Isnin, 26 November 2012

ISU BAHASA : Mengapa guna bahasa asing?



Oleh : SUHARNE ZAINUDIN

"MEMANG wujud kesukaran dalam mencipta sesuatu istilah," kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan.

Namun begitu katanya, hal itu bukanlah alasan untuk melabelkan bahasa Melayu sebagai satu bahasa tiada standard. Hal ini tidak berlaku pada bahasa Melayu sahaja, bahasa lain turut menghadapi keadaan serupa termasuklah bahasa Inggeris.

Dalam bahasa Inggeris, lebih 65 peratus daripada kosa kata, tidak termasuk istilah, bukan asli berasal daripada bahasa tersebut. Ada yang diambil daripada bahasa Arab dan Perancis.

"Contohnya perkataan bread (roti) diambil daripada bahasa Jerman, brott dan menurut kamus dwibahasa RJ Wilkinson, perkataan compound (kompaun) berasal daripada perkataan kampung," jelasnya.

Awang berkata,  dalam bidang sains istilah atau perkataan sebahagiannya diambil daripada perkataan bahasa asing kerana amat sukar untuk dicari atau dipadankan ke dalam bahasa Melayu. Oleh itu, perkataan atau istilah asing yang diperoleh diambil dan diubah suai.

"Mencipta sesuatu istilah bukan mudah. Ia memerlukan kajian mendalam dan memakan masa lama. Harus diingat, mencipta istilah atau menggubal sesuatu istilah bukan bidang kuasa DBP sebaliknya golongan cendekiawan atau sarjana yang terlibat secara langsung dalam bidang berkenaan.

"Peranan DBP sebagai penyelaras yang melantik dan mempertemukan ahli ilmu daripada pelbagai bidang sebagai jawatankuasa istilah bagi tujuan menggubal dan mencipta istilah menurut bidang masing-masing," katanya sambil memberitahu DBP antara lain berperanan memberi khidmat nasihat dari segi bahasa, tatabahasa dan ejaan.

Menjawab pertanyaan, mengapa banyak berlaku keadaan penggunaan bahasa asing yang diubah suai sedangkan bahasa Melayu mempunyai perkataan bagi maksud serupa, beliau berkata, hal ini terjadi kerana  mereka tidak merujuk DBP terlebih dahulu.

"Contohnya perkataan bajet, kita ada belanjawan; konsisten, kita ada tekal; kolaborasi, kita ada kerjasama; informasi, kita ada maklumat. Tetapi orang tidak peka.

"Mahu juga menggunakan bahasa asing yang diubah suai sendiri, seterusnya kekal dan diisytiharkan sebagai bahasa, sedangkan belum lagi diangkat sebagai bahasa baku," ujar Awang.

Di dalam kamus DBP, beliau menambah, mana-mana perkataan ditandakan dengan BP adalah penanda bagi merujuk perkataan tersebut sebagai bahasa percakapan umum.

"Saya mengajak supaya agensi kerajaan, pihak swasta mahupun NGO merujuk DBP terlebih dahulu sebelum mencipta sesuatu singkatan, istilah ataupun mencipta sesuatu perkataan. Ini penting dalam usaha menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu," katanya.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan