Oleh ROHAMI SHAFIE
BIDANG Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berkaitan dengan
menangani jenayah jalanan telah dilaksanakan dengan baik apabila kadar jenayah
ini telah berjaya dikurangkan pada kadar yang terendah.
Ini secara tidak langsung telah memberi kesan positif
terhadap nama negara apabila Malaysia diiktiraf oleh World Justice Project
sebagai negara yang paling selamat di kalangan 19 buah negara berpendapatan
sederhana tinggi di dunia.
Pengiktirafan ini membantu melonjakkan ekonomi Malaysia.
Sebagai antara elemen terpenting dalam merancakkan aktiviti ekonomi negara,
kestabilan dan keamanan negara tidak boleh sama sekali dipinggirkan.
Mustahil sesebuah kerajaan mampu melaksanakan dasar ekonomi
dengan baik jika negara tersebut tidak aman dan kerap kacau bilau. Keamanan
adalah suatu nikmat yang perlu disyukuri oleh kita.
Ketika negara-negara lain bergelut untuk mengharungi krisis
ekonomi, Malaysia masih boleh bertahan bahkan telah menunjukkan prestasi
ekonomi yang memberangsangkan berbanding negara-negara lain di dunia.
Namun, di sebalik peningkatan aktiviti ekonomi negara, ia
telah menarik minat para penjenayah komersial untuk menjalankan 'aktiviti'
mereka.
Menurut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kerugian
akibat jenayah komersial adalah dianggarkan sebanyak RM100 juta setiap bulan
dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Jenayah ini semakin meningkat dengan kehadiran warga Afrika
yang menipu dengan pelbagai cara. Mereka ini amat berani dan licik serta
sanggup menggunakan warganegara Malaysia untuk turut serta menipu rakyat
Malaysia sendiri.
Penipuan siber adalah modus operandi utama mereka. Tidak
ketinggalan ada di antara mereka mengklonkan kad kredit. Rakyat Malaysia pula
mudah ditipu oleh mereka.
Baru-baru ini penulis sendiri hampir diperdayakan oleh
mereka ketika membuat transaksi melalui internet. Penjenayah siber atau lebih
dikenali sebagai pengodam (hacker) mengetahui segala maklumat yang sedang
penulis urusniagakan melalui internet.
Disebabkan masalah teknikal, penulis tidak dapat menghabiskan
transaksi berkenaan. Ketika itulah pengodam berkenaan menelefon penulis dan
bagi meyakinkan penulis bahawa beliau adalah kakitangan syarikat berkenaan,
segala maklumat transaksi penulis disebut satu persatu tanpa adanya kesilapan.
Penulis hanya tersedar apabila beliau meminta nombor kad
kredit berserta tarikh luput kad kredit dan tiga nombor digit terakhir di
belakang kad kredit berkenaan. Atas langkah keselamatan, maklumat tersebut
tidak diberikan.
Penulis juga bertanyakan nama beliau, namun nama samaran
yang diberikan kepada penulis, kononnya ini adalah polisi syarikat.
Ketika inilah penulis berasa beliau sedang melakukan
penipuan dan akhirnya tidak melayan permintaan beliau. Selepas beliau meletak
telefon, penulis cuba menelefon kembali beliau tetapi panggilan tidak dapat
disambungkan kerana nombor telefon berkenaan 'tidak wujud'.
Tidak tahulah apa yang akan terjadi jika segala maklumat
yang diminta diberikan kepada beliau. Penulis mungkin akan mengalami kerugian
yang besar. Cukup licik penjenayah komersial ini.
Penulis amat yakin, ramai yang telah ditipu oleh penggodam
berkenaan dan berkemungkinan besar beliau bekerja secara profesional sebagai
pengodam kad kredit.
Jumlah kerugian yang diberikan oleh PDRM mungkin lebih besar
lagi jika dilihat saban hari ada sahaja berita mengenai jenayah komersial sama
ada yang dilaporkan oleh media massa mahupun yang tidak dilaporkan.
Maka, penulis ingin mencadangkan agar kerajaan menjadikan
jenayah komersial sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Tangani jenayah komersial secara berkesan. Memang benar, jenayah komersial
sukar dibanteras berbanding jenayah jalanan kerana kebanyakan mereka yang
melakukannya adalah golongan profesional yang berpendidikan tinggi.
Umpamanya jenayah siber melalui perkhidmatan memalsukan
sijil ijazah sebuah universiti tempatan baru-baru ini. Perjualan sijil ijazah
bukan sahaja berlaku di Malaysia malahan berlaku di seluruh dunia.
Mereka yang menawarkan sijil palsu mengetahui ramai pihak
yang mahukan ijazah tanpa belajar di universiti. Mereka ini pun dikategorikan
sebagai penjenayah kerana mahukan jalan singkat bagi membolehkan orang lain
mengiktirafkan "kelayakan" mereka.
Sewajarnya mereka juga perlu ditangkap bukan sahaja pihak
yang menawarkan sijil ijazah yang palsu.
Terdapat juga kes pekerja yang diambil dengan dibayar gaji
mengikut 'sijil' tetapi akhirnya penipuan telah berjaya dibongkarkan.
Apakah akan terjadi jika terdapat begitu banyak kes sebegini
di Malaysia terutamanya lambakan pekerja warga asing di Malaysia yang tidak
diketahui kesahihan kelayakan dan kompetensi mereka kecuali sekadar sehelai
sijil yang mudah dipalsukan?
Mereka ini dibayar gaji berlipat kali ganda berbanding
rakyat Malaysia tetapi melihat sumbangan mereka tidak setimpal dengan kelayakan
sijil berbanding sumbangan pekerja Malaysia.
Yang rugi bukan sahaja para pekerja Malaysia dan majikan
tetapi juga negara kerana mengalami kerugian berganda. Pertama kerugian ditipu
'kelayakan' mereka yang akhirnya sumbangan mereka amat rendah berbanding rakyat
Malaysia. Kedua kerugian wang yang dibawa keluar ke negara mereka.
Justeru, tatkala kerajaan menyasarkan 73 peratus pelaburan
langsung domestik (DDI) berbanding 27 peratus pelaburan langsung asing (FDI)
menjelang tahun 2020, sudah sampai masanya menangani jenayah komersial
dijadikan sebagai salah satu NKRA.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan