Oleh : Profesor Dr. Teo Kok Seong
Bahasa Melayu ialah bahasa negara yang berfungsi sekali gus
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Ini termaktub pada Perkara 152
dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1967, dan Undang-undang
Pendidikan Kebangsaan dari tergubalnya Akta Pelajaran 1957 sehingga ke Akta
Pendidikan 1996.
Sebagai bahasa kebangsaan, dan lebih-lebih lagi dalam
peranannya sebagai bahasa rasmi, bahasa Melayu ialah bahasa wahana wajib untuk
ranah rasmi di negara ini.
Untuk ini, bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi “apa-apa
jua maksud kerajaan, sama ada kerajaan Persekutuan atau kerajaan Negeri, dan
termasuk apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”.
Hal ini yang tercatat pada Perkara 152 Fasal 6 Perlembagaan
Negara dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 Seksyen 1, yang merupakan pengertian dan
kehendak penggunaan dalam ranah rasmi, sebenarnya adalah terlalu sempit dan
minimum sekali.
Pengertian dan kehendak ini selalu difahami dan sering juga
dieksploitasi oleh masyarakat Malaysia sebagai hanya bersangkutan dengan urusan
dengan kerajaan, yakni sesuatu perkara yang harus diselesaikan dengan pihak
pemerintah.
Ia juga dianggap sebagai perkara yang dikelolakan oleh pihak
kerajaan, iaitu sebarang kegiatan dan acara yang diaturkan oleh pihak
pemerintah.
Selain itu, ia ikut disifatkan sebagai upacara, majlis dan
acara yang dikendalikan oleh pihak kerajaan untuk rakyat dan sebaliknya.
Sebenarnya, ranah rasmi itu luas sekali dan merangkumi
antaranya bidang perundangan dan kehakiman, pentadbiran kerajaan dan semua
agensinya, pengajian tinggi dan buku ilmiah, pelajaran sekolah rendah serta
menengah dan buku teks.
Selain semua ini, ia ikut merangkumi media massa cetak dan
elektronik, kegiatan ekonomi dan perdagangan, pembangunan sains dan teknologi,
profesion dan pekerjaan, serta upacara, majlis dan acara rasmi, baik yang
dianjurkan oleh pihak awam mahupun swasta.
Ranah rasmi adalah medan pengaruh yang amat berwibawa lagi
berprestij, yang menguasai kehidupan seluruh warga sesebuah negara itu, dan
bahasa, termasuk ragam yang digunakan untuk ranah rasmi ini, sebenarnya adalah
bahasa dan ragam yang disanjungi dalam negara berkenaan, oleh semua lapisan dan
sektor masyarakat.
Dalam konteks di Malaysia, ragam bahasa yang dimaksudkan
ialah ragam baku bahasa Melayu. Ragam ini hendaklah digunakan dalam keadaan
bestari, iaitu baik dan betul, dan sepenuhnya, yakni dari awal hingga ke akhir,
sama ada sewaktu bertutur mahupun menulis, khususnya dalam penggunaan rasmi.
Pematuhan dua syarat linguistik ini, iaitu penggunaan
bestari dan sepenuhnya adalah perlu sekali sebagai salah satu langkah penting
untuk mengimbuh wibawa kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Selain kewibawaan ini, dua syarat ini juga boleh
mempertingkat kedominanan bahasa Melayu dari pelbagai aspek. Antaranya
termasuklah perundangan, ideologi dan tindakan.
Bagaimanapun, dua syarat linguistik ini tidak selalu
dipatuhi. Yang sering terjadi adalah tiga perkara berikut :
Pertama, penggunaan
bentuk bahasa yang melanggar peraturan nahu baku bahasa Melayu.
Kedua, bahasa Melayu yang menggunakan bentuk bahasa Inggeris
yang bukan pun kata serapan dalam bahasa Melayu.
Ketiga, penggunaan bahasa Inggeris, sama ada secara
sebahagian atau sepenuhnya untuk menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa
wahana wajib.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan