KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr
Jamaluddin Jarjis, yang terkorban dalam nahas helikopter di Kampung Sungai
Pening, Semenyih dekat sini petang semalam, adalah seorang insan yang memiliki
pelbagai bakat istimewa.
Anggota Parlimen Rompin itu, yang
akan mencapai usia 64 tahun pada 25 Mei ini, memulakan dunia kerjayanya dengan
menjadi tenaga pengajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1974
selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kelas Pertama dalam jurusan
Kejuruteraan Elektrik dari University of Manchester, United Kingdom.
Dua tahun kemudian, beliau
memperoleh Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari
University of Manitoba, Kanada dan pada 1980, beliau menamatkan pengajian
doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kuasa) dari
University of McGill, Kanada.
Selepas enam tahun menabur bakti
dalam bidang akademik, pada 1981 beliau berundur untuk menubuhkan sebuah firma
perunding yang membuat pengkhususan dalam bidang kejuruteraan elektrik dan
mekanikal dikenali sebagai J&A Associates.
Pada 1986, beliau membeli EPE
Power Corporation Berhad dan menyandang jawatan naib pengerusi eksekutifnya
sebelum berundur pada 3 Ogos 2000, sehari sebelum dilantik sebagai timbalan
pengerusi Tenaga Nasional Berhad, dan selepas itu dilantik sebagai pengerusi
TNB pada September 2000.
Dalam arena politik, Jamaluddin
memulakan langkahnya dengan menjadi anggota Umno Kampung Mengkasar di Pekan
pada 1980 dan menyandang jawatan Ketua Pemuda.
Lima tahun kemudian, beliau
dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno Pekan dan pada 1988 sebagai Naib Ketua Pemuda
UMNO Pahang dan anggota Exco Pemuda Umno.
Beliau juga dipilih sebagai
anggota Majlis Tertinggi Umno bagi penggal 2008-2011.
Kali pertama Jamaluddin, yang
juga Pengerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), bertanding sebagai calon
ialah pada Pilihan Raya Umum 1990 iaitu bagi kerusi parlimen Rompin.
Dalam pertandingan itu, beliau
mengalahkan calon PAS, Salim@Ahmad Awg Kalib dengan 13,128 undi majoriti,
manakala pada pilihan raya umum lepas (Mei 2013), beliau dipilih sebagai
Anggota Parlimen Rompin bagi penggal keenam setelah mengalahkan calon PAS,
Nuridah Mohd Salleh, dengan majoriti 15,114 undi.
Jamaluddin berundur daripada TNB
pada November 2002 setelah dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua dalam
pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua tahun kemudian, beliau dilantik
sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam rombakan
Kabinet pertama Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Januari 2004.
Tidak sampai dua bulan kemudian,
beliau dilantik sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta diberi
tanggungjawab untuk menjayakan Program Angkasawan Negara bagi menghantar
seorang rakyat Malaysia ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa dengan kapal
angkasa Soyuz TMA-11.
Program yang diumumkan secara
rasmi oleh Dr Mahathir pada 2003 itu merupakan program bersama antara Malaysia
dan Persekutuan Rusia di bawah program perjanjian timbal balas kerajaan dengan
kerajaan melalui pembelian jet pejuang Sukhoi SU-30MKM untuk Tentera Udara
Diraja Malaysia.
Misi angkasa lepas pertama
Malaysia itu terlaksana dengan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor menjadi rakyat
Malaysia pertama meneroka angkasa lepas pada 10 Oktober 2007.
Pada 2009, Jamaluddin dilantik
sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat bertaraf menteri.
Ketika menyandang jawatan itu,
beliau memanfaatkan teknologi terkini untuk mendekatkan diri dengan penduduk di
kawasan Parlimen yang diwakilinya, walaupun berada jauh di perantauan.
Pada satu majlis di Rompin,
Jamaluddin merasmikan program bersama rakyat melalui sidang video dari Amerika
Syarikat
Semasa betugas selama empat tahun
di Washington, beliau berjaya meletakkan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat di
peringkat paling tinggi dalam sejarah negara ini.
Sebagai duta khas Malaysia di
Amerika Syarikat pula, Jamaluddin berusaha gigih untuk meningkatkan hubungan
antara kedua-dua negara dan merintis jalan bagi lawatan Obama ke Malaysia tahun
lepas.
Lawatan Obama itu merupakan
kunjungan pertama presiden Amerika Syarikat dalam tempoh 48 tahun ke negara ini
selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.
Dilahirkan di Pekan, Pahang pada
25 Mei 1951, Jamaluddin meninggalkan seorang isteri, Puan Sri Dr Kalsom Ismail,
serta tiga anak iaitu dua perempuan dan seorang lelaki.
Sumber : http : //www.mstar,com,my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan