Oleh : DR. JESSICA ONG HAI LIAW
“LANGIT sebagai atap rumahku dan
bumi sebagai lantainya, Hidupku menyusuri jalan, sisa orang yang aku makan”, itulah
petikan lirik lagu Gelandangan oleh Rhoma Irama.
Menghayati bait-bait lirik ini
menjadikan kita tertanya-tanya di manakah keluarga mereka? Mengapa memilih
jalan begini sanggup meneruskan hidup sebatang kara? Tidur di kaki lima, makan
sisa makanan, mengemis dengan wajah yang penuh dengan keperitan dan ketagihan
dadah dan sebagainya tetapi kita tidak tahu apa puncanya.
Golongan yang dikenali sebagai
gelandangan ini bergantung harap pada lantai simen di kaki jalan buat peneman
tidur di kala malam. Pemandangan yang tidak sihat ini akan mencerminkan imej
negara kita dan menjadi persepsi masyarakat luar terutama pelancong-pelancong.
Ini akan menjejaskan imej ibu kota dan ekonomi apabila melibatkan industri
pelancongan negara. Berdasarkan sistem maklumat golongan gelandangan yang mula
digunakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2007 hingga 2011,
terdapat seramai 7,833 orang gelandangan yang telah diselamatkan.
Golongan gelandangan ini adalah
individu yang hidup dalam keadaan tidak sesuai dengan norma kehidupan yang
layak dalam masyarakat setempat. Mereka juga tidak mempunyai tempat tinggal dan
pekerjaan yang tetap di wilayah tertentu dan hidup mengembara di tempat umum.
Persoalan di sini, Malaysia adalah negara yang pemurah dan sering membantu dan
menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.
Usaha murni seperti membantu
rakyat di luar negara seperti Palestin di Gaza, membantu rakyat Rohingya dan
sebagainya memang sangat baik. Namun, rakyat kita sendiri sepatutnya
didahulukan untuk dibantu dalam semua aspek khususnya golongan gelandangan ini.
Selepas gelandangan dibantu dan jalan diberi makan, mereka perlu belajar
berdikari bukan sentiasa duduk dan tunggu tanpa usaha.
JKM, Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius isu golongan
gelandangan. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga prihatin
dengan isu gelandangan. Syabas diucapkan kerana menganjurkan program Salam
Ramadan bagi membantu gelandangan di bulan puasa. Program Midnight Run yang
disertai 120 penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kelab Sahabat Motor
telah mengagihkan 200 bungkusan makanan untuk bersahur kepada golongan
gelandangan.
Dalam pada itu KPWKM telah
menubuhkan Pusat Sehenti Intervensi yang pertama bagi membantu golongan ini
yang mula beroperasi pada 9 April 2011. Sejak memulakan operasi hingga 29
Februari 2012, seramai 458 orang gelandangan mendapat perkhidmatan di Anjung Singgah.
Semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan bantuan dan perkhidmatan
kepada golongan gelandangan harus bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara
(YKN) melalui Program Bantuan Bersepadu.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah
YKN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan dua buah Anjung Singgah masih
tidak mencukupi dan mengharapkan NGO dapat membantu lebih daripada itu termasuk
pencarian kerja. Bukan setakat itu, mereka juga mengikuti latihan vokasional,
pertanian, kraf tangan, bimbingan agama, dan juga rekreasi.
Toh Puan Seri Wan Hibatul Hidayah
Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Projek Khas Anjung Singgah berusaha membantu
golongan ini berniaga dengan cuba mendapatkan lesen daripada Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL). Usaha murni kerajaan ini turut melatih penghuninya untuk
berdikari. Sehingga 20 Disember 2012 sejak ditubuhkan April lalu, 150 orang
gelandangan sudah mendapat pekerjaan.
Saya merasakan golongan pendidik
dan profesional serta NGO perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam menyelesaikan
secara proaktif isu orang gelandangan atau mereka yang tidak berumah.
Bagaimanapun, kita patut bersyukur kerana keadaan golongan tersebut di negara
ini tidak seteruk negara lain. Ia berikutan langkah progresif kerajaan yang
berjaya mengurangkan jumlah golongan itu menerusi program-program yang mampu
meringankan beban mereka.
Sebenarnya banyak program dan
pelbagai pihak telah membantu golongan gelandangan ini. Usaha Bank Islam
Malaysia Berhad (Bank Islam) umpamanya perlu dipuji dengan mengadakan kerjasama
dengan NGO, Reach Out Malaysia untuk memberi bantuan makanan kepada golongan
gelandangan di sekitar ibu kota.
Selama 12 bulan tahun lepas,
Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat menyatakan 500 bungkusan
makanan diagihkan setiap bulan untuk golongan tersebut dan ini sebagai
tanggungjawab sosial korporat (CSR). Apa kata, jika bank-bank di Malaysia dapat
bergabung, bersatu dan membantu golongan gelandangan. Bukan setakat memberikan
makanan tetapi membantu lebih daripada itu seperti menyediakan kursus-kursus
kepakaran untuk mereka belajar berdikari daripada hanya menunggu untuk diberi.
Program Roti 1Malaysia
dilancarkan baru-baru ini juga satu usaha yang perlu kita puji dan selepas
tempoh percubaan pada Ogos 2011 amat membanggakan. Kita mengharapkan banyak
syarikat korporat dan individu boleh menyumbangkan roti serta pastri berkualiti
kepada golongan kurang bernasib baik ini.
Di sebalik program Roti
1Malaysia, terdapat beberapa hotel, bakeri, sukarelawan, penaja, pertubuhan
belia dan beberapa syarikat yang turut bergabung tenaga menjayakan aktiviti
kebajikan itu dan Rosmah mengharapkan program ini diperluas untuk meliputi
semua pusat pendidikan awal kanak-kanak Permata.
Semoga kerajaan dapat perluaskan
lagi kepada golongan gelandangan di setiap negeri turut menikmati
Roti1Malaysia.
Salah seorang profesor dari
sebuah universiti tempatan sudah lama beramal dengan menghantar makanan kepada
gelandangan pada setiap hari Jumaat. Namun saya menanyakan soalan kepada beliau
kenapa tidak membantu mereka dengan memberikan pancing ikan bukannya ikan.
Beliau menyatakan bukan mudah
gelandangan didekati kerana sesetengahnya sensitif dan cadangan beliau
memerlukan sesi kaunseling untuk memulihkan semangat mereka yang hilang ataupun
mencari semula kekuatan diri. Beliau berharap pihak yang lebih berkemampuan
sewajarnya juga tampil contohnya memberikan pekerjaan sehingga mereka boleh
menampung kehidupan dengan lebih baik.
Rata-rata gelandangan yang beliau
temui adalah orang baik daripada segi kemanusiaannya namun nasib tidak
menyebelahi mereka. Biasalah, roda-roda kehidupan.
Maklumat yang saya terima,
segelintir gelandangan mengambil kesempatan dan tidak mahu berusaha dengan
menunggu semuanya diberi nanti. Mengambil kesempatan dengan berlakon sementara
dan berpura-pura demi menikmati segala kemudahan disediakan. Itu perkara
sensitif untuk dijawab. Golongan gelandangan, tepuk dada tanyalah hati sendiri.
Salam 1Hati.
Penulis ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan
Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional
Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan