GENCATAN senjata akhirnya berjaya dilaksanakan selepas lapan
hari konflik meletus di Semenanjung Gaza, sekali gus membawa khabar gembira
kepada dunia terutamanya umat Islam.
Persetujuan gencatan senjata rejim Tel Aviv-Palestin, yang
menetapkan kedua-dua pihak berhenti menyerang lawan masing-masing, itu
bagaimanapun tidak bermakna rakyat Palestin sudah dapat menarik nafas lega
sepenuhnya.
Bantuan kemanusiaan masih amat diperlukan rakyat Palestin
untuk membina semula kehidupan berikutan kemusnahan, kehilangan nyawa dan harta
benda akibat serangan Israel di wilayah berkenaan.
Atas nama naluri kemanusiaan sejagat, serangan kejam rejim
Zionis ke atas penduduk Gaza bukan sahaja mengundang simpati tetapi juga
menggerakkan pelbagai bantuan kemanusiaan dilakukan segera bagi membantu
seluruh mangsa peperangan di Gaza.
Masyarakat antarabangsa tanpa mengira agama dan kaum turut
terus mendesak agar tindakan ketenteraan jet pejuang Israel dan roket Hamas
dihentikan.
Ini soal hak asasi manusia. Acap kali apabila konflik
Israel-Palestin, yang sudah lama berlarutan, para pemimpin dan rakyat Malaysia
akan bercakap dalam satu nada membicarakan tentang penindasan, perampasan hak,
penghinaan dan kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin, rata-ratanya
umat Islam.
Masyarakat di negara ini tanpa mengira bangsa dan agama
tampil menzahirkan sokongan terhadap usaha kerajaan Malaysia dan pertubuhan
bukan kerajaan menghulurkan bantuan meringankan penderitaan penduduk Palestin
akibat serangan demi serangan kejam tentera rejim Zionis.
Selasa lepas, anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan
pembangkang mengetepikan agenda politik masing-masing untuk sepakat menyokong
usul mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Israel ke atas wilayah
Palestin di Gaza.
Daripada segi logik akal yang waras serta perikemanusiaan,
penderitaan rakyat Palestin bukan sekadar isu yang melibatkan umat Islam tetapi
lebih daripada itu, ia melibatkan nilai kemanusiaan yang dirasai bersama oleh
masyarakat pelbagai bangsa, budaya dan agama.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr P. Sivamurugan berkata isu Palestin
merentasi batasan agama dan peperangan yang sudah makan tahun berlarutan tidak
sepatutnya terus berlaku.
"Kita terdiri daripada masyarakat rencam dan kita faham
pertembungan cerita antara kaum dan etnik di negara ini. Kita juga bersatu padu
menolak sekeras-kerasnya apa yang dilakukan Israel di Gaza yang cuba menakluki
wilayah penduduk di sana, bersikap kejam merampas harta dan membunuh rakyat
Palestin.
"Masyarakat (Malaysia) turut menggambarkan pendirian
sama bahawa meskipun tamadun dunia baru wujud, peperangan tidak harus
dihalalkan dan di sinilah semangat 1Malaysia itu secara tidak langsung
terserlah tanpa mengira keturunan, kepercayaan dan agama," katanya.
Selain bantuan makanan, pakaian dan wang dihulurkan kepada
penduduk Palestin, Sivamurugan berkata Malaysia juga bertindak sebagai negara
Islam yang progresif dan lantang bersuara menegakkan isu keamanan dan konsep
ummah.
Beliau berkata meskipun memiliki fahaman politik berbeza,
masyarakat Malaysia masih boleh menyumbang, membantu dan memberi makna sebuah
kehidupan kepada penduduk Gaza.
"Kita perlu melihat kepelbagaian (perbezaan bangsa,
agama dan politik) yang kita miliki sebagai suatu kelebihan untuk membantu dan
menyumbang terhadap kebaikan... kepelbagaian juga adalah suatu aset dan bukan
liabiliti yang wajar kita digunakan untuk tujuan kebaikan," katanya.
Pensyarah Jabatan Politik dan Kerajaan, Universiti Putra
Malaysia Prof Dr Jayum Jawan berkata sokongan padu rakyat Malaysia membantu
masyarakat Palestin harus dipuji kerana Malaysia sememangnya menentang
keganasan yang dilakukan rejim Zionis untuk mencapai matlamat mereka.
Katanya, dunia hari ini bukan lagi berada 'di zaman gelap'
kerana segalanya perlu dilaksanakan dalam keadaan aman damai melalui rundingan
dan perbincangan antara pihak berkepentingan.
"Kita dapat melihat usaha berterusan rakyat Malaysia
dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat Palestin... Dalam misi ini mereka
tidak didasari oleh ideologi atau perbezaan agama sebaliknya telah membuktikan
kematangan terhadap memperjuangkan keamanan dan kemanusiaan sejagat meskipun
pada hakikatnya mereka diwarnai pendapat berbeza," katanya.
Jawan berkata perlakuan ini adalah suatu kejayaan dalam
konteks perpaduan kerana mereka berjaya meletakkan suatu titik persamaan untuk
menyokong suatu isu besar yang memerlukan penglibatan seluruh masyarakat dunia.
Mengakui bahawa konsep 1Malaysia lebih terserlah di kalangan
rakyat Malaysia apabila memperjuangkan isu Palestin, beliau berkata perbezaan
pendapat dan ideologi politik di negara ini hakikatnya mampu mendidik rakyat
Malaysia untuk meraikan kepelbagaian pandangan masyarakat berbilang bangsa.
"Saya tidak melihat pandangan yang berbeza antara
masyarakat sebagai sesuatu yang meruntuhkan tetapi merupakan suatu pendekatan
yang mampu menyuburkan dialog sekali gus membawa kepada penambahbaikan
institusi negara," katanya.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Dr
Chandra Muzaffar pula berkata, walaupun secara umum isu Palestin mendapat
perhatian daripada rakyat Malaysia, masih wujud segelintir masyarakat bersikap
tidak ambil peduli.
"Kita mengakui wujud penglibatan masyarakat bukan Islam
untuk membela nasib penduduk Palestin namun ia tidak begitu menyerlah... saya
tidak berani menyatakan mereka bersungguh-sungguh dan komited terlibat dalam
isu ini kerana saya belum nampak penglibatan mereka secara menyeluruh,"
katanya kepada Bernama.
Katanya, peratusan majoriti 95 peratus penduduk Palestin
merupakan masyarakat Islam dan baki lima peratus lagi bukan beragama Islam
mungkin antara faktor masyarakat bukan Islam di negara ini kurang memberi
perhatian terhadap isu berkenaan.
"Kebanyakan masyarakat bukan Islam di negara ini
mengaitkan penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin sebagai penderitaan
penduduk Islam yang lebih sinonim dengan kaum Melayu dan merupakan
tanggungjawab bangsa Melayu untuk membantu".
Chandra, yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat
(Just), berkata jika dibandingkan dengan negara lain, masyarakat bukan Islam
terlibat secara langsung dan memainkan peranan menentang Israel terutamanya
apabila protes membantah kezaliman rejim Tel Aviv diadakan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan