Rabu, 8 April 2015

ISU PENDIDIKAN : ‘Kejutan’ kaedah baru


Oleh Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my

Perubahan memacu kemajuan dan kecemerlangan. Dalam banyak bidang, kita dapat saksikan kejayaan tidak akan dapat dicapai sekiranya sesuatu itu bersifat statik, sebaliknya perlu berubah dan berkembang, sama ada secara perlahan-lahan ataupun drastik.

Bidang pendidikan lebih-lebih lagi memerlukan kepada perubahan terutama dalam aspek pembelajaran dan pengajaran (P&P) supaya keberkesanannya lebih menyerlah dalam mendidik, membentuk dan melahirkan pelajar yang berjaya.

Hal ini adalah sejajar dalam memenuhi piawaian global yang melihat pendidikan pada skala besar sebagai satu aspek utama pembangunan sesebuah negara.

Bagaimana dengan pendidikan di negara kita, terutama dari sudut P&P? Apakah anjakan P&P yang dilakukan cukup meyakinkan keupayaannya mencapai sasaran melahirkan pelajar bertaraf global sebagaimana sasaran Pelan Pendidikan Pembangunan Malaysia 2013-2025?

Memperkatakan isu ini, Pengarah Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran (Pengajaran Universiti Kebangsaan Malaysia), Profesor Dr Mohamed Amin Embi bersetuju bahawa P&P perlu diselarikan dengan kehendak semasa bagi mengimbangi perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan global.

Tegas beliau, tanpa perubahan, sistem pendidikan negara akan terus ketinggalan, sekali gus memberi kesan kepada pelajar serta institusi pendidikan dalam jangka panjang.

“Dalam pembangunan sesebuah negara, pendidikan adalah asas yang perlu diperkasakan dengan elemen tertentu mengikut kesesuaian bertujuan memenuhi kapasiti semasa.

“Jika sistem digunakan tidak diubah, berkemungkinan impaknya juga sangat besar kepada pelajar, institusi pendidikan dan masyarakat,” katanya, sambil menjelaskan bahawa setiap perubahan tidak boleh dilihat dalam masa singkat, tapi perlu disasarkan dalam tempoh panjang untuk diberi pelbagai suntikan baru.

Menurutnya, masyarakat yang sudah selesa dengan P&P sedia ada mudah terkesan dengan perubahan ini, contohnya P&P yang suatu ketika dulu lebih berbentuk tradisi, kini semakin dipelbagaikan dengan kaedah baru lebih dinamik seperti dalam talian dan menggunakan Internet.

“Bagi segelintir masyarakat, mereka menganggapnya sebagai satu ‘kejutan’, tapi ia sebenarnya sangat diperlukan dalam P&P moden kerana sistem pendidikan di negara lain juga sudah menggunakan kaedah sama,” katanya.

Beliau berkata, P&P moden juga lebih menekankan konsep inovasi sebagai platform menjana maklumat kepada pelajar supaya mampu berfikir pada aras tinggi.

Pengenalan Pentaksiran Kemahiran Berfikir Aras Tinggo (KBAT) katanya, adalah antara inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melahirkan pelajar yang bukan saja mampu cemerlang dalam akademik, malah dilengkapi kemahiran lain seperti berkomunikasi dan berfikir di luar kotak.

“P&P yang terkini mampu membantu pelajar bagi tujuan itu, di samping sokongan daripada P&P terdahulu. Gabungan kedua-duanya berpotensi membantu melahirkan pelajar seperti disasarkan KPM.

“Dalam hal ini, bukan pelajar saja yang perlu menerima (pembaharuan), tapi juga guru yang menjadi pelaksana,” katanya.

Jelas beliau, masyarakat perlu memahami kepentingan melakukan anjakan proses P&P dalam sistem pendidikan masa kini bagi memenuhi kapasiti global.

Menurutnya, budaya sosial di sekolah adalah kompleks dan proses P&P perlu dipelbagaikan dengan tidak hanya tertumpu pada satu aspek semata-mata.

Katanya, pemain utama dalam menjayakan P&P adalah guru dan pelajar, sekali gus memerlukan mereka memahami sasaran yang ditetapkan.

“Guru adalah golongan paling penting untuk menjadikan proses P&P berjalan lancar dan mencapai sasaran objektifnya.

“Penting bagi guru untuk kreatif serta mempunyai inovasi bagaimana mahu merencanakan proses P&P ini supaya berjalan lancar,” katanya.

Penulis Peter Hook dan Andy Vass dalam bukunya ‘Confident Peranan Kepimpinan Guru’ (2000) menterjemahkan bahawa peranan guru dalam kelas sebagai satu kemahiran untuk berkomunikasi dengan diri sendiri dan pelajar.

Menurut Dr Mohamed Amin, berdasarkan terjemahan itu, guru perlu terlebih dulu membentuk kemahiran diri dengan keupayaan tertentu sebelum menyampaikan maklumat kepada pelajar.

“Menerusi pemantapan kemahiran ini, kebolehan guru boleh meningkat dalam menyampaikan visi kepada pelajar, menyakinkan dan mempengaruhi mereka.

“Peranan kepimpinan guru yang berkesan memerlukan guru yang memiliki pelbagai kemahiran seperti boleh mengembangkan keupayaan untuk memahami, mempunyai kemahiran menghasilkan hubungan berkesan, memahami tingkah laku dan keinginan pelajar, memahami bilik darjah adalah satu sistem dan berkebolehan mencari penyelesaian dan menganalisis maklumat.

“Semuanya dirangkumi menjadi satu bagi menghasilkan proses P&P yang berjaya dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, dalam dunia pendidikan, guru adalah entiti yang penting peranannya yang bukan sekadar mengetahui sesuatu ilmu, tapi mempraktikkannya dalam P&P di kelas (knowing in action).

“Ada kajian dilakukan penyelidik pendidikan, Linda Darling Hammond pada 2000 menunjukkan kualiti P&P guru boleh melonjakkan lagi kejayaan pelajar.

“Maksudnya, apa yang pelajar dapat bukan bergantung kepada sekolah yang mereka hadiri, tetapi kepada guru yang ada dalam sekolah berkenaan.

“Jelas sekali, guru yang efektif mempunyai pengaruh yang begitu tinggi dalam P&P,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan