Isnin, 6 April 2015

BAHASA MELAYU NUSANTARA : Bahasa Ilmu, Perdagangan dan Teknologi


Oleh : TAN SRI DR. RAIS YATIM 

JIKA semua negara yang berasaskan bahasa Melayu se­ba­gai bahasa rasmi atau kebangsaannya sepakat di wilayah Nusantara, beberapa cita-cita asas kolektif kebangsaan akan mudah dicapai. Perkara ini yang dibangkit dalam ucapan saya dalam Majlis Dialog Bahasa Melayu Nusantara di Universiti Brunei Darussalam pada 25 Mac 2015. Indonesia dengan bahasa Indonesia (Artikel 36 Perlembagaan Indonesia), Malaysia dengan bahasa Melayu (Per.152); Brunei dengan bahasa Melayu (Per. 82) dan Singapura juga dengan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa Kebangsaan (Per. 153A & 153(A)(2).

Dalam konteks kehidupan serantau khasnya bagi etnik rumpun Melayu Austronesian di wilayah ASEAN dan di Kepulauan Melayu, soal bahasa tidak tampak begitu diutamakan. Kebanyakan pihak hanya beranggapan bahasa Melayu itu memang begitu meluas dipakai dalam perhubungan antara negara dan secara domestik. Mungkin ini disebabkan kekangan politik serantau seperti terdapat pada beberapa konsep keserantauan pada masa ini. Kita ada dasar pemasaran ekonomi serantau ASEAN, kerjasama serantau dalam bidang teknologi, pendidikan dan lain-lain. Tetapi tidak ada kerjasama yang kukuh dalam memperjuangkan bahasa Melayu sebagai bahasa asas di Kepulauan Melayu seperti sebelum tahun-tahun 1950 – 1970-an. Mungkin ini disebabkan tiadanya pada zaman itu unsur-unsur pengaruh seperti yang melanda kita pada hari ini.

Usaha kerjasama kukuh bidang bahasa dalam kalangan negara ASEAN mungkin tidak akan menampakkan buah dalam masa terdekat lantaran susuk dan struktur sosio-politik negara masing-masing khasnya negara-negara selain Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura yang dalam Perlembagaan nasional masing-masing sedia terkandung provisi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan masing-masing.

Seharusnya semua negara yang bertiang serikan bahasa Melayu/bahasa Indonesia berusaha gigih dalam bidang-bidang berikut:

1 Berjuang menjadikan bahasa Melayu/bahasa Indonesia (BM/BI) sebagai bahasa ilmu sekalipun bahasa Inggeris telah mendahului BM/BI dalam hal ini. Tanpa usaha ini BM/BI akan hanya berada di kawasan lobi bahasa kedua. Apabila BM sebagai bahasa ilmu direalisasikan, sekali gus ia akan muncul sebagai bahasa pembudayaan atau bahasa kehidupan yang sebenar. Keadaan sekarang apabila BM dan bahasa Inggeris diletak pada paras dwi-bahasa dengan penekanan supaya BI menjadi bahasa ilmu akan terus mengkencundangkan BM kerana nilai ekonomi dan nilai teknologi kepada BM tidak diberi.

2 Usaha membahasa ilmukan BM sukar dilaksanakan oleh sesebuah negara sahaja kerana dunia hari ini adalah dunia pelbagai interaksi (multi interaction and interface). Untuk ini Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei khasnya amat perlu mewujudkan suatu gagasan serantau yang bergerak secara kolektif atau bersekutu dalam bidang peristilahan, terminologi sains dan teknologi serta pemupukan universiti serantau dalam suatu jaringan meningkatkan penyelidikan dan pembudayaan BM di peringkat tertinggi.

3 Kepakaran dalam BM harus berada di dalam wilayah Nusantara dan tidak di Leiden, Hamburg atau negara wilayah lain.

4 Sistem persekolahan kita harus mengambil kira jurusan ilmu yang perlu mengeluarkan buku-buku teks yang berasaskan ilmu. Pengajian peradaban Melayu serta penerbitan jurnal tertinggi dalam bahasa Melayu hendaklah dikendalikan sendiri oleh intelektual Nusantara bukan dan tidak oleh para sarjana di luar Nusantara yang hanya bermegah dengan kendalian ISI (International Science Index), SCOPUS dan pautan-pautan lain yang secara menggila hanya menumpukan perhatian kepada sains serta teknologi tanpa mengambil kira betapa pentingnya sains sosial yang mengandungi semua bahan kemanusiaan.

Pada hari ini bahasa ilmu rata-rata dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Jepun, Perancis, Rusia, Korea dan lain-lain. Penutur-penutur bahasa ini memang boleh berbahasa Inggeris tetapi atas desakan dan kepentingan nasional dan sewilayah, mereka memilih menjadikan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai bahasa ilmu.

Memang diakui kesukaran utama ialah daya penterjemahan mesti tinggi. Dengan adanya Dewan Bahasa masing-masing di Indonesia, Brunei dan Malaysia aral bayangan ini boleh diatasi. Pokoknya azam perjuangan bahasa dan budaya mesti kental.

Seperkara lagi yang amat penting ialah bahasa Melayu sebagai bahasa komersial atau bahasa dagangan mesti wujud secara meluas. Pada masa ini semua kontrak, piagam, kovenans, hubungan korporat dengan pelanggan dimonopoli bahasa Inggeris. Sekurang-kurangnya kita ada dua laluan bahasa dalam perdagangan – Melayu dan Inggeris.

Ingatkah kita kepada Srivijaya (600–1370?) Bahasa Malayu atau Moloyo (sebutan Cina) ketika itu di Nusantara menggunakan bahasa Melayu. Arab, India, Cina dan lain-lain juga menggunakan bahasa Melayu. Bila Melaka muncul hebat mulai 1403 bahasa Melayu terus utama sebagai bahasa perdagangan dan bahasa peristilahan utama. Bahasa Malayu kuno di Wilayah Kantoli (sebelum Srivijaya), Minangkabau, Dharmasraya semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perniagaan dan perhubungan. Palembang, Jambi, Pasai, Aceh, Bugis, Jawa, Kalimantan, Brunei semuanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pelabuhan dan urus niaga koporat. Kenapa kini kita tak mampu lagi dan mengalah saja kepada keutamaan bahasa Inggeris.

Kita ulangi – kita jangan menolak bahasa Inggeris dalam apa jua jurusan tetapi seperti Cina, Jepun, Korea kita mesti cintai bahasa Melayu/Indonesia sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan. Barulah anak cicit kita tidak kempunan kejuaraan bahasa sendiri.

Tanpa keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perdagangan, tahap masa depannya tetap jatuh pada kedudukan di bawah. Ketidakupayaan BM sebagai bahasa teknologi juga sedang dirasai kerana usaha masing-masing negara amat terhad dalam hal ini lantaran pembelajaran kita berpusat ke Barat. Mahu tak mahu Barat sedang dan akan terus mempelopori peristilahan sains dan teknologi. Begitu juga dalam bidang matematik. Walaupun orang Islam yang mempelopori sebahagian Algebra, Ibnu Sinna dalam perubatan, pendidikan Barat sudah mengambil alih peranan peristilahan ini. Semenjak Abu Sina meninggal dunia 1038 dahulu, siapa dan bagaimana mereka yang mencipta istilah-istilah perubatan dunia?

Justeru anak bangsa yang lulusan tinggi dari mana-mana universiti Barat harus diraih ke dalam perjuangan mewujudkan kamus peristilahan ke bahasa Melayu. Akan ada yang senyum kambing lalu mendenguskan tak mungkin… sebab kita sudah begitu lama ditinggalkan.

Sebenarnya bukan kita ditinggalkan. Kita sendiri yang meninggalkan bahasa kita. Lihat saja perangai berbahasa kita di universiti, kolej dan pergaulan seharian kita. Dalam satu ayat, barang sudah tentu akan dibingkai oleh perkataan asing… biasanya dari perbendaharaan kata Inggeris.

‘Penyakit’ ditelan bahasa Inggeris ini semuanya tahu dan faham tapi tidak pula tahu akan ubat mujarabnya yang harus dimakan. Penyakit ini harus boleh diubati jika petua Pendeta Zaaba dipatuhi: Dalam kelaziman bahasa Melayu, perkataan Inggeris boleh dipakai tetapi mesti dipastikan terlebih dahulu sama ada perkataan itu ada dalam bahasa kita. Jika ada, bahasa asing itu tak payah digunakan. Jika dalam perbendaharaan kita tidak ada, barulah dipinjam perkataan orang lain, itupun seharusnya melalui proses di Melayukan bunyinya.

Kedua, pada masa ini kita sudah kehilangan latihan sebutan betul atau diksi (diction). Cikgu kita tak mengajar pembudayaan bahasa Melayu lagi. Penulisan sastera kita entah ke mana. Guru sendiri tak bercakap BM versi yang elok dan diterima pakai. Beginilah banyak perkataan Melayu/Indonesia ditendang keluar daripada perbendaharaan kata kita: perkataan “jadi” ditendang oleh “So”, “makan tengah hari” oleh “lunch”, “kenapa” oleh “why”, “kemudian” oleh “then”. Contoh-contoh lain sebenarnya bersepah dan beratus hingga tak terkemas dan tak terkira.

Kursus pembudayaan bahasa Melayu mesti diperjuangkan kembali. Kelas-kelas asuhan bahasa seperti sebelum dan selepas kemerdekaan negara-negara kita amat wajar dipertimbangkan. Penggunaan peribahasa, perumpamaan, pepatah-petitih, bahasa indah, persajakan, pantun, seloka, gurindam dan lain-lain harus diambil berat oleh sistem pendidikan masing-masing. Kerjasma peristilahan serantau semestinya kita perjuangkan kembali. Dengan kemudahan Internet kini, kerjasama ini lebih mudah diadakan dan dipertingkatkan. Kerap kedengaran hujah bahawa bahasa Melayu-bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris sama-sama dimajukan. Elok didengar tetapi realitinya tidak begitu.

Dalam hal ini kita harus tahniahkan Brunei kerana masih bertulisan jawi. Nama jalan, nama bangunan nama taman dan lain-lain masih membudayakan bahasa Melayu dan skrip jawi. Berbahasa Inggeris pandai, berbahasa Melayu pandai lagi. Nama-nama orang di Brunei masih terasa kemelayuannya, keislamannya. Banyak tempat dan resam sekarang di kawasan Nusantara nama Melayu pun sudah keciciran. Ini berpunca daripada kelemahan proses pembudayaan bahasa kita yang kian melemah. Kita tak yakin lagi dengan nama dan institusi asas kita lalu jadi pak turut dan hilang identiti.

Memang, impian kita ialah supaya bahasa Melayu/Indonesia menjadi bahasa serantau ASEAN atau di peringkat antarabangsa sehingga menjadi salah satu bahasa dunia di PBB. Impian ini mesti jangan dimundurkan. Cuma sementara impian itu dikejar, kita langsungkan di peringkat sesama kita, kerajaan masing-masing mesti meyakini keutuhan bahasa Melayu sebagai bahasa yang serba mampu.

Berbahasa Melayulah dalam mesyuarat. Berbanggalah dengan ungkapan-ungkapan BM. Dalam hal ini, ikut Jerman dan Rusia. Warganya boleh berbahasa Inggeris. Tapi bahasa teknologi dan sains serta bahasa perdagangan mereka adalah bahasa Jerman dan Rusia. Begitu juga Perancis, Cina, Jepun dan Korea. Mereka ada sistem pelajaran yang mengutamakan pembudayaan bahasa sendiri.

Kita harum dari sudut sebutan dan konsep serta dasar tetapi agak meleset di peringkat amalan.

Kemelayuan melalui bahasa di peringkat Nusantara terkenal selama lebih 1300 tahun (600–2015). Persidangan bahasa Melayu di Brunei kali ini mesti berani kembali kepada semangat pangkal milenium itu.


PENULIS ialah Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/( 5 April 2015)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan