Oleh : Mior Kamarul Shahid
miorkamarul@gmail.com
Pada satu sudut di sebuah
hospital kerajaan di Kuala Lumpur, kelihatan sekumpulan kira-kira 20 orang
sedang mendengar taklimat mengenai penyakit kencing manis atau diabetes. Mereka
mewakili hampir semua kaum terbesar negara ini - Melayu, Cina, India, Sikh.
Sebahagian besar mereka dalam lingkungan usia 60-an dan 70-an berkumpul di situ
ketika menunggu giliran pemeriksaan kesihatan.
Sambil menunggu, mereka mendengar
penerangan sangat berguna itu supaya mereka mempunyai maklumat mengenai bahaya
kencing manis. Di depan mereka terpampang layar yang memaparkan slaid
penerangan, graf carta dan maklumat mengenai penyakit yang kian merebak dan
dihidapi ramai pesakit di negara ini. Walaupun kencing manis bukan penyakit
berjangkit tetapi ia ditakuti terutama apabila melihat mereka yang menderita
diabetes yang kronik.
Taklimat mengenai penyakit itu
disampaikan seorang doktor berbangsa Cina. Beliau menceritakan mengenai punca
penyakit itu akibat gaya hidup, pemakanan, cara pencegahan dan sebagainya.
Semuanya dijelaskan dalam bahasa Melayu walau pun sekali sekala beliau berhenti
seketika untuk berfikir memilih perkataan yang sesuai. Selepas memberi maklumat
peringkat demi peringkat mengenai sesuatu topik, doktor itu meminta mereka
bertanya jika ada yang tidak faham atau ingin tahu. Warga tua ini tidak
melepaskan peluang bertanya pelbagai perkara. Apa yang menariknya, semua soalan
juga ditanya dalam bahasa Melayu walaupun ada antara mereka yang tidak begitu
fasih bertutur dalam bahasa rasmi negara itu.
Usaha perkasa bahasa
Sebenarnya, penggunaan bahasa
Melayu di negara ini sudah begitu meluas. Ia bukan sahaja digunakan di sekolah
tetapi di merata tempat sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. Sudah tentu
doktor berbangsa Cina itu tidak boleh menyampaikan taklimatnya dalam bahasa
Cina kerana yang mendengar penerangannya adalah daripada pelbagai kaum.
Jika sebahagian besar mereka kaum
Cina sekali pun tetapi ada seorang kaum Melayu atau India, doktor itu akan
bercakap dalam bahasa Melayu. Doktor itu juga tidak menggunakan bahasa Inggeris
kerana bahasa itu tidak difahami oleh semua mereka di situ. Di Sabah dan
Sarawak juga tidak ada pengecualian jika taklimat sama diadakan di hospital.
Disebabkan di dua negeri itu ramai masyarakat pelbagai etnik dengan bahasa
berbeza, bahasa yang difahami semua adalah bahasa Melayu.
Jika perlu sahaja, doktor akan
meminta bantuan penterjemah jika ada antara mereka yang tidak faham. Inilah
keunikan di negara ini yang mana setiap kaum bertutur dalam bahasa ibunda
ketika di rumah atau kampung masing-masing, tetapi apabila berada dalam majlis
dihadiri pelbagai kaum, mereka menggunakan bahasa Melayu. Begitu juga, mereka
membaca dalam medium bahasa ibunda masing-masing tetapi jika ia membabitkan
urusan rasmi kerajaan, mereka perlu menggunakan bahasa Melayu. Di pejabat
kerajaan, bahasa Melayu digunakan sepenuhnya.
Agak sukar bagi seseorang untuk
berurusan di pejabat atau kaunter kerajaan jika tidak faham bahasa Melayu.
Memandangkan penggunaan bahasa Melayu yang meluas dan sudah diterima umum
sehingga diterima sebagai bahasa perbicaraan di mahkamah dan berhujah di
Parlimen, ia sepatutnya diperkasakan.
Sebagai sebuah negara moden, sudah
tentu Malaysia tidak rigid kepada penggunaan bahasa. Jika ada keperluan,
seseorang bebas berkomunikasi dalam bahasa apa sekali pun jika dua atau lebih
pihak menerima dan memahami bahasa yang dipertuturkan. Ini adalah model
Malaysia sejak sekian lama untuk kemudahan dan memenuhi matlamat sesuatu
penganjuran.
Di beberapa negara lain, mereka
tetap menggunakan bahasa rasmi negara masing-masing untuk sesuatu penganjuran,
khasnya majlis antarabangsa kerana bagi mereka ia melambangkan jati diri bangsa
dan negara mereka. Malaysia masih belum bersedia ke arah itu kerana selain
amalan, ia juga untuk tujuan kemudahan berkomunikasi khasnya bagi mereka yang
tidak faham berbahasa Melayu. Ini bukanlah masalah kerana ia sesuatu yang
praktikal.
Bahasa rojak
Masalah yang menghantui
penggunaan bahasa Melayu ialah bahasa rojak. Sudah menjadi trend hari ini
bahasa yang digunakan sesetengah rangkaian televisyen dan radio tidak
melambangkan bahasa Melayu tulen.
Ada yang menggunakan campuran
bahasa Melayu dan Inggeris secara meluas seolah-olah ia diterima di Malaysia.
Tidak menjadi kesalahan menggunakan sepenuh bahasa Inggeris jika ia adalah
stesen atau rangkaian penyiaran berbahasa Inggeris. Apa yang menyedihkan stesen
atau rangkaian radio berbahasa Melayu menggunakan bahasa rojak - campuran
antara bahasa Melayu dan Inggeris.
Bagi kumpulan penyiar ini, ia
mungkin bahasa yang digemari atau digunakan oleh generasi muda hari ini. Ia
dianggap bahasa yang hidup sedangkan bagi mereka bahasa Melayu standard adalah
bahasa kaku. Oleh itu, mereka menganggap bahasa yang mereka gunakan adalah
bahasa moden. Dengan mencampur adukkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,
mereka kononnya dianggap mengikut trend.
Di kebanyakan negara membangun,
keadaan menjadi terbalik kerana apa yang dianggap baik oleh kumpulan
konservatif tidak dianggap baik oleh golongan modenis. Di Malaysia, bahasa
Melayu adalah bahasa perpaduan. Setakat ini, ia terbukti boleh memenuhi
matlamat itu.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/ ( 10 April 2015)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan