KUALA LUMPUR - Keputusan permohonan kemasukan ke Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf bagi sesi akademik 2012/2013 akan
diumumkan Jumaat ini.
Pemangku Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Ismail Nor Hassan Basri berkata calon yang
memohon boleh menyemak keputusan permohonan mulai pukul 12 tengah hari.
"Pemohon boleh menyemak permohonan mereka menerusi tiga
saluran utama iaitu laman sesawang KPT; talian bantuan (Helpline), talian
hotline; dan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)," katanya kepada
Bernama ketika dihubungi.
Calon boleh menyemak menerusi laman web http:upu.mohe.gov.my
atau di talian hotline 03-8870 6767, Helpline 03-8870 6777 dan menerusi khidmat
pesanan ringkas (SMS); UPU RESULT (no KP) dan SMS ke 15888.
Menurut laman sesawang KPT, keputusan kemasukan permohonan
akan dikeluarkan pada minggu kedua bulan Julai tetapi tiada sebarang tarikh
dinyatakan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk
Prof Dr Rujhan Mustafa menafikan berlakunya kelewatan keputusan permohonan
kemasukan ke IPTA.
"Keputusan bukan lambat. Memang 13 Julai telah
ditetapkan. Keputusan belum boleh disemak, belum dimasukkan ke dalam sistem.
Pemilihan akhir oleh universiti sedang berlangsung," katanya menerusi
khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan