Pelaksanaan cegah, rawat H1N1 perlu tindakan serius
EMPAT lagi kematian dicatatkan semalam. Ia menjadikan jumlah yang maut akibat selesema babi kini meningkat kepada 12 orang. Bermula dengan korban pertama pada 21 Julai, jumlah kematian akibat influenza A (H1N1) meningkat mendadak selepas dua minggu.
Ia semakin membimbangkan. Apatah lagi jumlah kes yang positif H1N1 kini meningkat kepada 1,476.
Jumlah kematian itu dicatatkan walaupun negara telah mengambil langkah 'berjaga-jaga' sejak akhir April lalu.
Persoalannya, sejauh manakah langkah berjaga-jaga atau pencegahan itu dilaksanakan? Apakah langkah-langkah utama membendung penularan wabak itu benar-benar dilakukan? Atau adakah ia sekadar indah di atas kertas?
Berdasarkan perkembangan terbaru itu, tidak keterlaluan jika dikatakan langkah pencegahan hanya bersifat "sekadar ada" sahaja.
Tiada langkah aktif dan proaktif bagi membendung penyebaran virus tersebut. Tidak dinafikan iklan-iklan mengenainya disiarkan berulang kali di media massa tetapi bila tiba soal pelaksanaan, ia hanya kekal di takuk lama.
Ketika ini semakin banyak keluhan daripada orang ramai berhubung sikap sesetengah doktor yang tidak serius untuk membantu pesakit mengenal pasti jangkitan H1N1.
Luahan seorang ibu dalam ruangan forum di Utusan Malaysia semalam, menceritakan realiti yang berlaku ketika ahli masyarakat cuba mendapatkan pengesahan mengenai jangkitan virus maut berkenaan.
Sikap sambil lewa doktor yang enggan membuat pemeriksaan lanjut walaupun pesakit telah berminggu-minggu diserang batuk dan selesema sangat mengecewakan.
Adakah benar doktor di hospital hanya akan melakukan pemeriksaan lanjut dan teliti sekiranya pesakit menunjukkan tanda-tanda kritikal seperti sesak nafas dan demam dengan suhu yang terlalu tinggi? Ketika itu mereka di ambang nazak?
Kenapa begitu layanan pegawai perubatan ke atas mereka yang mahu diperiksa kerana khuatir dijangkiti selesema babi?
Mengapa tidak dilaksanakan prosedur seperti untuk mengesan denggi? Adakah selesema babi kurang berbahaya berbanding denggi?
Rasanya sikap "ambil mudah" itu bukan langkah yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan. Tetapi itulah realiti yang berlaku di hospital-hospital di bawah kementerian itu.
Amat malang kerana mereka yang sepatutnya sangat arif mengenai langkah pencegahan dan pengesanan awal, bersikap sambil lewa. Mengapa kita tidak belajar daripada wabak Japanese Encephalitis (JE) atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dahulu?
Maka kerana itu, kita sangat berharap pengumuman kerajaan mengenai empat langkah tambahan membendung penularan H1N1 akan memberi momentum baru kepada semua pihak.
Langkah kerajaan meningkatkan simpanan stok antivirus kepada 20 peratus dengan melibatkan kos RM20 juta perlu diikuti dengan pelaksanaan sebaik mungkin.
Begitu juga dengan arahan untuk memberi rawatan serta-merta kepada enam kategori pesakit iaitu wanita hamil, obesiti, penghidap asma, paru-paru kronik, diabetes dan pesakit dengan imuniti rendah.
Paling penting mereka di barisan hadapan khususnya doktor dan jururawat, perlu sentiasa peka. Semua langkah utama dan tambahan bagi pencegahan dan rawatan H1N1 itu memerlukan pelaksanaan segera. Ia perlu menepati slogan "rakyat diutamakan".
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan