Sabtu, 30 Jun 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Internet media fitnah baru?



Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


INTERNET merupakan antara inovasi terbesar zaman moden yang bukan sahaja mengatasi batasan sempadan masa dan geografi, malahan membuka seluas-luasnya potensi pembangunan tamadun manusia.

Pelbagai teknologi baru kini termasuk komputer tablet dan telefon pintar mengembangkan lagi aplikasi saluran Internet, sekali gus membolehkan maklumat dan urusan dalam talian dibuat serta-merta mahupun berkomunikasi di mana sahaja.

Selain urusan perbankan dan urusan kerja, talian Internet membolehkan berita dan maklumat terkini disebarkan melalui portal berita, blog mahupun laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Walaupun dari sudut positifnya Internet membuka pelbagai potensi baru tetapi ia juga mempunyai sudut negatif yang boleh merosakkan segalanya.

Contoh paling mudah adalah kesannya terhadap ekonomi melalui penyebaran atau perkongsian produk berbayar seperti lagu, filem mahupun program komputer.

Ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti cetak rompak, malahan 'membunuh' sumber pendapatan pihak pengeluar produk terbabit.

Selain itu, Internet juga boleh digunakan untuk mencuri maklumat peribadi atau maklumat sulit individu, syarikat atau organisasi dan mendedahkan atau menjualnya kepada pesaing seperti mana maklumat kewangan peribadi dijual kepada bank-bank tanpa kebenaran.

Tidak kurang juga penggunaan saluran Internet untuk manipulasi maklumat pasaran bagi mengaut keuntungan mudah di bursa saham.

Antara kesannya dalam sistem sosial pula adalah penyebaran bahan lucah atau pornografi yang dikatakan mendominasi alam siber kini, terutama di kalangan muda-mudi yang boleh mengakses mana-mana laman web lucah menggunakan telefon pintar.

Namun, kesan paling dibimbangi adalah penyebaran khabar angin atau maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat mahupun huru-hara.

Ini terutama dalam pendedahan maklumat rahsia ataupun sensitif berkaitan individu, organisasi mahupun negara tertentu seperti mana beberapa pendedahan maklumat rahsia oleh laman web Wikileaks sebelum ini.

Pendedahan sebegini boleh memusnahkan pihak terbabit mahupun membawa kepada ketegangan antara dua pihak bertentangan jika melibatkan skandal, rahsia atau isu sensitif yang cuba disembunyikan daripada umum selama ini.

Penyebaran dokumen, gambar, video, audio dan bermacam lagi bahan media lain kebanyakannya dilihat melibatkan kenamaan, ahli politik dan artis yang menjadi tumpuan masyarakat.

Ada dakwaan dibuat dengan disertakan 'bukti' yang mungkin benar atau mungkin telah dimanipulasi dan ada pula yang semata-mata tuduhan tanpa fakta.

Bagaimanapun, kajian telah membuktikan satu penipuan yang diulang berkali-kali, lama-kelamaan akan diterima sebagai 'kebenaran' oleh masyarakat umum yang akhirnya tidak dapat dipatahkan walaupun dengan menyampaikan fakta sebenar.

Peningkatan mendadak blog dan media alternatif di Malaysia menjadi trend yang menjurus ke arah aktiviti pendedahan atau fitnah yang umpama tiada kawalan atau tindakan oleh pihak bertanggungjawab.

Jika dahulu memerlukan sehari dua untuk memberi kesan kepada umum, kini jaringan Internet membolehkan ahli masyarakat memberi tindak balas dalam masa beberapa minit sahaja.

Dari satu sudut, individu mahupun kenamaan yang terlibat dengan kepincangan, jenayah atau skandal tidak mungkin terlepas atau mampu mengelakkan rahsia mereka disebar melalui saluran Internet.

Namun, sesetengah pihak pula mungkin mengambil kesempatan ke atas saluran itu untuk menyebarkan fitnah bagi menjatuhkan lawannya sama ada melalui maklumat palsu mahupun tuduhan berterusan agar dipercayai orang ramai.

Seperti mana-mana teknologi, kesan positif atau negatif bergantung kepada tujuan dan cara penggunaannya kerana Internet itu sendiri tidak boleh membezakan yang mana benar atau salah.

Oleh itu, terpulang kepada kita sebagai manusia yang berakal dan berfikiran waras untuk menilai sejauh mana kebenaran atau fitnah itu boleh diterima.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan