Oleh : NORSYAFINAS AHMAD SUKRI
GEORGETOWN - Sikap pemimpin masyarakat yang kurang
yakin untuk menggunakan bahasa Melayu di khalayak ramai selain menganggapnya
tidak mampu menjadi bahasa ilmu menjadi punca utama bahasa itu terus
terpinggir.
Karyawan Tamu Universiti Malaya,
Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, tamparan hebat berlaku pada
awal tahun 1990-an apabila pucuk pimpinan negara mengeluh mengenai kemerosotan
bahasa Inggeris dengan menyalahkan bahasa Melayu setelah dijadikan bahasa
pengantar utama.
Menurutnya, tindakan pucuk
pimpinan yang menyokong keputusan itu secara terang-terangan melanggar Dasar
Bahasa Kebangsaan dengan menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa
pengantar di dalam situasi rasmi.
“Saya tidak senang hati jikalau
pemimpin kita tidak yakin dengan bahasa Melayu kerana kebanyakan mereka ini
dididik di luar negara.
“Apabila disuruh bercakap dalam
bahasa Melayu, mereka kurang mahir dan beranggapan lebih selesa untuk bercakap
dalam bahasa Inggeris yang akan menyebabkan bahasa Melayu terus terpinggir,”
katanya selepas membentangkan kertas kerja pada Persidangan Kebangsaan Bahasa
Melayu Setelah 55 Tahun Merdeka.
Tokoh bahasa itu berkata,
berdasarkan penggubalan akta yang membenarkan penggunaan bahasa Inggeris
sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi (IPT), sekali gus
menggalakkan penubuhan ratusan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di
negara ini.
Beliau berkata, jika diteliti
semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik
dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menunjukkan Kerajaan Malaysia tidak yakin dengan
keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
“Jika hendak menulis untuk dibaca
di peringkat antarabangsa tidak salah menulis dalam bahasa Inggeris tetapi
untuk menghasilkan bahan rujukan kepada rakyat jelata mesti menggunakan bahasa
yang mudah difahami.
“Tidak semua orang pandai
berbahasa Inggeris yang tinggi. Kalau pergi ke pasar untuk beli ikan sekalipun
bukannya bahasa Inggeris yang digunakan malah bahasa ibunda mengikut laras yang
berbeza,” katanya.
Sehubungan dengan itu, masyarakat harus menentukan
pemimpin yang sesuai memegang jawatan termasuk ketua jabatan yang mampu
menjadikan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan dikembangkan.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan