Isnin, 25 Februari 2013

ISU PENDIDIKAN : Beban berat halang minat lelaki menjadi guru


Oleh :  Ruhaiza Rusmin dan Ihsan Noorzali

Kekurangan guru lelaki dalam sektor pendidikan sudah lama mencetuskan kebimbangan sekali gus memberi mesej bahawa tindakan wajar perlu diambil bagi menangani kemelut ini.

Biarpun pelbagai insentif menarik ditawarkan, ia belum mampu menarik minat golongan Adam bergelar warga pendidik yang ramai didominasi wanita.

Apakah kerana melihat ia kerjaya bersifat feminin menjadikan mereka menolak untuk bergelar guru atau tanggapan bidang ini tidak sesuai kerana kurang mencerminkan ciri lelaki maskulin?

Jikalau berterusan ditolak, apakah kesudahan masa depan lelaki dalam bidang perguruan di negara ini?

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Profesor Dr Othman Lebar berkata, isu yang perlu diperhalusi bukanlah jumlah tapi bagaimana menarik minat golongan lelaki menjadi guru.

Beliau berkata, kekurangan minat itu memang jelas dibelenggu persepsi bahawa jika lelaki menjadi guru, ia akan menghilangkan sifat maskulin.

“Kekurangan jumlah itu perlu dilihat daripada kemerosotan bilangan penyertaan golongan lelaki ketika melanjutkan pengajian di maktab atau universiti.

“Apabila kurang yang memohon, ia memberi kesan kepada jumlah yang menamatkan pengajian untuk menjadi guru.

“Justeru, isu asas yang harus diselesaikan ialah bagaimana menarik minat golongan itu menjadi guru.

“Jika penyelesaian itu ada, jumlah lelaki yang mahu menjadi guru pasti akan meningkat,” katanya.

Statistik Kementerian Pendidikan sehingga akhir tahun lalu mendapati, terdapat 127,744 guru lelaki dan 287,723 guru wanita di sekolah seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 72,399 guru lelaki dan 165,485 guru wanita mengajar di sekolah rendah manakala 55,345 guru lelaki dan 122,238 wanita di sekolah menengah.

Jumlah itu membenarkan andaian bahawa lelaki memang tidak suka menjadi guru kerana pelbagai sebab, antaranya sifat maskulin.

Namun, beliau kurang bersetuju faktor maskulin menjadi faktor utama mengapa golongan lelaki tidak berminat menjadi guru.

“Masyarakat kita memang suka membuat persepsi yang bukan-bukan. Siapa kata lelaki jadi guru akan hilang sifat macho?

“Cuba lihat sekolah waktu dulu, siapa paling ramai, paling tegas dan paling berwibawa menjadi guru jika bukan lelaki?

“Sampai tua pun, generasi dulu ingat betapa garangnya guru lelaki yang cukup sinonim dengan rotan. Mereka jadi guru tapi sifat lelaki tidak hilang malah boleh menjadi guru terbaik dan diingati pelajar walaupun selepas menamatkan pengajian,” katanya.

Tidak menafikan persepsi itu timbul rentetan banyaknya guru wanita mendominasi bidang perguruan hingga tenggelam golongan lelaki.

“Senario ini tidak boleh dielak kerana mereka (wanita) adalah golongan yang mendominasi kemasukan di institusi termasuk bidang pendidikan.

“Jadi, kita akan lihat guru wanita lebih ketara berbanding kelibat lelaki. Tapi ini bukan sebab untuk menafikan atau memperlekehkan kehadiran guru lelaki kerana keperluan mereka penting.

“Lelaki yang mahu jadi guru kurang dan lebih suka memohon kerjaya lain. Kita tidak boleh menyekat keinginan mereka.

“Justeru, jika ramai memohon adalah wanita, berilah laluan itu kepada mereka biarpun jurang populasi akan meningkat,” katanya.

Kehadiran guru lelaki di sekolah mampu mengimbangkan perjalanan sistem tugasan guru terutama pelarasan tugas yang kurang mampu ditangani guru wanita.

“Contohnya aspek disiplin, guru lelaki lebih sesuai menangani masalah pelajar bermasalah.

“Jadi, jika berterusan kekurangan guru lelaki, lama-kelamaan aspek ini akan menjadi kurang kawalan dan boleh menimbulkan masalah lain.

“Sebab itu, perlu ada  peranan guru lelaki dalam mengendali dan mentadbir sistem persekolahan supaya wujud  keseimbangan,” katanya.

Kecenderungan lelaki memilih bidang pekerjaan lain juga, katanya, bertitik tolak daripada pandangan buruk diberikan masyarakat yang gemar melabelkan pekerjaan guru sebagai terlalu mencabar, tertekan dan terlalu sibuk.

“Melihat ‘kesengsaraan’ guru hari ini, memanglah boleh memadamkan minat lelaki ke arah itu tetapi saya tegaskan mana-mana pekerjaan pun pasti ada cabaran.

“Bezanya, cara kita menangani cabaran itu,” katanya.

Dilema yang dihadapi guru hari ini turut menjadi bidang perguruan semakin jauh daripada golongan lelaki.

“Dulu, kebanyakan guru disiplin diberi tanggung jawab kepada guru lelaki dan mereka bebas melakukan hukuman bagi membentuk disiplin pelajar.

“Tapi guru hari ini terlalu banyak sekatannya menyebabkan penghormatan sebagai guru semakin diperkecilkan.

“Justeru, tidak boleh salahkan mereka andai kata enggan memilih pekerjaan ini sebab setiap orang ada keinginan berbeza,” katanya.

Beliau bagaimanapun berharap agar tanggapan  terhadap bidang perguruan diperbetul.

“Masa depan guru sangat luas, bukan menjadi guru sampai pencen kerana banyak pilihan pekerjaan terbuka untuk mereka seperti  menjadi pensyarah.

“Bergelar guru adalah satu penghormatan, bukan diukur dengan wang ringgit. Tanpa mereka, kita mungkin tidak berada seperti apa yang dikecapi hari ini,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Sarana Ibu Bapa dan Sekolah dilancar


KUALA LUMPUR - Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah peringkat kebangsaan dilancar hari ini sebagai inisiatif untuk menyatukan setiap pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat bagi melahirkan modal insan yang berkualiti global melalui sekolah.

Terkandung di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Sarana Ibu bapa mengandungi empat elemen iaitu penyediaan suasana pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.

Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah, komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan sokongan ibu bapa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dalam teks ucapannya pada majlis pelancaran sarana itu meminta pihak sekolah menukar imej agar dilihat sebagai tempat memupuk persefahaman dan muafakat antara ibu bapa dan masyarakat.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong.  

Muhyiddin berkata imej sekolah yang selama ini dilihat sebagai kepunyaan guru dan murid semata-mata perlu ditukar bagi menarik minat ibu bapa dan masyarakat bekerjasama dengan sekolah demi kepentingan pelajar.

"Sebagaimana yang termaktub dalam Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, satu daripada 11 anjakan strategik dan operasi bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak kita adalah dengan bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.

"Inisiatif ini melibatkan kepentingan dan masa depan lebih 5.4 juta murid seluruh negara dan anggaran murid yang terlibat bagi tempoh 12 tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang," katanya.

Tema majlis yang dihadiri wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan, pihak swasta dan pemimpin masyarakat setempat dari seluruh negara ialah 'Anak Nadi Aspirasi Kita - Pendidikan Anak Tanggungjawab Bersama'.

Muhyiddin berkata kementerian memperkenalkan dokumen Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah bagi menyatukan setiap pihak berkepentingan kerana penglibatan semua pihak amat diperlukan untuk melahirkan aset negara yang berharga.      

"Sarana Ibu Bapa memberi fokus kepada peranan ibu bapa dalam pendidikan. Kajian OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan) dijadikan asas dalam penyediaan sarana ini.

"Dapatan OECD ini tidak menghairankan kerana jika kita teliti satu persatu, setiap aspek yang disenaraikan memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada anak-anak.

"Sebagai ibu bapa, kita seharusnya menyedari keperluan dan kemudahan anak-anak belajar dalam keadaan yang selesa di rumah," katanya.

Beliau berkata ibu bapa yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu juga diseru supaya dapat menyumbangkan idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada pihak sekolah.

Mengenai Sarana Sekolah pula, peranan PIBG amat penting untuk menggerakkan ibu bapa melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) kerana sekolah seperti di negara maju, ibu bapa merupakan penggerak utama untuk melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah.

Bagaimanapun, katanya, tidak akan sempurna jika usaha mendidik hanya membabitkan ibu bapa, sekolah dan masyarakat kerana semua kementerian, agensi kerajaan dan sektor swasta juga perlu memainkan peranan yang bersesuaian dalam aspek pembangunan kemanusiaan, kemahiran keibubapaan, kesihatan mental dan fizikal dan sebagainya. - Bernama