Selasa, 19 Mac 2013

ISU KENEGARAAN : Penyatuan masyarakat benteng pertahanan negara


Pandangan IKIM

APABILA negara diceroboh, mempertahankan negara daripada ancaman dan serangan tersebut menjadi tanggungjawab ke atas masyarakat. Bukan hanya barisan pertahanan yang perlu terkehadapan untuk membentengi negara tetapi setiap individu yang bergelar rakyat dalam negara itu perlu juga membentengi diri bagi menghadapi segala kemungkinan.

Apakah bentuk pertahanan itu? Ia bukan lagi turun ke medan juang tetapi masyarakat perlu bersatu hati dan berpadu kata sebagai simbol penyatuan ummah. Sejarah merakamkan contoh yang baik buat kita semua. Kesatuan ummah menjadi faktor persediaan yang menjamin kemenangan umat Islam pada zaman awal dalam mempertahankan negara Islam menghadapi musuh.

Contohnya, walaupun terdiri daripada penduduk asal Madinah yang dikenali sebagai “Ansar" dan para pendatang dari Mekah yang dikenali sebagai “Muhajirin", namun perbezaan asal usul itu tidak menghalang mereka daripada membentuk suatu ummah yang bersaudara dan bersatu padu.

Malah, kekuatan ummah ini bukan sahaja merangkumi mereka yang beragama Islam, tetapi juga para penduduk asal Madinah yang bukan Islam, seperti orang Yahudi, Nasrani dan pelbagai kaum serta suku-suku lain lagi. Bukankah itu sudah cukup menggambarkan kepada kita betapa penyatuan masyarakat ini dilihat sebagai satu pertahanan yang kukuh buat negara?

Dalam konteks sekarang, kesatuan ummah yang wujud pada masa itu biasa disebut sebagai ketahanan nasional. Semua pihak dalam negara berkenaan bersatu hati untuk mempertahankan negara tanpa mengira apa-apa perbezaan yang ada dalam kalangan mereka.

Selari dengan keadaan ini, Allah menyifatkannya dalam Surah as-Saff ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Dalam situasi hari ini, apabila tentera dan barisan pertahanan negara sedang berjuang di medan perang, apakah kita turut menyertainya? Mungkin ramai antara kita yang berkobar-kobar semangat juangnya namun kita perlu akur bukan semua orang mempunyai kepakaran, kemampuan dan kemahiran untuk tujuan itu.

Lantas, apakah peranan kita sebagai rakyat? Bukan memporak-perandakan keadaan tetapi terus membentengi negara dengan bersatu dan tidak tuding menuding, cerca mencerca dan saling menyalahi antara satu sama lain.

Pasukan keselamatan menjalankan tanggungjawabnya untuk berjuang mempertahankan negara, dan masyarakat juga perlu berjuang mengelakkan diri daripada mengeruhkan keadaan dengan pertelagahan yang tidak kunjung selesai.

Bagaimanapun, semangat jihad yang berkobar-kobar dan perasaan sanggup mati dalam peperangan tidak dengan sendirinya akan menjamin kejayaan.

Sebaliknya, jihad dalam mempertahankan negara memerlukan persenjataan canggih yang bukan sahaja mampu digunakan dengan sebaiknya, tetapi mampu mengimbangi kuasa ketenteraan malah bertaraf lebih canggih daripada yang dipunyai oleh musuh.

Prinsip tentang persenjataan dan juga teknologi yang berkait dengannya dapat difahami dengan jelas daripada firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 60 yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh - musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya."

Ia merupakan suatu bidang ilmu yang sangat dituntut agama, kerana menjadi tunggak kepada jihad mempertahankan negara. Justeru, keamanan negara bukan sekadar terletak kepada barisan pasukan keselamatan semata-mata tetapi juga perlu persenjataan dan ilmu ketenteraan yang perlu disinergikan bersama.

Inilah yang harus dipikul oleh masyarakat pelapis hari ini di samping peranan pemerintah dalam menyediakan benteng pertahanan yang kukuh demi kedaulatan negara.

Suatu hakikat yang jelas bahawa bilangan tentera yang ramai dan persenjataan yang canggih tidak semestinya mampu menjamin kemenangan jika angkatan tentera berkenaan mempunyai moral perjuangan yang rendah. Banyak pendapat yang mengatakan, kejayaan dalam peperangan itu banyak bergantung kepada moral atau semangat perjuangan pasukan tentera yang terlibat.

Justeru, jika masyarakat di luar asyik bertelagah, tidak memberi sokongan moral, kata semangat malah mengirimkan doa buat mereka, apakah ia mampu menaikkan semangat juang tentera-tentera negara?

Sejarah Islam membuktikan bahawa moral atau semangat perjuangan ini diberi perhatian yang sangat penting, sehinggakan dianggap sebagai syarat utama dalam menjayakan pertahanan negara.

Namun, sudah pasti ia tidak menjadi halangan dan kesukaran pada ketika itu disebabkan keimanan dan rasa keagamaan yang tinggi dalam diri umat Islam. Ini menjadikan mereka terus bersemangat dalam mempertahankan Islam dan menghapuskan segala halangan terhadap dakwahnya.

Kata-kata yang diungkapkan oleh Khalid Ibn al-Walid, panglima Islam sewaktu berhadapan dengan para pemimpin tentera Parsi sudah cukup menggambarkan keimanan dan ketakwaan yang tinggi kepada Allah SWT. “Saya bawa kepada kamu semua orang-orang yang sukakan mati seperti mana kamu sukakan hidup."

Jika semangat ini dipegang oleh semua anggota pertahanan malah juga masyarakat, ia meletakkan suatu pengharapan dan tawakal yang tinggi kepada Allah setelah berusaha dengan pelbagai bentuk persediaan yang lain. Maka, tidak wajarlah sekiranya hanya pasukan keselamatan yang mempunyai semangat juang tetapi rakyat hanya bersemangat dengan ungkapan di bibir.

Masyarakat di luar juga perlu bersatu padu mengetepikan perbezaan fahaman politik dan merapatkan jurang yang sedia wujud agar ia tidak dilihat sebagai suatu kelompongan oleh musuh negara yang cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan kita. Tonjolkan kesepaduan kita dengan mengelakkan pertelingkahan, memurnikan kembali salah faham dan tidak mengkesampingkan doa dan solat hajat.

Ia merupakan salah satu cara kita memanifestasikan kecintaan kepada tanah air dan sokongan kepada anggota keselamatan negara di medan juang di samping memohon bantuan agar dilindungi daripada musibah secara keseluruhannya.

Keamanan negara begitu bernilai, justeru hargailah ia dengan sokongan dan penyatuan kita sebagai rakyat Malaysia yang menjadi tunggak pertahanan sebuah negara. Persepakatan dan permuafakatan setiap anggota masyarakat dan juga pemerintah akan membawa berkat.

Di samping itu, tidak mengetepikan ajaran-ajaran Islam yang lain agar terbinanya sebuah negara yang aman makmur daripada segala persengketaan dan mendapat kerahmatan daripada Allah.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam (IKIM).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan