Ahad, 24 Mac 2013

ISU BAHASA : Banggalah Dengan Bahasa Melayu Kita


Oleh : FESAL IDRIS

LEBIH  kurang 500 tahun lalu, sebelum datangnya kuasa penjajah Barat ke rantau Nusantara atau Kepulauan Melayu (Malay Archipelago), bahasa Melayu ialah 'lingua franca' atau bahasa perhubungan yang menghubungkan rumpun bangsa Melayu serantau bagi segenap hal ehwal kehidupan termasuk siasah, perdagangan, budaya, kemasyarakatan dan keagamaan.

Bahasa Melayu menjadi begitu penting sehinggakan Stamford Raffles menggajikan Munsyi Abdullah untuk menjadi penyambung lidah di antara pihak Inggeris dengan masyarakat Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura.

Sebelum Inggeris, Alphonso D'Albuqurque dari Portugal, pada 1511, telah menjatuhkan kerajaan Melayu Melaka yang menjadi pusat perdagangan dan budaya rumpun Melayu di rantau ini.

Penjajah Barat, terutama sekali pihak Inggeris, telah berjaya menggantikan bahasa Inggeris menjadi bahasa yang ada nilai ekonomi yang dahulu dikuasai bahasa Melayu di pusat-pusat perdagangan serantau.

Penguasaan bahasa Inggeris itu telah menjadi suatu macam kemestian untuk hidup dan memajukan diri dalam dunia yang mementingkan ilmu dan persaingan hebat untuk sentiasa berada di depan.

Namun cuba kita alihkan pandangan ke benua Eropah Barat yang rata-rata bangga menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Mereka tidak akan berhubung dengan sesiapa yang tidak tahu menggunakan dan faham bahasa ibunda mereka.

Contohnya, orang Perancis tidak akan bercakap dengan orang asing yang bercakap dengan mereka dalam bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, mereka mempunyai ilmu dan keupayaan bersaing dengan Boeing dalam membina kapal terbang Airbus.

Mereka juga mampu membina kapal terbang jet pejuang Mirage untuk bersaing dengan F16 dari Amerika Syarikat.

Orang Jepun dan Korea menterjemahkan buku-buku keilmuan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa ibunda mereka, dengan syarikat Samsung pula membuktikan keupayaan mereka bersaing dengan Apple iPhone dalam bidang telefon bijak. Jepun pula terkenal dengan kereta murah dan menjimatkan minyak.

Pengasas Genting Highlands Resort, mendiang Lim Goh Tong, cuma tahu sedikit bahasa Melayu dan tidak faham sepatah bahasa Inggeris, tetapi berkat usaha gigih,  akhirnya menjadi seorang yang keenam terkaya di Malaysia semasa hayatnya.

Kesimpulannya, apa yang membuat mereka begitu yakin menggunakan bahasa ibunda masing-masing dan dapat bersaing?

Jawapannya ialah mereka ada harga diri dan pemikiran merdeka yang tidak boleh dijual beli dengan harta benda dunia. Mereka berusaha mendapatkan ilmu yang membolehkan mereka bersaing dan mengekalkan kemerdekaan pemikiran mereka.

Ringkasnya, mereka tidak mahu dijajah, baik  dalam kehidupan mahupun pemikiran mereka. Jelaslah, ini membuktikan yang budi dan bahasa tidak boleh dijual beli.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan