Rabu, 5 Ogos 2009

ISU PELAKSANAAN DASAR SATU MALAYSIA

Konsep 1Malaysia pemangkin seru rakyat tingkat prestasi

Oleh Dr KS Nathan


KONSEP 1Malaysia boleh ditafsirkan sebagai pemangkin menyeru rakyat berganding bahu meningkatkan prestasi negara pada peringkat domestik, serantau mahupun di persada dunia. - Gambar hiasan

Pengurusan strategik terbaik harus penuhi objektif capai perpaduan negara, pembangunan modal insan

NEGARA meraikan ulang tahun ke-52 kemerdekaannya pada 31 Ogos ini, sambil Asean juga meraikan ulang tahunnya ke-42 pada Sabtu ini. Kedua-dua peristiwa itu mempunyai kesan mendalam terhadap keseluruhan proses pembangunan, kestabilan, kemajuan serta kemakmuran negara dan keselamatan serantau. Soal yang lebih genting ialah setakat mana dapat kita lihat pertalian antara dasar luar Malaysia dan perkembangan Asean dalam tempoh lebih empat dekad kebelakangan ini, serta impak hubungan Malaysia-Amerika terhadap keselamatan Asia secara keseluruhan.

Usaha kuasa tempatan mewujudkan jati diri kebangsaan mahupun serantau bermula dengan penubuhan Persatuan Asia Tenggara atau ASA pada 1961. Pembentukan rangka kerjasama antara tiga negara pengasas iaitu Malaysia, Thailand dan Filipina adalah petanda terpenting dari sudut inisiatif tempatan bagi memupuk kerjasama serantau berlandaskan keperluan dan aspirasi tempatan.

Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra memainkan peranan penting memajukan kerjasama sosiobudaya berasaskan andaian kemajuan pada peringkat ini akan disambung ke arena kerjasama politik, ekonomi dan keselamatan. Jadi, kerjasama sosial dan budaya pada tahap awal, berkembang pula keazaman politik untuk melonjak ke paras lebih tinggi dan mencabar.


Daripada menentang komunis menerusi strategi dan program 'keselamatan dan pembangunan', negara terus memerangi keganasan sehingga Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989 secara rasmi meletakkan senjata. Dasar luar Malaysia berjaya mengukuhkan dasar pembangunan sosioekonominya ke arah perpaduan serta pembangunan ekonomi.


Peranan aktif dimainkan Malaysia dalam forum Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) menghasilkan gambaran pada dekad 1980-an sebagai juara memupuk kerjasama antara Selatan-Selatan. Usaha menumpaskan komunisme melambangkan kesanggupan pemimpin pengasas Asean membina negara bangsa yang mencerminkan hasrat rakyat mendokong sistem demokrasi serta mengembangkan kerjasama serantau berteraskan keperluan tempatan.

Kerjasama serantau dan Asean dengan kuasa luar mencerminkan matlamat sama yang hendak dimajukan negara Asia Tenggara. Sehubungan itu, Asean memulakan hubungan rakan dialog dengan semua kuasa luar, termasuk Amerika Syarikat (AS) sejak 1970-an. Dialog AS-Asean yang pertama diadakan pada 1977.

Sejak tamatnya Perang Dunia Kedua, kuasa dan pengaruh AS ketara menonjol khasnya dari sudut keupayaan dan peranannya sebagai penjamin keselamatan di rantau Asia-Pasifik. Suatu simbol kesinambungan peranan keselamatan Amerika di Asia dapat dilihat dalam pengekalan pakatan tentera Amerika Syarikat-Jepun yang termeterai pada 1951.

Asean mengambil pendirian strategik mengenai pakatan dua hala itu kerjasama keselamatan AS-Jepun membawa manfaat kepada seluruh Asia khususnya dari segi menstabilkan keselamatan dalam keadaan tidak menentu selepas tamatnya Perang Dingin pada 1990. Di samping itu, pakatan berkenaan membebaskan negara yang baru merdeka daripada belanja berlebihan untuk pertahanan, sebaliknya membuka peluang menghulurkan tenaga kepada pembangunan.

Globalisasi mendesak negara serantau menggubal dasar politik dan ekonomi domestik ke arah menyelaraskan ekonominya kepada tuntutan baru yang muncul daripada persekitaran luar. Persoalan paling mencabar adalah menyambut tuntutan dan desakan luar tanpa mengorbankan jati diri negara mahupun ciri kebangsaan yang setakat ini berjaya memantapkan sistem politik, ekonomi dan sosial.

Dalam konteks ini, Malaysia sendiri berasa tercabar daripada pelbagai sudut mempertahankan kedaulatan negara sambil membuka sektor domestik bagi pelaburan luar supaya kedua-dua pihak dapat menikmati pembangunan ekonomi serta kemantapan serantau.

Wawasan 2020 yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1991 membayangkan pandangan strategik bagaimana Malaysia sebagai negara majmuk harus menangani pelbagai cabaran, dalam dan luar, dengan cetusan era globalisasi sejak 1990-an. Konsep mengukuhkan perpaduan tidak jauh bezanya daripada memperkasakan serantau.

Maka konsep pengurusan strategik menjadi neraca mengimbangi segala unsur positif dan negatif yang menyusul dengan sesuatu tindakan diambil. Sesuatu strategi terbaik, bernas dan berkesan harus memenuhi objektif mencapai perpaduan negara, pembangunan modal insan dan fizikal, dan memastikan daya saing negara tanpa kompromi.

Penggubalan dasar harus menepati landasan ditetapkan demi kebaikan semua rakyat Malaysia. Daripada perspektif ini, Wawasan 2020 sudah pun merangka strategi, dasar dan langkah yang kini dipaparkan sebagai gagasan '1Malaysia'.

Walaupun falsafah yang membimbing kedua-dua gagasan itu sama, pelaksanaannya akan buntu jika pegangan minda yang enggan menerima realiti bahawa dasar dan strategi yang berkesan dulu masih menebal kerana ia mungkin kurang relevan kepada perubahan zaman. Begitu pun, perubahan psikologi pemimpin serta masyarakat tidak akan berlaku secara mendadak; perlukan masa, usaha dan kesanggupan melakukan perubahan.

Justeru, konsep '1Malaysia' boleh ditafsirkan sebagai pemangkin menyeru rakyat berganding bahu meningkatkan prestasi negara pada peringkat domestik, serantau mahupun di persada dunia. Dasar liberalisasi sektor tertentu di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bertujuan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa, memandangkan kegawatan ekonomi dunia masa kini, kerajaan peka dan insaf kepada tuntutan masyarakat dan berazam menunaikan aspirasi rakyat.

Namun, cabaran lebih genting kepada pemerintahan baru ialah sama ada langkah politik dan ekonomi yang diambil dapat dipertahankan untuk jangka panjang tanpa mengorbankan tujuan mencapai kesaksamaan sosioekonomi, mempertahankan kedaulatan sistem demokrasi berpolitik, ketelusan pentadbiran dan kesediaan mendengar suara rakyat.

Prof Dr KS Nathan ialah Timbalan Pengarah dan Ketua, Pusat Kajian Amerika (Kamera) Institut Kajian Oksidental (Ikon) UKM

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan