TEMERLOH : Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
yang kurang cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian di institut pengajian
tinggi berdasarkan pengalaman kerja atau perniagaan masing-masing.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah
berkata, peluang berkenaan adalah selaras dengan agenda kerajaan mencapai
status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Kerajaan akan mewujudkan satu kaedah kelulusan baharu
dengan mengambil kira pengalaman kerjaya serta perniagaan seseorang lepasan SPM
untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi termasuk di universiti,"
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas
menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 pelajar cemerlang SPM yang mengikuti
Program Empower di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai
Timur (ECERDC) di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, pendekatan baharu itu diharap dapat
melahirkan tenaga kerja mahir setanding dengan status negara maju dan
seterusnya mampu menjayakan agenda rakyat berpendapatan tinggi.
Katanya, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan yang
dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan
menyediakan instrumen mengukur kelayakan atau 'Akreditasi Pembelajaran
Pengalaman Masa Lalu' sebelum memilih calon lepasan SPM mengikuti pengajian
tinggi.
"Selain pengalaman kerjaya dan perniagaan, antara
kriteria yang turut diambil kira termasuk pengalaman kursus keusahawanan dan
kemahiran yang diambil oleh calon dari institusi kemahiran seperti Giat Mara," katanya.
Saifuddin berkata, konsep itu sama seperti pembelajaran
sepanjang hayat itu sebenarnya sudah lama diamalkan di negara maju.
Beliau berkata, lebih 80 peratus tenaga kerja di negara ini
hanya memiliki kelulusan SPM dan ia bukan satu pencapaian yang baik dari segi
memenuhi kriteria rakyat negara maju. - BERNAMA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan