Antara buku tentang garis panduan kesantunan berbahasa dalam kalangan tokoh masyarakat |
KUALA LUMPUR - Calon yang
bertanding pada pilihan raya umum nanti digesa tidak mengabaikan kesantunan
berbahasa terutama bahasa Melayu walaupun dalam keghairahan berkempen.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), Dr Awang Sariyan berkata, walaupun berlainan ideologi dan
pandangan politik, ia bukan tiket untuk menggadaikan kesantunan bahasa yang
menjadi kebanggaan sesebuah tamadun bangsa.
"Pilihan raya ini adalah
satu sistem dalam negara demokrasi untuk memilih wakil rakyat dan pemimpin,
tapi tak sepatutnya dalam nak memilih wakil kita sampai hilang adab,"
katanya kepada Bernama di sini.
Awang berkata, calon tanpa
mengira bangsa yang mampu menjaga kesantunan bahasa Melayu merupakan calon yang
selayaknya dipilih sebagai wakil rakyat kerana mereka berupaya menjaga satu
daripada lambang tamadun bangsa.
"Malah, kita tahu dalam
Parlimen mereka ini (wakil rakyat) kena berbahas dalam bahasa Melayu,"
katanya.
Menurut Awang, kesantunan bahasa
dan adab tidak terhad kepada ceramah politik sahaja kerana ia perlu mencakupi
bahan kempen seperti sepanduk, poster atau risalah.
Pendapat sama turut disuarakan
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang
berpendapat calon seharusnya berkempen secara berhemah kerana mereka merupakan
bakal wakil rakyat.
"Calon ini biarlah kempen
secara berhemah, matang...janganlah cakap atau guna bahasa yang tidak
sepatutnya," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan