Dr. Awang Sariyan |
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
akan memperkenalkan Ujian Kelayakan Bahasa Melayu (UKBM) untuk pelajar asing
yang mengikuti pengajian di universiti awam dan swasta di negara ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Awang
Sariyan berkata DBP sedang membuat kertas
cadangan berhubung perkara itu melalui Kementerian Pendidikan untuk
dibentangkan kepada jemaah menteri bagi kelulusan dasar.
"Ini bermakna semua pelajar
asing harus mengambil UKBM. Walaupun pada peringkat awal mungkin tidak dalam
konteks wajib lulus, tetapi sekurang-kurangnya mereka wajib mengambil ujian
tersebut.
"Ujian ini penting untuk
melihat pelajar asing berada di tahap mana dalam penguasaan Bahasa Melayu. Kami sudah mula
menyedia modul dan silibus mengikut peringkat (awal, pertengahan dan maju). Ini
akan dapat membantu universiti awam dan swasta melaksanakannya dengan lebih
teratur," katanya.
Beliau berkata demikian pada
sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian (MoA) antara DBP dan
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan DBP
hari ini bagi penerbitan buku. DBP diwakili Awang manakala USIM oleh
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Musa Ahmad.
Katanya langkah memperkenalkan
UKBM ini satu perkembangan baik untuk membantu melonjakkan Bahasa Melayu
sebagai bahasa antarabangsa dan menurutnya,
DBP memulakan projek perintis di Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk
menguji UKBM.
"Kami berhasrat untuk
memulakan UKBM ini secepat mungkin, tetapi harus menunggu keputusan kerajaan.
Sebagai persediaan awal, kami menandatangani perjanjian dengan Majlis
Peperiksaan Malaysia (MPM) untuk mengendalikan ujian tersebut, manakala DBP
dari segi kandungan.
"Kami harap dapat memulakan
UKBM ini pada pengambilan pelajar September depan di beberapa universiti awam
yang ramai pelajar antarabangsa seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
(UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan
Universiti Putra Malaysia (UPM)," katanya.
Untuk jangka panjang, Awang
berkata DBP harap ia akan menjadi satu dasar negara seperti yang dibuat oleh
negara lain.
Katanya DBP juga sedang membuat
kertas kerja melalui Kementerian Sumber Manusia untuk mengendalikan kursus
Bahasa Melayu bagi pekerja asing di negara ini.
"Kalau tidak ada kursus
Bahasa Melayu, kami bimbang pekerja asing di negara ini tidak dapat
berkomunikasi dengan baik, malah tidak tahu budaya kita. Oleh itu, Kementerian
Sumber Manusia mesti mensyaratkan pekerja asing mengikuti kursus bahasa Melayu
kepada agensi pekerja asing," kata Awang.
Musa berkata melalui MoA itu,
buat permulaan 3 buah buku yang dihasilkan oleh ahli akademik USIM akan
diterbitkan oleh DBP.
Tiga buku tersebut berjudul
"Darah: Titisan Berharga Penyambung Nyawa', 'Prinsip dan Amalan Pengurusan
Zakat di Malaysia' dan 'Bersugi dan Kesihatan Pergigian Menurut Islam'.
Katanya ini kali pertama
kerjasama penerbitan buku dimeterai antara USIM dan DBP. – Bernama, 15 April,
2015.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan