Rabu, 11 Julai 2012

ISU DEMOGRAFI : Malaysia Jadi Negara Menua 18 tahun Lagi


KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi sebuah negara menua menjelang tahun 2030 dan ia merupakan satu cabaran kepada kerajaan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Heng Seai Kie.

Beliau berkata ini kerana dalam tempoh 18 tahun akan datang, 15 peratus daripada populasi penduduk negara ini terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Malaysia mencapai tahap negara menua hanya dalam tempoh 26 tahun, lebih cepat jika dibanding dengan negara Eropah yang mengambil masa 100 tahun untuk mencapai tahap menua, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Penuaan Penduduk: Isu dan Cabaran di Universiti Malaysia di sini, Rabu.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Tan Sri Napsiah Omar dan Ketua Pengarah LPPKN Datuk Aminah Abdul Rahman.

Heng berkata menyedari hakikat itu, kerajaan telah meluluskan penambahbaikan Dasar dan Pelan Tindakan Warga Emas pada 5 Jan 2001 yang menekankan kepada pendekatan pembangunan modal insan sepanjang hayat.

Beliau berkata tumpuan kepada penambahbaikan itu meliputi aspek persediaan, pencegahan dan pengukuhan selain mengambil kira keperluan mendaya upayakan golongan warga emas.

Heng juga berkata setiap anak-anak perlu bertanggungjawab dalam menjaga dan memberi perlindungan kepada ibu bapa mereka dan tidak bersikap lepas tangan serta menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan.

"Setiap kita semakin tua, jadi anggaplah menjaga warga emas pada hari ini ibarat kita menjaga diri kita sendiri pada hari tua," katanya.

Persidangan sehari hasil kerjasama pintar antara LPPKN dan Universiti Malaya itu dihadiri 300 peserta dari dalam dan luar negara.

Sebanyak 12 kertas kerja dibentang, antaranya 'Peranan Keluarga dalam Memenuhi Cabaran Penuaan Penduduk di Malaysia : Dasar dan Intervensi' oleh Timbalan Ketua Pengarah (Polisi) LPPKN Dr Anjli Doshi Gandhi; 'Aspek Sosial dan Ekonomi Warga Emas di Thailand' oleh Pengarah Penyelidik Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand Dr Worawan Chandoevwit; dan 'Sistem Keselamatan Pendapatan di Republik Korea? Hala Tuju untuk Pembangunan' oleh Ketua Ekonomi Bank Pembangunan Asia Dr Donghyuan Park. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan