamin secara jangka panjang oleh undang-undang melalui perlindungan harta intelek.

Dalam zaman di mana kita tidak mungkin menafikan kepentingan media elektronik yang menjadi wadah perekayasaan industri kreatif, kita tentunya mengharapkan hidangan industri kreatif yang inovatif, bermutu tinggi, dan mengandungi mesej-mesej yang berguna.

Untuk menuju arah itu, kita harus menyediakan pendidikan yang sesuai kepada kanak-kanak dan remaja kita. Mutu industri kreatif kita akan ditentukan oleh setinggi mana ilmu, bakat serta pengalaman karyawan dalam industri ini. Kandungan industri kreatif yang bermutu bukan saja memancarkan kebitaraan karyawannya, malah mampu memperkukuhkan tamadun bangsa.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA


Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan