Oleh : Manja Ismail
Kerajaan utama keselamatan
rakyat
Seorang bekas pegawai Tentera
Laut Diraja Malaysia yang pernah bertugas di Lahad Datu kira-kira 20 tahun lalu
memberitahu penulis, perihal orang Suluk keluar masuk ke kawasan Pantai Timur
Sabah dengan membawa senjata api, bukanlah perkara baru.
Pada pandangan pihak keselamatan
ketika itu, selagi kedatangan mereka tidak mengancam keselamatan penduduk
tempatan, tiada tindakan diambil. Lagipun, hampir sebahagian besar yang keluar
masuk itu sama ada untuk berniaga secara ‘barter trade’ atau mempunyai hubungan
keluarga dengan rakyat tempatan.
“Membawa senjata api di kalangan
mereka dari kepulauan Sulu sama seperti orang kampung membawa parang dan golok
di negara ini satu ketika dulu. Begitu juga dengan keluar masuk mereka ke
negara ini, sama seperti Rantau Panjang dan Sungai Golok atau Padang Besar,”
katanya.
Barangkali kerana kebiasaan
itulah, sebarang niat jahat mereka ke atas negara ini sukar dihidu oleh pihak berkuasa.
Ini ditambah dengan kurangnya kerjasama penduduk tempatan untuk melaporkan
kepada pihak berkuasa sama ada kerana hubungan keluarga, bersubahat atau takut.
Berdasarkan senario ini, ancaman
keselamatan terhadap rakyat di sepanjang Pantai Timur Sabah tidak mungkin
berakhir segera walaupun usaha polis dan tentera menamatkan pencerobohan serta
memburu saki baki pengganas mungkin tamat tidak lama lagi. Selain itu, orang
Suluk terkenal dengan sifat pendendam dan dengan apa yang berlaku sekarang,
kemungkinan mereka datang semula, amat besar.
RASCOM terbukti berkesan
Justeru, pengumuman kerajaan
mengenai pembentukan kawasan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) merangkumi
daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu, memang tepat pada
waktunya. Walaupun pada sesetengah pihak ia agak terlambat, tiada siapa
menjangka rakyat di seberang sempadan yang sejak berpuluh tahun dilayan dengan
baik bertukar menjadi musuh.
Kewujudan kawasan keselamatan
khas terbukti berkesan dalam menghapuskan ancaman pengganas komunis di Sarawak
melalui Rajang Area Security Command (RASCOM) satu ketika dulu. RASCOM yang
ditubuhkan pada 1972 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein,
ekoran beberapa insiden pembunuhan, kekacauan dan pemusnahan harta awam oleh ahli
Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) di Bahagian Ketiga Sarawak.
Kawasan operasi RASCOM meliputi
keseluruhan Bahagian Sibu, Sarikei dan Kapit. Ia mempunyai tiga komponen
terdiri daripada unit tentera, polis dan awam dengan Ketua Menteri Sarawak
dilantik sebagai Pengarah Operasi Negeri.
RASCOM berjaya menghakis ancaman
komunis di Sarawak apabila 585 ahli PKKU yang diketuai oleh Bong Kee Chok
menyerah diri dalam Operasi Aman pada 1973 dan Ubong anak Nuing beserta 40 ahli
turut mengangkat senjata pada 1986. Ancaman komunis di Sarawak berakhir secara
rasmi pada 17 Oktober 1990 apabila kerajaan dan PKKU menandatangani perjanjian
di Kuching. Berikutan itu, Kabinet membubarkan RASCOM pada 9 November 1994.
Cadangan dipersetujui Kabinet
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak, ketika mengumumkan penubuhan ESSCOM baru-baru ini berkata, cadangan yang
dipersetujui oleh Kabinet itu akan memberi keyakinan kepada rakyat khususnya di
Sabah bahawa kerajaan melakukan apa saja bagi menjamin keselamatan rakyat dan
mempertahankan kedaulatan negara.
Kelmarin, Ketua Setiausaha
Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa, berkata struktur organisasi ESSCOM akan
disiapkan dalam tempoh terdekat oleh sebuah pasukan perundangan. Sebaik saja
penubuhan ESSCOM dipersetujui dari segi undang-undang, pelantikan ketua
eksekutifnya akan dibuat dengan persetujuan kerajaan negeri.
Buat permulaan, enam balai polis
dan tiga lagi pusat kastam, imigresen dan kuarantin akan diwujudkan di kawasan
ESSCOM dalam tempoh sebulan. Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan mengkaji
untuk mewujudkan lebih banyak pembangunan termasuk dalam bidang perumahan dan
infrastruktur.
Pasukan keselamatan juga
mencadangkan penempatan haram di beberapa kampung di wilayah ESSCOM dibersihkan
bagi memastikannya bebas daripada anasir keganasan dan aktiviti haram seperti
penyeludupan senjata api dan dadah.
Walaupun penubuhan ESSCOM ini
cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu, rakyat Sabah, khususnya yang merasai
sendiri ancaman keganasan pihak asing itu, pastinya lebih yakin dengan keselamatan
masa depan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan