MASA bergerak begitu pantas. Dalam diam kita sudah hampir sebulan memasuki
tahun baru Masihi 2013. Ia menandakan usia kita kian berganjak dan semakin tua.
Apabila tahun baru menjelma, pasti ramai bersemangat dengan
azam baru masing-masing. Apabila ‘wish’ selamat tahun baru, soalan wajib
selepas itu pastinya “Apa azam untuk tahun baru?”
Nak berazam perlu tunggu tahun baru saja ke? Setahun ada 365
hari manakala tahun itu juga adalah himpunan antara hari. Dari hari-hari itulah
menjadi setahun.
Jadi azam tahun baru sebenarnya mesti diukir setiap hari.
Jika azam sekadar sebutan dan hanya rutin serta pakej sambutan tahun baru saja,
sudah tentu tidak ke mana.
Paling tidak hangatnya sekadar hangat-hangat tahi ayam saja.
Berazam macam nak rak tapi apabila sampai tahun baru yang seterusnya, satu azam
pun tidak tercapai lagi.
Selepas itu, pandai-pandai saja buat azam baru. Setiap hari,
setiap waktu umur kita akan bertambah sama ada memasuki tahun baru atau tidak.
Hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat.
Setiap kita disuruh berazam ke arah yang lebih baik, sama ada menjelang atau
belum tahun yang baru.
Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim. Masa tidak selalu
menunggu kita.
Kebaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung.
Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik.
Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan.
Itulah fenomena hidup kita seharian. Hijrah sudah tak jadi gah sehebat
sejarahnya.
Baca sejarah tapi hilang ceritanya atau rohnya. Jadi sempit
dan apabila sudah jadi sempit, kefahaman pun mula mengecil dan apabila
kefahaman mengecil, penghayatan pun makin menguncup, hasilnya hijrah tinggal
sejarah.
Ramai yang gagal mencapai azam kerana mereka tidak mempunyai
kesungguhan dan beranggapan azam itu tidak penting.
Ada juga yang menetapkan azam yang terlampau banyak sehingga
tidak sempat untuk dicapai pada tahun itu.
Azam perlu dibuat secara berperingkat. Selesai satu azam,
buat azam baru pula. Sepatutnya tahun baru dijadikan sebagai kayu pengukur
kepada apa yang dilalui sepanjang setahun.
Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk
merancang perkara lebih baik untuk tahun seterusnya. Berusaha berubah kepada
yang lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa.
Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih
baik daripada semalam, bermakna mempersia-siakan peluang hidup pada hari
sebelumnya.
Begitu juga pada azam, tidak perlu menunggu saat tibanya
tahun baru. Lakukanlah segera kerana usia tidak akan menanti kita. Perkara yang
paling hampir dengan diri kita adalah
kematian.
Untuk berubah, demi azam baru, di sini mari sama-sama kita
berkongsi tip bagaimana hendak laksanakan azam yang kita pasang selama ini.
Mulalah dengan mengubah diri sendiri supaya anda menjadi
lebih yakin dengan diri anda sendiri. Orang lain juga akan lebih yakin dengan
diri anda.
Mana mungkin jika anda mahu mengajak orang lain berubah
sedangkan diri anda sendiri masih berada pada takuk lama. Nanti orang akan
cakap yang anda seorang yang cakap tidak serupa bikin. Cakap pandai tapi buat
sendiri tak pandai.
Mula melakukan perubahan secara perlahan-lahan. Tidak
dinafikan sememangnya sukar untuk terus berubah dalam masa singkat atau dalam
tempoh sekelip mata saja.
Jika ia dilakukan secara perlahan-lahan, dengan izin Allah
anda akan dapat berubah seperti apa yang anda inginkan. Walaupun perlahan, anda
akan dapat mengalami perubahan yang besar dalam diri.
Lakukan perubahan pada masa sekarang juga. Jangan bertangguh
untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini kerana semakin lama anda bertangguh
untuk berubah maka ia akan menjadi semakin melarat dan semakin susah untuk
melakukannya.
Perkara yang kecil akan jadi lebih besar jika ia terus
dibiarkan. Jadi, ambillah masa yang ada sekarang untuk berubah dan mendapat
hasil yang baik pada masa akan datang.
Berusaha untuk berubah dengan niat yang ikhlas dan
lakukannya dengan bersungguh-sungguh. Anda perlu memaksa diri anda untuk
berubah dengan sepenuh hati. Jika diri anda tidak dipaksa, anda seolah-olah
memanjakan diri anda untuk berubah.
Nafsu anda juga akan menjadi semakin degil jika tidak
dipaksa. Kawal nafsu anda dan jangan biarkan nafsu yang mengawal diri.
Apabila anda berjaya melakukan perubahan dalam diri maka
anda perlu mengulangi perubahan itu sehingga ia menjadi sebati dengan diri.
Jika perubahan dibiarkan begitu sahaja, anda hanya akan berjaya untuk
berubah seketika dan selepas itu akan kembali kepada takuk lama.
Oleh itu, jangan sia-siakan perubahan yang anda lakukan.
Anda perlu sentiasa melakukannya.
Kesimpulannya, kita perlu berubah untuk menjadi orang yang
lebih baik kerana ia sangat dituntut dalam Islam. Tapi jangan pula berubah
kerana disebabkan orang lain.
Kita perlu ikhlas untuk berubah demi kebaikan diri anda
sendiri. Selepas itu bolehlah mengajak orang lain untuk berubah sama. Jika
dilakukan dengan niat dan cara yang betul, insya-Allah orang lain akan dapat
berubah seperti yang diharapkan.
Kita juga mendapat ganjaran pahala jika berjaya mengajak
orang lain berubah. Cuma awas. Berubah jangan jadikan ia upacara bermusim. Berubah
dan beristiqamah sehingga menemui Allah.
Sesungguhnya Allah menciptakan hidup dan mati itu untuk
menguji siapakah yang paling baik amalannya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan