Ahad, 8 Julai 2012

ISU BAHASA : Sastera umpama surat cinta


Oleh Azman Hussin

SESUNGGUHNYA syair yang paling indah, inilah: "ketahuilah, setiap sesuatu selain Allah adalah bathil," iaitu ungkapan Lubaid. Apakah kesusasteraan (persuratan) yang dikategorikan sebagai sajak, puisi, cerpen, novel atau sebagainya kepada saya?

Hakikatnya penulisan, termasuk sastera, adalah suatu bentuk komunikasi - daripada penulis kepada pembaca, mediumnya adalah kata-kata yang bisu pada lembaran kertas atau pada skrin komputer pada zaman moden ini. Ia bermaksud menyampaikan.

Setiap penulis, bagi pandangan saya, tujuan mereka menulis sesebuah karya adalah untuk menyampaikan sesuatu, sama ada buah fikiran atau pengalaman hidup atau sebagainya untuk dimanfaatkan semua. Cuma kita semua dalam bidang berlainan. Politikus memilih pentas ceramah, ulama memilih mimbar masjid, guru di kelas, jurujual di kaki-kaki lima, dan penulis memilih medium tulisan.

Saya sendiri kadang-kadang agak musykil apabila membaca karya-karya sastera seperti sajak, cerpen dan novel. Berkali-kali membacanya masih juga tidak menemui maksud yang ingin disampaikan penulisnya. Adakah saya ini jahil dan buta sastera? Adakah saya perlu belajar teori-teori sastera untuk memahami sesebuah karya itu? Saya rasa itu membuang masa. Lebih baik saya membaca karya-karya ilmiah yang sifatnya membosankan, tetapi tentu ada isinya. Sepatutnya sastera itu versi mudah kepada karya ilmiah. Sastera sepatutnya sebuah tulisan ilmiah yang menghibur dan menyeronokkan apabila dibaca, dan khalayak boleh terpengaruh dengan idea yang kita sampaikan.

Bagi saya mudah sahaja. Saya kiaskan saja menulis sesebuah karya itu seperti menulis sepucuk surat cinta untuk bidadari hati kita, seorang perempuan yang kita cintai, tetapi telah menolak cinta kita. Untuk lebih kompleks dan mencabar, perempuan itu malah sesungguhnya membenci kita.

Bagaimanakah surat cinta itu seharusnya ditulis tidaklah penting. Itu atas daya kreativiti kita. Apa yang penting, surat itu seharusnya ditulis dengan maksud utama menggugat hati perempuan tersebut, kemudian mempengaruhinya agar menerima cinta kita. Begitulah kaitan penulis dan pembaca. Penulis harus berusaha memikat dan mempengaruhi pemikiran pembaca, sebagaimana seorang lelaki berusaha memikat perempuan melalui surat. Surat itu harus boleh difahami oleh perempuan. Keindahan dan seni surat itu hanya untuk menarik hati perempuan. Jika surat itu penuh dengan simbol atau bunga-bunga bahasa yang kononnya bernilai seni sehingga tidak mampu difahami perempuan, surat itu sudah tidak mencapai maksudnya. Begitu juga dalam hubungan penulis dan pembaca.

Apabila dalam surat tersebut si lelaki memuji dengan ikhlas perempuan itu berhidung mancung, tetapi menimbulkan kemarahan perempuan kerana disalahfahami sebagai menyindir, itu adalah kegagalan si lelaki.

Janganlah pula dimaksudkan saya menyarankan agar menulis karya lucah untuk mudah diterima pembaca. Sebaliknya, karya lucah juga tidak ada kelucahannya jika ia tidak dapat difahami.

Kata-kata memang abstrak, tetapi ia tetap tertakluk kepada logik sama seperti matematik. Penulis boleh menyerahkan kepada pembaca apa maksud karyanya seperti disarankan oleh Roland Barthes itu; tetapi bagi saya, saya malu jika pembaca tidak faham cerpen atau puisi saya. Sayalah yang jahil dan tidak berhikmah kerana tidak berjaya menyampaikan maksud saya.

Ia sama juga dengan mencampurkan pelbagai warna, kemudian melakarkannya tanpa sebarang erti di atas kertas, lalu membingkaikannya sebagai sebuah lukisan. Dan apabila tetamu datang bertanyakan apa di sebalik lukisan yang terpaku di dinding ini, kita katakan terpulanglah kepada kamu untuk mentafsirkannya sebagai apa. Jika ini dimaksudkan sebagai seni, orang buta pun boleh melukis.

Bubuhlah bedak yang wangi sebanyak manapun dalam surat yang berkajang-kajang itu, jika ia tidak difahami oleh si perempuan, tidak ada ertinya. Malah si perempuan mungkin menganggap kita ini majnun, merepek-repek dengan kata-kata purba dari tamadun yang sudah pupus.

Dalam situasi penulis dan pembaca, kita akan mendengar luahan-luahan kecewa penulis apabila karya mereka tidak dibaca, tidak laku jualan bukunya dan tidak dipedulikan, lalu mendakwa khalayak pembaca sebagai bodoh, sukakan bacaan ringan, dan tidak mahu berfikir. Itu sebenarnya sama seperti menyatakan bahawa si perempuan itu bodoh, jahil atau tidak tahu menilai kerana tidak mahu menerima cinta daripada kita yang budiman, kacak bergaya dan kaya berkereta sport ini, walhal sebenarnya kitalah yang tidak pandai memikat perempuan. Lalu sepatutnya kita berasa malu pada mat-mat rempit yang boleh membawa perempuan-perempuan cantik membonceng motosikal mereka.

Jika penulis menulis sekadar untuk menceritakan sesuatu, lebih elok dia menulis buku sejarah yang objektif. Atau jadi seorang jurugambar yang tepat rakamannya, dan terpulanglah kepada orang yang melihatnya untuk mentafsirkannya.

Tetapi dunia tetap menyatakan seseorang penulis yang hebat itu adalah penulis yang boleh merobah pemikiran masyarakat, dan untuk merobah pemikiran masyarakat, syarat pertama adalah sesebuah karya itu haruslah boleh difahami minda orang awam terbanyak, termasuk yang jahil. Dan keindahan dan kesenian sesebuah karya itu pula bukan hanya pada bahasa dan kata-kata, tetapi juga pada maksudnya, sebagaimana maksud ungkapan penyair Lubaid yang diakui oleh Nabi Muhammad SAW sebagai syair yang paling indah.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan