Oleh : Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
Hari ini, wanita sudah
membuktikan kemampuan apabila berdiri sama tinggi bersama lelaki selain
mendominasi pelbagai sektor pekerjaan.
Malangnya, di tengah
pengiktirafan itu masih terselit pertikaian dan pandangan skeptikal seperti
tidak yakin dengan kebolehan wanita dalam melaksanakan mandat diberi.
Adakah gender menjadi penentu
terhadap kemampuan wanita dalam melaksanakan tanggungjawabnya atau itu hanyalah
spekulasi kosong semata-mata?
Rektor Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata,
melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan diberi lebih penting daripada membuat
perbandingan bagi menguji kemampuan individu.
Menurutnya, alaf baru menyaksikan
wanita mempunyai peluang sama rata untuk menerajui organisasi atau memegang
jawatan tinggi dalam pelbagai bidang tidak terkecuali dunia pendidikan tinggi.
“Isu gender hari ini sudah tidak
relevan lagi untuk mengukur kemampuan individu dalam melaksanakan
tanggungjawabnya.
“Jika dulu, gender mungkin
menjadi syarat dalam sesuatu pemilihan, kini banyak lagi aspek ditekankan.
“Malah masyarakat kini melihat
kebangkitan dan kemampuan golongan ini dalam melaksanakan tugasannya. Mereka
memang berkelayakan,” katanya.
Beliau yang dilantik menerajui
UIAM pada Ogos 2011 adalah Naib Canselor wanita ketiga memegang jawatan
berkenaan selepas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Tan
Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan bekas Naib Canselor Universiti
Malaya, Datuk Rafiah Salim.
Ditanya pandangan mengenai
dominasi wanita sebagai ketua di institusi pengajian tinggi pula, beliau
berkata, pencapaian itu amat membanggakan kerana memperoleh kepercayaan
mengemudi sebuah institusi pendidikan.
“Umum mengetahui pendidikan
adalah aspek penting dalam pembangunan jangka panjang negara bagi melahirkan
generasi berpendidikan masa depan.
“Justeru, apabila wanita diberi
mandat untuk melaksanakan proses itu, ia menunjukkan bahawa kemampuan wanita
memang diiktiraf dan mendapat kepercayaan pihak yang memilih.
“Malah boleh dikatakan seperti
penanda aras atau contoh bagi generasi berikutnya berusaha gigih dan menjadikan
peluang membina masa depan yang baik,” katanya mengakui tiada batas sempadan
bagi sesiapa yang mahu merebut kehidupan dengan nilai kejayaan.
“Hari ini kita lihat dan perlu
mengakui mahasiswa wanita sudah banyak mendominasi tempat di institusi
pengajian tinggi dalam dan luar negara.
Bukankah pencapaian seperti ini
amat hebat?
“Ia bagaikan isyarat dalam proses
menuntut ilmu, nilai kemampuan berdasarkan gender bukan lagi ukuran.
“Inti pati kejayaan sebenar
sebaliknya diukur berdasarkan semangat, usaha, kerja keras dan kemahuan untuk
berjaya. Tidak mustahil langkah kejayaan seterusnya bakal menyusul,” katanya.
Malah, kejayaan ramai mahasiswa
wanita yang mampu memperoleh pencapaian cemerlang saban tahun juga menjadi
petunjuk bahawa sistem pendidikan negara berjaya merealisasikan sasarannya.
“Melaluinya, dapat disimpulkan
bahawa negara kita memang serius mahu memartabatkan nilai sistem pendidikan
dengan sentiasa membuka peluang kepada sesiapa saja. Tiada diskriminasi.
“Mereka dapat mengoptimumkan
pencapaian diri dengan akses pendidikan menyeluruh tanpa halangan.
“Menerusi pencapaian mahasiswa
wanita, kita yakin mereka juga dapat membantu negara melahirkan pewaris
generasi disegani untuk meneruskan kesinambungan ilmu,” katanya.
Menerajui UIAM sebagai institusi
yang bertaraf antarabangsa pula, katanya, bukan saja memerlukan penumpuan penuh
malah sokongan pelbagai pihak bagi melaksanakan misi dirancang.
“Taraf universiti melambangkan
nilai kejayaan sesebuah institusi. Bukan mudah mahu mengekal atau melonjakkan
lagi pencapaiannya.
“Justeru, saya dan warga kampus
lain menggalas tanggungjawab besar bagi memastikan UIAM terus unggul dan
menjadi inspirasi penyebaran ilmu.
“Walaupun memegang tampuk
pengurusan tertinggi, usaha memberikan kualiti pendidikan terbaik terletak atas
sokongan bersama dan itulah yang kami lakukan,” katanya.
Mengulas matlamat UIAM untuk
melahirkan graduan berdaya saing pula terutama di kalangan wanita, beliau
berkata, setiap program ditawarkan adalah bertepatan dengan senario permintaan
dunia pekerjaan semasa.
Menurutnya, walaupun masih ada
pandangan mengatakan graduan wanita sukar memperoleh pekerjaan, beliau percaya
setiap individu mempunyai potensi tersembunyi.
“Pandangan yang mengatakan
graduan wanita tidak sehebat lelaki wajar diperbetulkan kerana semua yang
dilahirkan masing-masing berpotensi.
“Menyalahkan institusi kerana
menawarkan program tidak menepati permintaan juga perlu dilupuskan kerana
institusi adalah gedung ilmu. Setiap yang ditawarkan ada manfaatnya.
“Malah UIAM sentiasa peka
terhadap permintaan majikan. Kami berusaha sedaya upaya melahirkan graduan
berkapasiti tinggi dengan program yang mempunyai nilai pasaran,” katanya
optimis wanita hari ini adalah mereka yang mahu mengejar ilmu, mempunyai
kemampuan tersendiri serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan