Oleh : SAYED HESHAM IDRIS
IPOH 31 Mac - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
bertitah setiap warganegara Malaysia wajib berupaya berkomunikasi dalam bahasa
kebangsaan yang menjadi plaftrom untuk mengukuhkan perpaduan antara kaum di
negara ini.
Baginda bertitah, adalah tidak bermakna menjadi warga kepada
sesebuah negara jika seseorang itu langsung tidak memahami malah jauh sekali
daripada boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan negaranya.
Titah baginda, dasar terbuka terhadap aliran bahasa
penghantar di sekolah di negara ini tidak bermakna kerajaan boleh terlepas
pandang dalam aspek memastikan setiap rakyat Malaysia dididik daripada alam
sekolah supaya boleh menguasai bahasa kebangsaan.
“Warga sewajibnya berupaya berkomunikasi antara satu sama
lain untuk meningkatkan perhubungan. Bahasa berperanan penting sebagai saluran
komunikasi.
“Untuk itu, setiap sekolah terutama sekolah-sekolah bukan
aliran kebangsaan mempunyai tanggungjawab besar dan tanggungjawab bersama untuk
menyemaikan semangat patriotisme dan pengetahuan ketatanegaraan kepada setiap
murid.
“Tiada makna jika sekolah berjaya melahirkan ramai pelajar
yang mencapai keputusan cemerlang akademik sedangkan produk yang dihasilkan
oleh sekolah sama sekali tidak memiliki pengetahuan asas-asas kenegaraan dan
tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan negaranya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat
Perasmian Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di sini
hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, negara perlu ada platfom yang sama
yang dapat menyatukan rakyat sesebuah negara hidup secara harmoni lagi bersatu,
iaitu menerusi bahasa.
Lantaran itu, titah baginda, keupayaan berkomunikasi amat
penting untuk menjalin perpaduan menerusi bahasa yang berperanan penting
sebagai saluran komunikasi.
Baginda bertitah, di dalam negara yang warganya begitu
pelbagai seperti Malaysia, perpaduan antara warganya adalah satu kemestian dan
wajib dipupuk secara berkesan.
“Untuk itu, sekolah adalah tapak semai pencanaian minda
serta taman menyuburkan pembentukan budaya. Sekolah adalah medan yang dapat
memupuk persefahaman di antara anak-anak yang berlatar belakangkan pelbagai
agama, pelbagai kaum, budaya dan bahasa.
“Sekolah adalah tempat yang boleh mendidik semangat memahami
kelainan budaya dan menghormati perbezaan agama. Sekolah turut diharapkan
memenuhi peranan menyemaikan semangat patriotisme, memupuk kesetiaan warga
kepada raja dan negara,” titah baginda.
Dalam titah perasmian tersebut, baginda turut menyentuh
mengenai rakyat golongan miskin dan berpendapatan rendah yang perlu dibela,
sejajar dengan gagasan 1Malaysia yang berpaksikan kepada konsep ‘Rakyat
Didahulukan’.
Titah baginda, lantaran itu segala dasar, perancangan dan
pelaksanaan oleh kerajaan wajib mengambil ingatan golongan itu yang paling
perlu diberikan pembelaan dari segi perkhidmatan sosial, kebajikan, kesihatan
dan perumahan.
Menangani kemiskinan, titah baginda, adalah wajib
dilaksanakan oleh kerajaan, juga mengagihkan pendapatan secara adil lagi
saksama.
“Khidmat sosial dan kebajikan kepada golongan rakyat jelata
terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah akan terus diberikan
perhatian.
“Tidak ada rakyat yang harus merasa terpinggir atau
dipinggirkan dalam sebuah negara yang dilimpahkan Ilahi dengan pelbagai sumber
kekayaan,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut menyentuh mengenai pelaksanaan Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai esok dengan menegaskan sistem cukai baharu
itu dijangka memberi kesan sementara kepada pengguna.
“Namun Bank Negara berkeyakinan penggunaan pengguna akan
meningkat susulan peningkatan pendapatan boleh guna.
“Ini kerana pengguna akan mendapat manfaat daripada
pelarasan menurun harga bahan api yang dijangka berupaya meningkatkan RM7.5
bilion pendapatan boleh guna,” titah baginda.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan