Oleh : Norkumala binti Awang
DALAM soal halal dan haram seperti mana yang disyariatkan
oleh Allah SWT, manusia dapat meneroka sempadan kebaikan dan keburukan sebagai
panduan asas untuk kepentingan kehidupan. Pembuktian saintifik melalui kajian
dan penyelidikan menunjukkan bahawa setiap perkara halal mendatangkan manfaat
manakala yang haram pasti akan wujud mudarat bersamanya.
Namun, bagaimana untuk memastikan sesuatu produk makanan
atau barangan kegunaan itu mematuhi apa yang dikehendaki Islam? Sejauhmana
keyakinan kita terhadap status halal makanan dan minuman serta barangan harian
di negara ini? Sedarkah kita bahawa produk halal belum tentu berkualiti
(toyyib)?
Halal bukan hanya terhad kepada bahan asas yang digunakan
dalam menghasilkan produk akhir. Malah, ia mencakupi konsep yang lebih luas
bermula daripada peringkat awal sehinggalah produk itu siap.
Lantaran pelbagai cabaran pemakanan halal yang mendepani
masyarakat pada hari ini, memperlihatkan masyarakat semakin prihatin terhadap
apa yang dimakan dan digunakan.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA
bermaksud, “barang siapa yang berusaha mencari untuk keluarganya perkara yang
halal, dia seperti seorang yang berjuang pada jalan Allah.
Dan barang siapa yang mencarinya dengan menjaga maruah
dirinya, dia berada pada darjat para syuhada."- Riwayat at-Tabrani.
Mencari sesuatu yang halal itu dilihat sebagai seorang yang
berjihad dan sudah pastilah mujahadah itu dirintangi dengan pelbagai cabaran.
Ditambah dengan teknologi moden, maka makanan atau produk semakin kompleks
penghasilannya.
Penentuan pemilihan makanan dari segi kualiti dan khasiat,
halal dan haram, kebersihan dan penampilan makanan dipengaruhi oleh justifikasi
yang diputuskan oleh seseorang individu. Justifikasi ini juga dikaitkan dengan
beberapa faktor seperti agama, budaya, maklumat dan gaya hidup.
Terdapat kajian menunjukkan bahawa agama boleh mempengaruhi
sikap dan tingkah laku secara keseluruhannya, tabiat pemakanan dan pemilihan
makanan secara khususnya. Produk halal mendapat tempat di hati pengguna bukan
Islam disebabkan oleh nilai kemanusiaan terhadap binatang semasa penyembelihan
dan persepsi bahawa produk halal adalah sihat dan selamat.
Kebanyakan pengguna bukan Islam di Malaysia masih melihat
produk yang dilabel halal dari perspektif agama. Masyarakat Cina dan India
tidak terlalu mengambil berat sama ada produk yang diambil halal atau tidak. Namun,
mereka masih menghargai nilai dan kelebihan yang mendasari produk halal
termasuk proses kebersihan produk halal sebelum berada di pasaran.
Pengguna bukan Islam di Rusia membeli produk daripada
peruncit Islam kerana percaya produknya adalah selamat, segar, bebas jangkitan
penyakit dan percaya bahawa setiap Muslim terikat dengan kepercayaan mereka
yang tidak menipu. Di Filipina, masyarakat bukan Islam juga cenderung membeli
makanan yang mempunyai logo halal atas alasan kesihatan. Mereka mula beralih mencari
produk halal kerana percaya ia adalah selamat, sihat dan baik untuk digunakan.
Justeru, makanan dan barangan kegunaan yang halal mendapat
tempat di hati pengguna apatah lagi bagi yang beragama Islam. Sudah tentu halal
menjadi perkara pokok dalam setiap pemilihan makanan dan produk kegunaan
harian. Walau bagaimanapun, pelbagai isu yang timbul pada hari ini menyebabkan
masyarakat sering keliru. Namun, isu yang menjadi dilema ini bukanlah
penghalang untuk mencari yang halal malah ia menjadi satu loncatan agar
masyarakat menjadi lebih berilmu dan bermaklumat.
Cabaran dalam bab halal pada hari ini bukanlah kecil tetapi
memerlukan kesabaran. Apatah lagi kita menghadapi lambakan produk makanan dan
barangan lain di pasaran menyebabkan kita mempunyai banyak alternatif namun
perlu diteliti. Hakikatnya, mungkin berpada-pada atau berkadar dengan apa yang
halal adalah lebih baik berbanding berkenyang-kenyangan dengan yang haram.
Penggunaan bahan tambah makanan adalah cabaran kepada umat
Islam kerana proses penghasilan dan sumber bahan penambah itu sendiri mungkin
menggunakan ramuan haram yang dimasukkan ke dalam produk makanan halal.
Walaupun penggunaannya dibenarkan dalam aras yang ditentukan, yang menjadi
persoalannya apakah ia bakal mengundang kemudaratan kepada kesihatan, jika
terus digunakan dalam makanan setiap hari? Satu perkara lagi yang menimbulkan
dilema ialah jika bahan tambah makanan itu berasal daripada haiwan yang
diharamkan, sekali gus menjadikannya haram dimakan oleh umat Islam.
Bagaimana pula dalam situasi di mana kadangkala semasa
proses pembuatan sesuatu bahan makanan atau minuman mungkin akan terhasil
unsur-unsur yang diharamkan? Oleh itu, penglibatan penyelidik dalam mengkaji
kesan jangkamasa pendek dan panjang sesuatu bahan tambah menyediakan cabaran
besar yang akan memberi impak kepada kesihatan awam apatah lagi yang melibatkan
unsur halal dan haram bahan tambah makanan tersebut.
Ketidaktelusan pengeluar dalam pelabelan makanan akan
memberi impak buruk kepada pengguna mahupun pengeluar itu sendiri. Isu ini
memberi cabaran besar kepada masyarakat pengguna dalam memilih makanan terbaik
lebih-lebih lagi jika pelabelan makanan mengelirukan.
Kekeliruan yang timbul bukanlah perkara kecil kerana ia
bakal memberi kesan kepada pemilihan makanan. Contohnya dalam isu kod E yang
menjadi tanda tanya yang masih terbuku di hati masyarakat awam. Sesetengah
pengguna yang prihatin dan teliti dengan sesuatu produk akan melihat kandungan
makanan tersebut, namun ada juga yang tidak mengambil endah.
Dalam isu ini, satu langkah yang proaktif perlu dimainkan
oleh pihak berwajib agar masyarakat tidak dibelit dengan kekeliruan. Contohnya,
sampaikan maklumat dalam bentuk yang mudah dan istilah yang difahami oleh
segenap lapisan masyarakat berbanding dengan istilah saintifik. Paling tidak
masyarakat mengharapkan senarai atau maklumat dihebahkan secara saksama.
Dalam isu halal, pihak yang berautoriti perlu mempunyai saluran
yang berkesan dalam memberikan informasi kepada pengguna contohnya melalui
laman web, radio, televisyen dan juga talian bebas tol.
Dengan segala cabaran dalam dunia yang semakin maju,
wajarlah setiap individu mencari ilmu dan maklumat mengikut saluran yang betul.
Ilmu dan maklumat bakal menjadi solusi terbaik sekiranya kita menghadapi apa
jua permasalahan berkaitan dengannya.
Umat Islam perlu berpaksikan kepada fakta dan kebenaran
berasaskan syariat Islam dan berwaspada dalam apa jua tindakan yang melibatkan
persoalan halal dan haram. Dan cabaran yang perlu dilalui oleh semua individu
pada hari ini ialah berhati-hati dalam mencari dan memilih sesuatu makanan dan
barang kegunaan agar tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan.
Selari dengan apa yang dirakamkan oleh ulama terkenal iaitu
Abdullah Sahl al-Tusturi, “Sesiapa yang memakan makanan haram, maka akan
bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak."
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan
Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan