Oleh : Mohd Rizal Azman Rifin
Rasulullah atur strategi
perhubungan luar lahir cendekiawan Islam
Menguasai sesuatu bahasa dengan
kemahiran tinggi akan membolehkan seseorang memperoleh banyak ilmu pengetahuan.
Arus pemodenan dan kemajuan dunia yang begitu pesat memerlukan anjakan
paradigma ke arah usaha menguasai bahasa asing.
Dunia hari ini menyaksikan
kemajuan hebat yang dicapai pelbagai bangsa luar khususnya dalam lapangan sains
dan teknologi. Jepun, Korea Selatan, China dan banyak lagi negara lain sudah
dan sedang menampakkan kegemilangan dalam bidang itu.
Mereka begitu mengagungkan bahasa
ibunda dan seandainya kita mahu belajar daripada mereka, kita hendaklah mampu
menguasai bahasa mereka terlebih dulu. Dulu kita digalakkan belajar dan
menguasai bahasa Inggeris, kini mempelajari lain-lain bahasa juga satu keperluan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad menyarankan orang Melayu supaya belajar dan menguasai bahasa
asing bagi membolehkan kita mengakses ilmu pengetahuan daripada bahasa
berkenaan.
Memetik kata-kata beliau: “Orang
Arab suatu ketika dulu mempelajari bahasa Greek, malah orang Eropah turut
belajar bahasa Arab untuk mendapatkan ilmu.”
Sebenarnya saranan beliau ini
wajar diberikan perhatian kerana sesungguhnya aspek penguasaan bahasa apatah
lagi bahasa asing menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan perkembangan ilmu
pengetahuan.
Strategi perhubungan
Atas dasar itulah maka kita boleh
lihat bagaimana sikap Rasulullah SAW mengenai mempelajari bahasa asing sebagai
wadah dalam mengatur strategi perhubungan dengan komuniti luar juga untuk
matlamat politik.
Pengaruh Yahudi di Madinah
sewaktu Rasulullah SAW dan kaum Muhajirin berhijrah ke sana sangat kuat
khususnya dalam bidang ekonomi. Golongan Yahudi yang mendiami Madinah datangnya
dari Palestin dan begitu fasih menguasai bahasa Arab tetapi sangat menjaga
keutuhan bahasa Ibrani.
Meskipun rata-rata kaum Yahudi
itu memusuhi Rasulullah SAW dan dengki dengan kejayaan kaum Muslim, tetapi
terdapat juga dalam kalangan mereka yang memeluk Islam. Antaranya ialah
Abdullah bin Salam.
Disebabkan beliau seorang ahli
agama dan pakar dalam Kitab Taurat, maka Rasulullah SAW menggunakan
kepakarannya berurusan dengan kaum Yahudi. Selain itu, Baginda juga meminta
Zaid bin Tsabit segera mempelajari bahasa Yahudi dan mempelajari isi kitab
mereka.
Dikatakan Zaid hanya mengambil
masa setengah bulan saja untuk menguasai bahasa Yahudi. Rasulullah SAW
melantiknya sebagai jurubahasa dan Zaid bertindak sebagai juru tulis dan
penterjemah apabila Rasulullah SAW ingin berurusan dengan kaum Yahudi.
Di sini cukup jelas kepada kita
bahawa Islam amat menggalakkan umatnya mempelajari bahasa asing demi
kepentingan ummah. Sejarah kegemilangan tamadun Islam pada abad ke-10 hingga
ke-12 dulu, kita akan ketahui kesungguhan umat Islam mempelajari bahasa asing
khususnya bahasa Yunani untuk mempelajari sesuatu ilmu pengetahuan.
Hasil pembelajaran yang begitu
komited, mereka berjaya pula menterjemahkan buku bahasa Yunani ke dalam bahasa
Arab. Perintah supaya membaca seperti dalam surah Al-Alaq benar-benar menyerap
masuk ke dalam jiwa ulama dan cendekiawan Muslim ketika itu.
Firman Allah SWT: “Apabila
dikatakan kepadamu: Berdirilah kamu maka berdirilah nescaya Allah akan
meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu
pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Mujadilah, ayat 11)
Bapa Ilmu Kimia
Jabir bin Hayyan atau dikenali
dengan nama Geber oleh Barat telah diangkat sebagai ‘Bapa Ilmu Kimia’ dan orang
pertama yang memperincikan ilmu kimia. Malah, beliau berjaya merintis kepada
pembinaan makmal untuk kajian secara sistematik.
Kejayaan beliau tidak lain kerana
kebolehannya menguasai bahasa Yunani yang membolehkannya menterjemah buku
sarjana Yunani.
Begitu juga Tokoh Ilmuwan Islam
tersohor, Al-Khawarizmi, yang mahir dan banyak memberikan sumbangan kepada dunia
dalam ilmu matematik, astronomi, muzik, kejuruteraan dan ilmu kimia. Kejayaan
beliau itu juga terhasil melalui penguasaannya dalam bahasa Yunani sehingga
berupaya menggali sumber ilmu dengan berkesan.
Cendekiawan Islam dulu
mempelajari sesuatu ilmu termasuklah dalam bahasa asing dengan niat kerana
Allah untuk manfaat ummah. Hal ini dapat kita susuri melalui satu petikan kata
Al-Khawarizmi: “Cendekiawan pada masa lalu dan akan datang akan terus menulis
buku-buku dalam pelbagai bidang kepakaran. Semua ini dilakukan sebagai satu
ibadah dan mengharapkan balasan daripada Allah dan manfaatnya diperoleh oleh
generasi akan datang.”
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan