Oleh : Prof Dr Sidek Baba
Ilmu dalam tradisi Islam adalah
suluh dan cahaya. Ia memberikan kita petunjuk dan pedoman. Tanpanya manusia
kegelapan dan kejahilan. Ilmu dalam tradisi Islam tidak sekadar yang terbangun
daripada sumber akliah atau fikir. Ilmu adalah interaksi akliah dan nakliah yang
berpedomankan faktor zikir.
Al-Quran adalah sebesar-besar
sumber ilmu daripada ALLAH. Ilmu hasil pemikiran manusia tidak segala-gala. Ia
terbatas daripada kemampuan akliah insan, dibantu keupayaan pemerhatian, uji
kaji dan cerapan inderawi yang sifatnya membatasi. Memahami ilmu ghaibiyyat
adalah sesuatu yang amat utama.
Apabila ilmu nakliah memandu
kekuatan akliah, ia memberikan dimensi fikir-zikir yang membawa makna kepada
diri insan. Proses menerima makna mengenai hakikat ilmu dan hikmah dan hanya terjadi
sekiranya wujud integrasi terhadap yang nyata dengan yang ghaib.
Sifatnya rohaniah dan rabbaniah.
Air sebagai gabungan elemen oksigen dan hidrogen adalah elemen saintifik yang
sifatnya akliah. Apabila air, dalam al-Quran, dihubungkan sebagai sumber
kehidupan ia terkait dengan maksud rahmat ALLAH kepada makhluk-Nya di muka
bumi. Air tidak sekadar sesuatu yang diciptakan tetapi terkandung hikmah di
sebalik ciptaannya.
Sebab itu al-Quran dalam Surah Az
Zumar ayat 8 menyebutkan bahawa tidak sama orang yang berilmu dengan orang yang
tidak berilmu. Ayat ini memberi asas yang sangat kuat betapa ilmu dan orang
yang berilmu memiliki kekuatan untuk tahu dan faham dan menerima makna akan
sesuatu.
Hal yang terjadi kepada manusia
adalah ilmu itu hanya dalam batas fakta dan data yang zahiri dan sifatnya
mekanistik. Sedangkan ilmu pada hakikatnya adalah suluh dan petunjuk (hudan) mencerahkan pemahaman insan
mengenai yang nyata dan di sebalik yang nyata.
Orang yang memiliki ilmu
integratif tidak sekadar melakukan uji kaji, pemerhatian, tabulasi fakta dan
data dan mengambil pendekatan empiris sebagai landasan rasional dan logik
tetapi membangun jiwa tadabbur iaitu meneliti dan memahami sesuatu fenomena
alam dan kejadian dan kaitannya dengan Pencipta.
Sebab itu ilmu sekular dan
liberal yang sifatnya mekanistik memberi fokus kepada faktor duniawi semata dan
asas agama tidak dijadikan landasan mencari makna akan sesuatu. Dalam tradisi Islam, akal dibenarkan subur dan
berkembang tetapi pedoman dan petunjuknya daripada al-Quran.
Terdapat banyak firman ALLAH
umpamanya memberi petunjuk terhadap pemikiran saintifik. Bagi orang Eropah yang
pernah menghadapi konflik rasionaliti dan saintifik dengan pendukung teologi
Kristian bagi Islam ia bukan masalah. Orang Barat hari ini akibat konflik
tersebut menolak asas agama sebagai sumber ilmu.
Mereka menghubungkan ilmu dan
sumber agama sebagai dogma (khayali) termasuk Islam. Sistem ilmu Barat ini
berkembang dan sistem pendidikan negara orang Islam. Faham sekular dan liberal
berkembang tanpa ia ditindikkan dengan asas agama dan etika. Lalu ilmu yang
berkembang menjadi lepas bebas dari dukungan nilai.
Ilmu sifatnya terhubung dengan
nilai (value-laden) bukannya bebas nilai (value free). Manusia memerlukan nilai
sebagai ukur tara terhadap sesuatu perkara dan perbuatan. Menyatakan sesuatu
itu baik atau buruk, makruf dan mungkar, halal dan haram umpamanya perlukan
petunjuk nilai.
Adil mengikut sumber al-Quran
bermaksud “meletakkan sesuatu pada tempatnya” bukan mengambil sikap berkecuali
kerana ia boleh membawa kepada zalim. Contohnya, memilih pemimpin mesti
kalangan orang berwibawa, memiliki ilmu yang sepadu, integritinya tinggi,
akhlaknya menjadi sumber teladan, peribadinya menganjurkan kebaikan untuk semua
manusia bukannya dendam kesumat dan taksub yang tinggi hingga membawa kepada
kejumudan berfikir.
Orang berilmu dan memiliki
pedoman hidup sifatnya tidak takabbur. Dia tidak menyatakan dirinya adalah
segala-gala dalam bidang keilmuan. Kepakaran dan keahlian yang dimilikinya
adalah mata rantai bagi suatu tamadun.
Selalunya orang berilmu mempunyai jiwa rukuk dan sujud. Jiwa taqarrubnya
(kehampiran) dengan ALLAH sentiasa menjadikan tawathuk kerana teladan ini
adalah mesra manusia.
Bukan untuk disanjung secara
berlebih-lebihan sehingga hilang imej keilmuannya dan tawaduknya. Ilmu yang ada
padanya hakikatnya daripada ALLAH. Apabila ia dijadikan suluh dan pedoman
kepada manusia dalam bentuk ilmu dan pengajaran sifatnya mendidik.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan