Isnin, 14 Mac 2011

ISU TSUNAMI DI JEPUN : 11 cedera gas reaktor nuklear meletup

KEADAAN loji nuklear No 1 dan No 3 Daiichi Fukushima yang masih terbakar dan mengeluarkan asap selepas meletup semalam. - Foto DIGITAL GLOBE/REUTERS

Tokyo Electric Power maklumkan tahap radiasi di loji Fukushima Daiichi semakin meningkat

FUKUSHIMA: Gas hidrogen di reaktor nombor tiga loji nuklear Fukushima Daiichi meletup pagi semalam, menyebabkan 11 cedera, tetapi tidak membocorkan radiasi seperti dibimbangi pelbagai pihak.

Insiden pada jam 11.01 pagi di loji nuklear yang terletak 240 kilometer (km) di utara Tokyo itu, berlaku dua hari selepas letupan hidrogen di reaktor nombor satu di loji sama yang rosak selepas Jepun dilanda gempa bumi mega dan tsunami besar Jumaat lalu.

Kami berpendapat kemungkinan kebocoran radiasi berada pada tahap rendah,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano pada sidang akhbar mengenai perkembangan terbaru di loji berusia 40 tahun itu.

Tokyo Electric Power Co. (TEPCO), pengendali loji berkenaan, dalam kenyataan berasingan berkata, tujuh pekerjanya dan empat anggota tentera di loji itu cedera dan dihantar ke hospital.

Berikutan itu, syarikat itu mengarahkan semua pekerja berlindung dalam bangunan pentadbiran selepas letupan, tetapi paras radiasi didapati rendah pada 20 micro sievert sejam pada 11.44 pagi.

Letupan itu berlaku selepas TEPCO mengemukakan laporan kepada kerajaan semalam bahawa tahap radiasi di loji terbabit meningkat di atas paras dibenarkan dan tekanan dalam bekas kalis radiasi reaktor nombor tiga juga sudah meningkat.

Loji Fukushima itu ditutup sejak gempa bumi melanda timur laut dan timur Jepun minggu lalu tetapi beberapa sistem penyejukan reaktornya gagal berfungsi.

TEPCO sebelum ini mengepam air laut ke dalam reaktor, yang menyebabkan peningkatan tahap radiasi dan tekanan.

Perdana Menteri, Naoto Kan berkata, pihak terbabit berusaha keras menghentikan kemusnahan di loji nuklear itu daripada terus merebak.

Kelmarin pihak berkuasa mengesahkan tiga reaktor nuklear di utara Tokyo berisiko menjadi terlalu panas dan mencetuskan kebimbangan kebocoran radiasi.

Jurutera bertungkus lumus menyejukkan teras reaktor yang musnah itu. Jika mereka gagal, bekas kalis radiasi di bahagian induk akan cair atau meletup, membebaskan bahan radiasi di udara.

Berikutan krisis nuklear itu, negara ketiga ekonomi terbesar dunia itu berhadapan dengan insiden terputusnya bekalan elektrik dan syarikat pengangkutan awam di Tokyo turut terhenti akibat tiada bekalan berkenaan.

Badan penyiar NHK memetik pegawai polis berkata, lebih 10,000 rakyat dikhuatiri mati di sepanjang pantai yang turut memusnahkan pekan di sekitarnya.

“Saya mahu percaya masih ada yang selamat,” kata Masaru Kudo, tentera yang dihantar ke Rikuzentakata.

Kyodo berkata, 80,000 orang sudah dipindahkan dari 20 kilometer di sekitar loji nuklear itu menyertai 450,000 lagi penduduk dipindahkan dari kawasan gempa bumi dan tsunami di timur laut Pulau Honshu itu.

Hampir 2 juta penduduk tiada bekalan elektrik pada masa sama cuaca terlalu sejuk di utara manakala kira-kira 1.4 juta penduduk tidak mempunyai air bersih. – Reuters

AWAS! KESAN RADIASI NUKLEAR KEPADA MANUSIA.


1. Pendedahan radiasi berukuran 100 Rems akan merosakkan sistem peredaran darah menyebabkan sel limfosit darah akan berkurangan. Simptom awal selesema.

2. Pendedahan kepada radiasi berukuran 200 Rems ke atas menyebabkan keguguran rambut dengan cepat, kerosakan saluran usus yang mengakibatkan mual, muntah dan cirit-birit. Pada kekuatan ini, radiasi boleh menyebabkan kerosakan saluran peranakan.

3. Radiasi nuklear berukuran 1,000 hingga 5,000 Rems mengakibatkan kerosakan kepada pembuluh darah dan boleh menyebabkan jantung gagal berfungsi dan kematian.

4. Pendedahan langsung kepada radiasi berukuran lebih 5,000 Rems akan menyebabkan sel otak rosak, selain membunuh sel saraf dan merosakkan pembuluh darah dalam jantung.

5. Dalam jumlah tertentu, iodin radioaktif boleh merosakkan sebahagian atau seluruh bahagian kelenjar tiroid yang mengawal metabolisma (pengeluaran tenaga) manusia.

6. Menurut data kesan pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima menunjukkan mangsa cuma bertahan selama 10 tahun dan berdepan risiko jangka panjang seperti leukemia dan barah limfoma.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU TSUNAMI DI JEPUN : Jepun berupaya tangani musibah

TOKYO: Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang mengenai keupayaan kerajaan Jepun menangani bencana yang berlaku kerana mereka sememangnya sudah bersiap sedia menghadapinya dan semua langkah berjaga-jaga serta persediaan seperti pusat penempatan sementara atau operasi pemindahan sudah cukup mantap.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md Som, berkata pihak kedutaan sudah menghantar dua pasukan peninjau ke empat kawasan yang teruk mengalami gempa bumi dan dilanda tsunami iaitu Iwate, Miyagi, Fukushima dan Ibaraki di timur laut Jepun, bagi menentukan tindakan susulan memindahkan rakyat Malaysia ke kawasan lebih selamat.

Katanya, berdasarkan senarai berdaftar dengan pihak kedutaan terdapat 253 rakyat Malaysia di kawasan bencana, iaitu 39 orang di Fukushima, Iwate (29), Miyagi (60), Ibaraki (125) dan Tochigi (89).

"Kalau boleh, kita mahu bawa mereka ke Tokyo supaya senang bagi kita membantu, malah kita masih berhubungan dengan beberapa wakil pelajar yang memberikan perkembangan terkini mengenai kedudukan di sana.

“Saya rasa kita tidak perlu bimbang kerana persiapan di Jepun terutama pada peringkat pihak berkuasa tempatan, sentiasa berada pada tahap tertinggi bagi menghadapi musibah,” katanya ketika ditemui semalam.

Shaharuddin berkata, bagi keluarga di Malaysia yang masih gagal menghubungi saudara mara di sini, beliau syorkan mereka cuba menggunakan internet atau facebook kerana walaupun semua sistem perhubungan lain tergendala, kedua-dua kaedah ini masih boleh berfungsi dengan baik.

Katanya, ramai sudah menghubungi kedutaan, baik dari Malaysia atau rakyat Malaysia di Jepun, bagi maklumkan mengenai kedudukan mereka selamat tetapi sistem komunikasi lain adalah terhad, termasuk laluan darat yang masih lagi terputus.

Di Kuala Lumpur: Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo ketika dihubungi pula berkata, pasukan peninjau mendapati rakyat Malaysia yang mendapatkan perlindungan berada dalam keadaan selesa dengan kemudahan lengkap disediakan, termasuk dari segi bekalan makanan, minuman dan perubatan.

“Mereka (rakyat Malaysia) rata-rata memilih berlindung di pusat pemindahan sementara yang terdekat dengan tempat tinggal masing-masing dan setakat ini, belum ada yang meminta untuk ditempatkan di kedutaan.

“Setakat ini, keadaan di sini amat terkawal dan tiada panik tercetus, malah orang ramai masih menjalankan aktiviti seperti biasa, kerana kerajaan Jepun amat menitikberatkan tahap keselamatan yang tertinggi.

“Bagaimanapun, pihak kedutaan bersedia untuk sebarang langkah evakuasi sekiranya perlu berdasarkan keadaan dan arahan daripada Wisma Putra serta kerajaan Jepun,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/